Astro hormati keputusan Malique

Sharing is caring!

Persembahan Dayang Nurfaizah pada malam Anugerah MeleTOP Era (AME2017) menjadi antara kemunculan yang dinanti apabila Malique diumumkan akan membuat persembahan menerusi lagu duet mereka, Pejamkan Mata.

Bagaimanapun tatkala Dayang menyanyi, ramai menyedari lelaki berselubung hitam dan bertopeng itu sebenarnya bukan Malique.

Bahkan ada yang membuat spekulasi bahawa Malique hanya menyanyi dari belakang pentas sahaja.

Ketua Format dan Program Realiti Astro, Namanzee Harris yang ditemui ketika sesi sidang media menjelaskan kepada media bahawa pihaknya menghormati keputusan Malique yang tidak mahu membuat persembahan di khalayak.

“Sejak awal lagi kita memang harapkan Malique untuk turut serta dalam persembahan ini dan kita juga telah meminta Malique untuk membuat persembahan bersama.

“Bagaimanapun menerusi perbincangan bersama pihak Warner Music, mereka maklumkan Malique tidak dapat membuat persembahan dan pihak kami menghormati keputusan Malique dan Warner Music.

“Namun istimewanya, demi AME2017, Malique telah merakamkan suaranya khas untuk digabungkan bersama persembahan Dayang,” ujarnya.

Kehilangan Malique atau nama penuhnya Malique Ibrahim mula menjadi perhatian ramai selepas Too Phat berpecah pada tahun 2005.

Sejak itu, kelibat Malique perlahan-lahan hilang dari industri seni.

Biarpun lagu-lagu barunya sering diputarkan di radio, namun Malique tidak pernah hadir membuat persembahan di khalayak ramai.

Bahkan pelbagai spekulasi mula timbul seperti Malique merajuk, jatuh sakit apabila dia mengeluarkan lagu Teman Pengganti dan paling teruk khabar angin dia meninggal dunia pada 2012.

Namun semua dakwaan yang timbul telah dijawab Malique menerusi syarikat rakamannya, Qarma Musiq dan Malique juga dikatakan sering menerbitkan lagu baru menerusi syarikat rakaman sama.

Malah Qarma Musiq juga masih bekerjasama dengan Warner Music sehingga hari ini, lebih-lebih lagi dalam urusan promosi lagu terbaru Malique.

Leave a Comment