Ditegur ketepikan bahasa Melayu

Sharing is caring!

Bahasa Melayu atau rasminya bahasa Malaysia tertakluk dalam Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Perlembagaan Malaysia 1963 sebagai Bahasa Kebangsaan.

Namun, masih ramai memandang sepi penggunaannya terutama dalam dunia hiburan tempatan.

Disebabkan itu, Cik Pang tertarik dengan teguran seorang penyanyi lama mengenai sikap segelintir pengacara dan selebriti yang terlalu mengagungkan bahasa Inggeris dalam program TV tempatan.

Kata penyanyi itu, kalau program itu sememangnya menggunakan bahasa Inggeris, tidak mengapalah tetapi jika ia berbahasa Malaysia bagaimana pula?

Cik Pang difahamkan, penyanyi itu menegur Neelofa yang menjadi juri program hiburan memberi komen dalam bahasa Inggeris kepada peserta yang rata-rata mempunyai pendidikan mungkin tidaklah setinggi pengacara jelita itu.

Dengarnya, ada segelintir peserta terpinga-pinga dengan komentar Neelofa yang mungkin menggunakan bahasa Inggeris tinggi.

Bukan niat Cik Pang hendak menjatuhkan maruah peserta kerana tidak berpendidikan tinggi dan kurang pandai berbahasa Inggeris tetapi sebagai rakyat Malaysia yang cintakan Bahasa Kebangsaan, rasanya Neelofa perlu bersikap adil.

Apatah lagi program hiburan itu ditonton jutaan masyarakat pelbagai lapisan. Jadi, pendedahan sebesar itu seharusnya didahulukan dengan penggunaan Bahasa Kebangsaan. Tak begitu?

Sebagai selebriti dan menjadi perhatian ramai, mereka antara contoh terdekat untuk peminat menghargai bahasa Malaysia.

Pun begitu, bukan bermakna Cik Pang nak suruh selebriti tempatan bertutur secara baku, cuma gunakanlah bahasa Melayu dengan cara sesuai. Tapi jangan pula tiba-tiba beri alasan takut kelihatan bodoh sebab Berbahasa Kebangsaan ya!

Leave a Comment