Red Velvet Manis Sangat

Sharing is caring!

Red Velvet yang ini bukan kek. Tapi kumpulan KPop baharu yang namanya sedang meningkat naik dan ligat mencuri perhatian ramai peminat khususnya kalangan peminat lelaki.

Dianggotai lima gadis cantik manis, Irene (26 tahun), Seulgi (23 tahun), Wendy (23 tahun), Joy (20 tahun) dan Yeri (18 tahun), “red” (merah) simbolik imej garang manakala “velvet” mewakili imej mereka yang lebih lembut dan feminin.

Pada Sabtu lalu, Red Velvet buat pertama kali berkunjung ke Kuala Lumpur sempena promosi album mini terbaru mereka bertajuk Rookie sekaligus mengadakan showcase serta sesi bertemu peminat.

Bagaimanapun, mereka hanya berempat tanpa Joy yang terikat dengan komitmen menjalani penggambaran drama yang kini sedang ditayangkan di Korea berjudul The Liar and His Lover.

“Akhirnya Red Velvet kini di Malaysia. Kami sangat teruja dan tidak menyangka sambutan peminat terhadap kami di sini sangat luar biasa. Kami dimaklumkan pihak Universal Malaysia bahwa album Rookie laris dalam tempoh 20 minit.

“Tidak dapat kami gambarkan bagaimana perasaan kami tetapi yang pasti kami sangat gembira dan menghargainya. Untuk peminat, kami akan terus berusaha memberikan karya yang lebih baik pada masa akan datang,” kata Wendy mewakili anggota lain, pada sidang media bertempat di sebuah hotel di ibu negara.

Dalam pada itu, Red Velvet turut menerima sepasang baju tradisional pemberian pihak Universal Music Malaysia. Irene menerima baju Pujabi, sehelai cheongsam untuk Seulgi, sepasang baju kebaya buat Wendy dan Yeri mendapat sepasang baju kurung.

..

Dan pada Ahad, bertempat di Bently Music, Mutiara Damansara, Red Velvet mengadakan showcase pertama mereka dan disaksikan lebih 300 peminat.

Selama satu jam, mereka tampil dengan persembahan penuh bertenaga mendendangkan deretan lagu popular seperti Ice Cream Cake, Dumb Dumb Dumb, Russian Roulette dan Rookie. Disamping itu, mereka turut berinteraksi dan bermain game bersama peminat bertuah.

..

“Dari belakang pentas tadi, kami dapat mendengar anda semua (peminat) menyanyikan lagu kami. Kami terkejut dan tak sangka anda hafal lagu-lagu kami. Kami berasa tersentuh.

“Walaupun ini kali pertama kami di sini, anda semua menerima dan menunjukkan sokongan yang luar biasa sekaligus menyuntik semangat kami untuk membuat persembahan hari ini. Pertama kali datang ke sini, kami tertarik dengan suasana dan permandangan di Malaysia.

“Sayangnya kali ini kami tidak mempunyai banyak masa untuk bersiar-siar tapi kami mahu kembali lagi ke Malaysia dengan konsert pula nanti dan mungkin untuk bercuti,” janji Seulgi lantas disahut dengan sorakan peminat.

Suasana dewan kemudiannya tambah gamat dengan sorakan peminat apabila empat penyanyi pujaan mereka ini cuba memikat hati mereka dengan masing-masing menunjukkan kesungguhan bertutur dalam bahasa Melayu.

“Terima kasih…” kata Yeri. Manakala Irene pula cuba mengungkap ayat “aku cinta pada”. Sementara Wendy mengambil iniasitif mengekspresikan perasaannya tatkala pertama kali bersua degann peminat tanah air dengan berkata, “hati berdebar-debar…”. Kemudian Seulgi dengan gaya comel menyebut perkataan, “best giler”.

Selain itu, peminat juga memberikan kejutan kepada Red Velvet ketika mempersembahkan lagu terakhir mereka berjudul Rookie. Diakhir-akhir persembahan, peminat mengangkat banner bertulisan ayat dalam bahasa Korea yang maksudnya lebih kurang begini, “Pertemuan kali pertama kita semanis gula-gula”.

Sejurus usai persembahan, sebelum meninggalkan pentas Wendy mewakili teman lain berkata,

“Kami sangat terkejut! Terima kasih kepada kamu semua, kami sangat terharu, sangat menghargainya dan kamu semua telah berikan kami satu memori paling manis dalam kunjungan kami kali ini. Kami sayang kamu semua!”.

Leave a Comment