Ziana tahan rasa rindu

Sharing is caring!

Lama tidak tampil berlakon, penyanyi Ziana Zain akui belum mempunyai masa yang sesuai untuk kembali aktif.

Walaupun mengakui rindu untuk kembali ke lokasi penggambaran, Ziana perlu akur kesibukan terhadap bidang nyanyian dan perniagaan tudungnya, Gee Shawl by Ziana Zain’s World yang sedang berkembang sekarang ini memaksa dia melupakan hasrat itu.

Malah, empat anaknya yang sedang membesar juga memerlukan perhatian Ziana dan suami.

“Saya menerima tawaran berlakon tetapi atas kesibukan masa terhadap keluarga dan perniagaan saya terpaksa tolak.

“Sehingga saat ini saya memang tidak terlintas untuk kembali berlakon walaupun kadang-kadang rasa rindu juga untuk ke lokasi penggambaran,” katanya.

Ziana berkata, melihat rakan lain seperti Erra Fazira yang turut terbabit menjayakan drama bersiri menimbulkan rasa rindu di hati.

Malah, Datuk Yusof Haslam sendiri menawarkannya untuk berlakon drama.

“Datuk ada menawarkan saya berlakon tetapi terpaksa tolak secara baik kerana terikat dengan perkara lain. Lagipun, berlakon memerlukan masa yang lama di luar.

“Oleh itu, saya tidak mungkin akan berlakon lagi tambahan pula sekarang anak sedang membesar dan mula sibuk dengan perniagaan tudung yang sedang berkembang,” katanya.

Dalam pada itu, Ziana yang turut rindu untuk tampil dengan album penuh berharap ia bakal terlaksana.

“Pastinya saya juga rindu untuk tampil dengan album penuh sama seperti orang lain. Namun keadaan pasaran sekarang membuatkan saya perlu berhati-hati.

“Namun, saya tidak berani janji bila album itu akan dilancarkan. Doakanlah yang terbaik untuk saya,” katanya.

Mengulas mengenai masalah bayaran belum diterimanya menerusi konsert di Istana Budaya tahun lalu, Ziana akan merujuk kepada undang-undang untuk menyelesaikannya.

Bagaimanapun, dia tidak serik untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk mengadakan konsert lagi tapi lebih berhati-hati.

Leave a Comment