Finas bakal tubuh Pusat Kreatif Kinabalu

Sharing is caring!

PERBADANAN Filem Nasional Malaysia (Finas) akan menubuhkan Pusat Kreatif Kinabalu (KCC) di Sabah bagi merancakkan lagi kegiatan industri kreatif di negeri itu.

Pengerusi Finas, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, KCC akan menjadi pusat sehenti kepada pelbagai aktiviti berkaitan industri kreatif, khususnya perfileman di Sabah.

Menurutnya, hasrat itu disampaikan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dalam kunjungan hormat beliau di Sri Gaya, petang ini.

“Ketua Menteri berasa gembira dengan hasrat Finas ini dan telah menyatakan kesediaannya untuk membantu supaya KCC ini dapat diwujudkan segera.

“Beliau juga bersetuju untuk mendapatkan tapak yang sesuai dan strategik untuk tujuan tersebut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman dan Penasihat Industri Kreatif Sabah dan Sarawak, Datuk Deddy M Borhan.

Mohd Khusairi berkata, kewujudan KCC di Sabah akan dapat membantu penggiat industri kreatif di negeri itu supaya lebih mudah berurusan dengan pihak Finas yang menjadi peneraju industri kreatif negara.

Menurutnya, Finas telah wujud di Sabah sejak 1985, tetapi peranannya hanyalah dalam hal berkaitan penguatkuasaan dan perlesenan.

“Kewujudan KCC boleh dianggap sebagai kemudahan terbaru di Sabah untuk membolehkan penggiat seni kreatif di negeri ini berurusan, khususnya dalam penilaian hasil karya sebagaimana yang diwujudkan oleh Finas melalui Content Malaysia Pitching Centre di KL Sentral,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, penggiat seni tempatan tidak perlu lagi menghabiskan masa dan kewangan untuk ke Kuala Lumpur bagi melontarkan idea menghasilkan karya baru bagi mendapatkan pelbagai bentuk dana yang disediakan oleh Finas.

“KCC juga akan menjadi pusat sehenti untuk pelbagai aktiviti industri kreatif di Sabah khususnya dalam bidang perfileman, serta menyelaras maklumat lokasi-lokasi pengambaran menarik kepada penerbit dari dalam dan luar negara.”

“KCC juga boleh meningkatkan lagi industri pelancongan di Sabah melalui filem-filem yang dipasarkan,” katanya.

Leave a Comment