Awie nak nikah lagi selepas kes mahkamah selesai

Sharing is caring!

Vokalis Wings, Awie, akan mendirikan rumah tangga sekali lagi dengan wanita pilihannya selepas kes mahkamah membabitkan dirinya dengan bekas isteri, Rozana Misbun, 38, selesai. Penyanyi, pelakon dan pengacara berusia 48 tahun itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai wanita terbabit, sebaliknya akan memaklumkan kepada umum apabila tiba masanya nanti. “Sebagai lelaki, saya ada naluri dan keinginan untuk berkahwin lagi demi anak-anak. Ketika ini, saya sedang berkawan dengan seseorang yang dirasakan layak untuk menjaga anak-anak saya. “Insya-Allah, kalau ada jodoh dan rezeki, apabila masalah ini selesai saya akan berkahwin,” katanya ketika ditemui selepas majlis sidang media program realiti kanak-kanak, Ceria Popstar musim keempat di sini, hari ini. Menerusi program berkenaan, beliau bertindak sebagai juri tetap bersama-sama Datuk Siti Nurhaliza, bagi mengadili bakat 12 peserta berusia antara 10 hingga 15 tahun. Ketika diusik dengan pertanyaan apakah wanita yang dimaksudkan olehnya itu ialah Erra Fazira yang juga gandingannya dalam filem Warna Cinta Impian (tayangan 31 Mac ini), pemilik nama sebenar, Ahmad Azhar Othman, ini hanya mampu tersenyum dan ketawa. “Mungkin… Masih dalam pemilihan kerana ramai calon dan saya perlu mencari yang sesuai untuk memikul tanggungjawab menjaga anak-anak saya,” katanya berseloroh. Mengambil iktibar daripada kes yang berlaku antara dirinya dengan Rozana, Awie menganggap perkara itu sudah pun selesai selepas mahkamah memutuskan beliau memohon maaf secara terbuka kepada Rozana dan membayar kompaun RM10,000.

Leave a Comment