
Kumpulan trio adik-beradik, The Overtunes menyifatkan gabungan minat terhadap genre muzik berbeza membuatkan mereka memiliki kekuatan tersendiri dalam memperjuangkan muzik pop akustik. Abang sulung yang juga vokalis, pemain bas dan dram kumpulan itu, Mada Emmanuell, 22, berkata perkara terbabit turut membuatkan lagu dihasilkan mereka memberi impak berbeza berbanding muzik sedia ada di Indonesia. “Setiap daripada kami sukakan muzik seperti rock, jazz dan dansa. Selain itu, kami bertiga turut memiliki kelebihan bermain alat muzik piano dan dram. Menerusi pengetahuan muzik itu, kami gabungkan ia menjadi muzik akustik pop dalam setiap lagu dihasilkan. “Bagaimanapun, kami tidak mengehadkan konsep akustik pada gitar semata-mata. Alatan muzik lain turut digunakan ketika sesi rakaman,” katanya. Selain Mada, The Overtunes turut dibarisi Reuben Nathaniel, 20, dan Mikha Angelo, 19. Reuben pula berkata, mereka akrab dan serasi bermain muzik bersama-sama memandangkan semuanya menggemari bidang itu sejak kecil. Minat mereka terhadap muzik semakin bertambah selepas menyedari kelebihan masing-masing dalam menghasilkan lirik dan lagu. Bagaimanapun, pada 2012, tuah berpihak kepada The Overtunes mereka apabila lagu ciptaan mereka, Sayap Pelindung, menjadi popular. “Penerimaan orang ramai terhadap lagu Sayap Pelindung menunjukkan transisi kami semakin berubah dan muzik kami mula dipercayai ramai. Malah, kami bersyukur lagu itu masih diputarkan di radio Indonesa,” ujar Reuben.