Takraw Kampung, satukan Syafiq Kyle, Issey & Ammar

Sharing is caring!

GANDINGAN Issey dan Ammar sememangnya sudah biasa dilihat, apatah lagi mereka dikenali menerusi kumpulan Titan.

Namun kerana Takraw Kampung, pelakon, Syafiq Kyle akan menyertai mereka dan bersepakat untuk mengharumkan nama baik kampung mereka. Mereka sanggup berkorban masa, berlatih menjadi pemain takraw hebat demi kampung mereka.

Takraw Kampung terbitan ZK Creative Production Sdn Bhd yang diarahkan Nazir Jamaluddin dan nukilan skrip oleh MF Kencana membariskan pelakon-pelakon popular tanah air seperti Syafiq Kyle, Issey Fazlisham, Azizul Ammar, Kazar Saisi, Mak Jah, Shakila Khoriri dan Nasir Bilal Khan.

Telefilem ini mengisahkan Lan (Syafiq Kyle), seorang pemuda kampung berusaha untuk menjadi pemain takraw hebat demi mengharumkan nama baik kampungnya, Kampung Pecah Tembelang yang telah tercemar setelah kalah ketika perlawanan persahabatan dengan Kampung Mulut Tempayan.

Lan mula berguru dengan Sifu Rahman, iaitu bekas pemain takraw negara. Mereka sepasukan mula dilatih seperti komando. Apabila tiba hari perlawanan, mereka terpaksa berentap dengan salah seorang ahli kumpulan lawan yang handal dari Thailand dibawa khas oleh pasukan Kampung Mulut Tempayan. Bagaimanakah pasukan Kampung Pecah Tembelang meneruskan permainan itu? Berjayakah misi mereka?

Jangan ketinggalan untuk terus menonton Takraw Kampung menerusi Skrin Di 9, pada 14 Mac 2016 (Isnin), jam 8.30 malam di TV9.

Leave a Comment