Sedia kahwin bila-bila masa

Sharing is caring!

Serik bercinta lama, pelakon Pekin Ibrahim, 35, bersedia mendirikan rumah tangga pada bila-bila masa.
Mengakui sedang mengenali hati budi seseorang, pengarah filem Mat Moto itu tidak mahu menunggu lama andai sudah selesa dan serasi dengan gadis pilihannya.
“Saya sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Saya mahu berkahwin tahun ini namun jodoh belum sampai.
“Saya kini sedang mengenali seseorang, tetapi belum tahap serius. Kami berkawan sama seperti saya berkawan dengan orang lain.
“Bagaimanapun, setiap kali bersamanya saya rasa selesa dan kami serasi,” katanya.
Tidak menolak andai jodohnya dengan orang dalam industri, Pekin mengganggap siapa sahaja tertulis menjadi suri hidupnya, itulah pasangan terbaik untuknya.
“Alhamdulillah rezeki saya dalam lakonan dan penerbitan semakin murah. Sudah sampai masa saya mendirikan rumah tangga pula tetapi macam saya cakap tadi belum ada jodoh.
“Mungkin kerana saya mencari pasangan yang memahami kerjaya saya.
“Saya bermula dari bawah sehinggalah berada di tahap sekarang. Ia bukan perkara mudah. Justeru, biarlah pasangan saya nanti memahami dan menyokong minat saya,” katanya.
Mengulas perkembangan kariernya, Pekin kini dalam proses menghasilkan filem Mat Moto 2 manakala filem lakonannya, Munafik sedang ditayangkan di pawagam seluruh tanah air.
“Alhamdulillah atas sambutan yang memberangsangkan terhadap filem Mat Moto, saya akan menghasilkan sekuelnya pula.
“Jika ada peminat yang tidak berpuas hati dengan pembikinan Mat Moto, insya-Allah dalam Mat Moto 2 kami akan lakukan lebih baik,” katanya.

Leave a Comment