Lembaran baru Kim Ryeowook

Sharing is caring!

Selepas mencipta nama menerusi kumpulan Super Junior, Kim Ryeowook berharap dapat menghasilkan album solo.
Impian itu akhirnya direalisasikan penyanyi kacak ini apabila tampil dengan bingkisan berjudul Little Prince baru-baru ini.
Jelas Kim Ryeowook, lama juga dia menanti peluang keemasan itu kerana perlu memberi laluan kepada anggota kumpulan Super Junior yang lain.
Berkat kesabarannya, 2016 membuka lembaran baru dalam kembara seninya.
“Saya teruja kerana selepas 11 tahun aktif menyanyi akhirnya saya tampil dengan album sulo. Lebih istimewa, saya anggota Super Junior pertama yang tampil dengan album solo tahun ini.
“Bagaimanapun, saya harus akui antara semua anggota Super Junior, album Kyu Hyun paling mengagumkan setakat ini.
“Menginjak usia 30 tahun, saya harap dapat bawa pesona lebih segar dalam muzik saya,” katanya.
Kim Ryeowook tidak mahu mensia-siakan penantian lebih sedekad lalu apabila tampil dengan konsep menarik dalam Little Prince. Menurutnya, elemen fantasi yang disuntik pada lagu The Little Prince sangat bermakna buat dirinya.
“The Little Prince adalah sebuah lagu kisah dongeng untuk golongan dewasa. Ia diinspirasikan daripada sebuah novel menggunakan judul sama karya Antoine de Saint-Exupery.
“Liriknya berkisar hubungan interpersonal, perkara remeh mahupun kegembiraan kecil yang kita lupa dalam hidup. Lagu itu benar-benar indah,” katanya.
Menurut penyanyi ini, dengan adanya Little Prince, jadual seninya akan bertambah padat tahun ini bahkan dia ingin menawan hati semua pengikut setianya menerusi album itu.
“Sebelum ini, saya hanya menyanyikan sedikit sahaja dalam lagu Super Junior. Kini peminat boleh menikmati nyanyi penuh saya dan berharap mereka nampak kemampuan vokal saya,” katanya.
Little Prince dilancarkan pada 28 Januari lalu dan memuatkan enam lagu iaitu The Little Prince, Like A Star, Hello, People You May Know, Foxy Girl, dan POOM.

Leave a Comment