Ramah mesra dengan peminat

Sharing is caring!

Selepas lapan tahun bergelar penyanyi, baru kali ini Ernie Zakri merasai nikmat populariti.

Saat indah itu dikecapi Ernie, 25, selepas muncul dengan single Jangan Marah tahun lalu.

Lebih membanggakan bekas juara Bintang RTM 2009 ini apabila dia turut bergelar juara program Duo Star yang ditayangkan di saluran Astro Ria, baru-baru ini.

Sejak itu juga Ernie me­ngakui dia mulai mengumpul peminat sendiri, malah boleh dikatakan setiap hari Ernie menerima permintaan untuk mewujudkan kelab peminat.

“Pada mulanya saya kurang yakin nak menubuhkan kelab peminat. Bukan apa, saya belum cukup popular untuk mempunyai kelab peminat sendiri. Namun, apabila melihatkan sambutan yang diberikan selepas program itu, baru keyakinan itu timbul.

“Saya terharu dengan sokongan dan usaha mereka. Kalau dulu saya terfikir perlu atau tidak kelab peminat ini, sekarang baru saya sedar ia perlu dalam kerjaya seseorang artis. Sedikit sebanyak ia memang banyak membantu,” katanya.

Bagi menghargai sokongan peminat, baru-baru ini Ernie mengadakan sesi ramah mesra bersama ahli kelab peminat yang diberi nama Ernienators.

Ernie berkata, kelab peminat yang ditubuhkan Oktober tahun lalu ini disertai lebih 100 ahli dan mula bergerak aktif awal tahun ini.

“Inilah masa dan peluang terbaik saya mempunyai kelab peminat. Tanpa sokongan yang ditunjukkan saya pasti belum sedia bersama mereka. Disebabkan itu mereka merancang mengadakan aktiviti bersama.

“Sebagai permulaan kami mengadakan sesi beramah mesra iaitu acara pengenalan. Selepas ini mereka merancang lebih banyak aktiviti seperti buka puasa, percutian dan boling,” katanya.

Duet dengan Syamel menjadi

Percaturan Ernie melahirkan single duet berjudul Aku Cinta bersama rakan duetnya dalam program Duo Star iaitu Syamel membuahkan hasil.

Lagu itu berjaya mendapat tempat di hati peminat walaupun belum menjalani promosi secara besar-besaran terutama di stesen radio tempatan.

Namun, video muzik lirik lagu itu kini mencecah tontonan dua juta selepas dimuat naik di YouTube sejak Februari lalu.

“Alhamdulillah lagu itu diterima baik dan saya anggap ia satu penghargaan kepada kami. Nampaknya kami mengambil langkah bijak dengan melahirkan single duet selepas program itu.

“Walaupun ia belum dipromosi secara meluas, peminat sudah tahu. Insya-Allah selepas video muzik lagu ini keluar, baru kami mengadakan sesi promosi. Kami menunggu pihak FMC dan Astro saja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ernie bakal memulakan rakaman single solo terbaru. Namun, belum mahu berkongsi lebih lanjut.

“Buat masa sekarang sudah ada empat komposer memberikan lagu mereka. Tinggal lagi saya dan pihak syarikat rakaman membuat pilihan. Lagu kali ini berbeza daripada single Jangan Marah.

“Saya kembali kepada genre balada iaitu muzik pilihan saya. Lagipun, sekarang ini trend lagu sebegini kembali menjadi pilihan. Cuma saya masih kekalkan cara nyanyian R & B,” katanya.

Leave a Comment