Unik penuh glamor

Sharing is caring!

Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2017 (DFKL17) yang berlangsung 9 April lalu memperlihatkan beberapa selebriti popular mahupun baru hadir dengan gaya cukup memukau dan tersendiri.

Tidak hanya terhad dengan gaun kembang dan dandanan rambut gulung atau kepok, kebanyakan selebriti terutama wanita tampil dengan lebih berani dan menggayakan sesuatu berbeza.

Nyata mereka hadir dengan persalinan unik tetapi tidak meminggirkan elemen glamor bagi memeriahkan lagi acara karpet merah.

Penyanyi Sissy Iman antara bakat muda dalam dunia nyanyian yang sering tampil berbeza dan unik namun tetap cantik pada pandangan mata.

Untuk DFKL17, Sissy memilih gaun berekor warna biru lembayung. Menarik apabila busana digayakan ini menampilkan riben di pinggang yang kini kembali menjadi gaya terkini.

Sesuai usianya yang masih muda, perhiasan dipadankan juga tidak terlalu sarat. Rantai mutiara melatari leher dan rambut disuak ke atas menambahkan keunikkan penampilannya malam itu.

Anggota kumpulan Defam, Azira Shafinaz yang kini bergelar pelakon hadir dengan gaun melekap tubuh dengan sedikit sentuhan berbeza apabila juraian benang pendek mengelilingi tubuh dari paras pinggang membawa ke hujung tumit kaki.

Memilih jumpers warna merah cili dengan bahagian bahu terbuka membuatkan pelakon Reen Rahim menjadi perhatian. Apatah lagi dia memilih solekan dan dandanan ala Puteri Jasmin, membuatkan semua mata tertumpu kepadanya sepanjang acara karpet merah berlangsung.

Persalinan bersaiz besar berupa kegilaan fesyen terbaru masa kini, tidak hairanlah mengapa dramatis Wan Sharmila memilih untuk bergaya dalam baju sedemikian.

Walaupun memilih fesyen persalinan bersaiz besar, Wan Sharmila langsung tidak kelihatan canggung mengayakannya apabila melalui karpet merah DFKL17.

Memilih fesyen ala Jackie Kennedy Onassis (wanita pertama Amerika Syarikat yang juga isteri Presiden John F. Kennedy), gaun yang seharusnya berpotongan garis A diberi sedikit perbezaan dengan potongan duyung membuatkan penampilan Atikah Suhaime sedikit berbeza berbanding biasa.

Leave a Comment