Justeru, Jejai, 40, meminta supaya pihak berkuasa menyiasat sepenuhnya tuduhan yang telah dibuat oleh bekas isterinya itu.
“Saya sendiri menuntut supaya pihak berkuasa siasat perkara ini untuk tahu kebenarannya. Biar masyarakat tahu sama ada ‘cerita’ itu benar atau sebaliknya,” kata Jejai kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.
Ini merupakan kenyataan pertama Jejai kepada media selepas bercerai dengan Fasha pada 20 Januari lalu.
Kenyataan ini dibuat Jejai sebagai mengulas laporan akhbar me­ngenai tindakan Fasha membuat laporan polis pada Isnin lalu di Polis Ampang kononnya dia kerap diganggu bekas suaminya.
Sehubungan itu, Jejai berkata, beliau sudah berbincang dengan peguamnya bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang telah mengaibkan dirinya dengan menyebarkan pelbagai andaian buruk semenjak dia bercerai dengan aktres popular itu.
Sambil mengaitkan laporan polis oleh Fasha juga sebagai satu perkara yang menghairankan, menurut Jejai, tidak ada satu pun kebenaran dalam dakwaan pelakon itu.
“Saya sendiri hairan kenapa cerita seperti itu boleh timbul, sedangkan tidak ada satu pun yang benar mengenainya,” kata Jejai lagi.
Ketika diminta untuk mengulas lanjut mengenai desas-desus terbabit, Fasha hanya mengambil pendekatan berdiam diri dan menyerahkan semua itu kepada peguamnya.
Meskipun beberapa kali ber­depan dengan isu kontroversi sebelum ini, Jejai mengambil pendirian untuk mendiamkan diri dan enggan melayan isu-isu panas yang timbul.
Fasha dan Jejai mendirikan rumah tangga pada 27 April 2012 sebelum mengambil keputusan bercerai pada 20 Januari lalu.
Hasil perkahwinan selama empat tahun itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Putra Rayfal, 3, dan Putri Raysha Jemyma, 2.