
Penyanyi Adira dan suaminya, ahli perniagaan Datuk Seri Adenan Abu mengemukakan gambar, rakaman video dan pasport ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini sebagai bukti perkahwinan mereka.
Laporan Harian Metro menyebut, pasangan tersebut berbuat demikian selepas memberi keterangan di hadapan Hakim Syarie Mohd Abdul Karim Wahab.
Terdahulu, Adenan di dalam keterangannya mengakui sudah bernikah dengan Adira pada 3 Disember tahun lalu di Majlis Agama Islam Songkhla, Thailand.
Menurutnya, pernikahan itu menggunakan wali hakim dan dua individu warga Thailand menjadi saksi.
Tambahnya, dengan sekali lafaz, Adira sah menjadi isterinya dengan mas kahwin sebanyak RM1,000 tunai.
Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, 25, dan Adenan, 38, memfailkan permohonan pengesahan pernikahan berpoligami di luar negara itu pada 8 Januari lalu mengikut Seksyen 12 dan 23 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.