
Nama Pelakon tersohor, Stephen Chow yang terkenal dengan flem Shaolin Soccer, Kung Fu Hustle dan The Mermaid dicadangkan membintangi filem Ah Fook, adaptasi daripada novel pemenang Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH Kedua. Kehadiran pelakon bertaraf pecah panggung itu menjadi antara strategi untuk membawa filem Malaysia yang diangkat daripada karya sastera tempatan ke pentas antarabangsa. Sebenarnya, tidak banyak penerbit filem tanah air berani mengambil risiko mengangkat novel sastera ke layar perak kerana selera penonton Malaysia yang dianggap sukar diduga, apatah lagi hampir 90 peratus pemilik karya difilemkan kerap tidak berpuas hati terhadap adaptasi karya mereka. Tidak hairanlah, Pengarah Urusan Omnicast (M) Sdn Bhd, Omar Ahmad, menjadikan langkah memfilemkan novel Ah Fook tulisan Jong Chian Lai itu sebagai satu cabaran untuk membawa filem Malaysia ke peringkat antarabangsa. “Kandungan Ah Fook sangat mempesonakan kerana ia membawa semangat 1Malaysia seperti realitinya, apatah lagi latarnya di Sarawak.
“Kami juga sedang berusaha mendapat kerjasama pihak berkaitan di China, selain bercadang membawa pelakon antarabangsa, Stephen Chow untuk melakonkan watak Ah Fook,” katanya dalam acara ‘Sofa Putih, Memfilemkan Karya, Penulis Di Mana, Skrip Bagaimana, Pengarah Mahu Apa’ di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, semalam. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron dan Chian Lai. Ah Fook yang diterbitkan ITBM, dinobatkan pemenang pertama kategori novel pada Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH Kedua yang diterbitkan tahun lalu. Sementara itu, Chian Lai berkata beliau tidak meletakkan harapan 100 peratus naskhah Ah Fook akan disalin sebagai filem tetapi sudah berpuas hati dengan kira-kira 60 peratus saja. Terdahulu di lokasi sama, satu perjanjian persefahaman bagi penerbitan filem itu antara ITBM yang diwakili Mohd Khair, Omnicast yang diwakili Omar dan Chian Lai, dimeterai.