Saharul Ridzwan, Mia Ahmad tunggu ‘dijodohkan’ lagi

Sharing is caring!

Dua pelakon baharu ini jika masing-masing memuat naik apa saja status dalam laman sosial, pantas menarik ratusan ‘likes’ dan komen pengikut dalam tempoh singkat. Populariti bintang drama Hati Perempuan, Mia Ahmad dan Saharul Ridzwan sukar disangkal. Gandingan mereka dalam mana-mana drama pasti mendapat sambutan. Malah, Mia dan Saharul dikatakan memiliki ‘chemistry’ yang cukup kuat. Lantaran itu, apabila Mia dan Saharul digandingkan sebagai penyampai trofi pada malam penentuan Anugerah Bintang Popular BH Ke-29 (ABPBH 29), Ahad ini, peminat bagai tidak sabar-sabar menunggu mereka tampil di pentas. Terbaharu, Mia dan Saharul masing-masing membawa pulang trofi pada Anugerah Pilihan Online (APO) 2016, Sabtu lalu. Menemui Saharul, pelakon kacak ini memberitahu, selepas drama Hati Perempuan, ‘jodoh’ untuk digandingkan bersama Mia belum tiba. Namun, dalam menanti tawaran, dia mahu meningkatkan skil lakonan bagi membalas sanjungan peminat. “Saya menerima trofi kemenangan sebagai suatu bentuk penghargaan peminat. Ia menjadikan tanggungjawab saya lebih besar kerana sudah pasti harapan peminat jadi besar. “Jadi peminat pasti mengharapkan saya jadi lebih bagus berbanding sebelumnya. Saya mahu terus meningkatkan bakat seni dan skil lakonan saya,” katanya yang akan muncul dengan drama Seindah Takdir Cinta di TV3, tidak lama lagi. Mia pula memberitahu, dia tidak menyangka peminat masih mahu melihat dirinya beraksi dengan Saharul selepas drama Hati Perempuan yang sudah setahun disiarkan. “Agak terkejut kerana kami masih disokong hingga saat ini,” katanya. Mengenai insiden akaun Instagram miliknya digodam baru-baru ini, Mia berkata: “Ini ujian untuk saya. Selepas membuka akaun Instagram kedua yang baharu, saya berdepan masalah apabila ia tidak dapat digunakan. “Sekarang saya menggunakan akaun Instagram @thisismiahmad,” katanya sambil menambah, sementara masalah diatasi, dia banyak berinteraksi melalui akaun Twitter. “Selain itu, saya menggunakan akaun Instagram rasmi kelab peminat, @miaahmadsouls,” katanya. Ketika ini, Mia muncul dalam drama Miss Boss Miss Stalker berganding dengan Ashraf Muslim menerusi slot Dahlia di TV3.

Leave a Comment