
Filem seram Munafik terus ‘merasuk’ penonton untuk menyerbu pawagam sehingga mampu memungut RM11 juta selepas dua minggu tayangan. Jumlah berkenaan termasuk kutipan di Singapura dan Brunei, dengan masing-masing meraih RM800,000 dan RM200,000. Filem ke-39 terbitan Skop Productions Sdn Bhd itu mula ditayangkan pada 25 Februari lalu. Sambutan hangat diberikan orang ramai terhadap karya arahan Syamsul Yusof itu turut meyakinkan pihak pempamer bagi mengekalkan jumlah panggung, iaitu 117 pawagam, seperti sejak awal tayangan. Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam, berkata Munafik antara filem yang bergerak atas kapasiti kekuatan tersendiri, malah tidak berhadapan dengan saingan judul lain. Ketika ini, dua lagi filem tempatan, BoBoiBoy: The Movie dan Ola Bola juga terus mendapat perhatian ramai. “Meskipun minggu kedua ini kami berdepan dengan persaingan kuat, baik daripada filem tempatan mahupun luar negara, namun saya percaya masing-masing masih mempunyai kekuatan tersendiri dan menarik perhatian kelompok penonton berbeza. “Ia antara faktor utama pihak pawagam masih memberi kepercayaan kepada Munafik untuk diputarkan pada jumlah panggung yang masih sama seperti awal tayangan. “Lazimnya, filem yang ditayangkan menerusi Skim Wajib Tayang berdepan kemungkinan jumlah panggung dikurangkan selepas dua minggu tayangan. Pihak pawagam berhak untuk berbuat begitu bagi memberi laluan kepada filem baharu. Namun, ia tidak berlaku kepada Munafik yang dilihat mempunyai potensi besar untuk bertahan lebih lama lagi. “Dari segi sambutan pula, kami mendapat maklum balas yang baik, daripada segala aspek. Hampir 99 peratus maklum balas diterima adalah baik. Saya juga dikhabarkan, ramai penonton daripada kalangan alim ulama, selain golongan wanita berpurdah, turut menonton filem yang menyuntik banyak elemen kerohanian ini. Sekali gus, ia memberikan nafas baharu kepada pembikinan filem genre seram kerana ia juga mula diterima kelompok penonton baharu,” katanya kepada BH. Munafik yang juga filem seram kedua arahan Syamsul, selepas Khurafat (2011), menghuni kedudukan kedua carta pecah panggung negara ini pada hujung minggu lalu, di belakang filem Hollywood, London Has Fallen.