Ambil iktibar hidup P Ramlee

Sharing is caring!

Selepas menyertai program realiti One In A Million musim pertama (OIAM1) pada 2006, Faizal Tahir, 38, bukan hanya dikenali sebagai penyanyi malah pencipta lagu.

Mula popular dengan lagu Mahakarya Cinta diikuti Sampai Syurga, Bencinta dan Karma, Faizal terus melakar kejayaan dalam muzik hingga mencatat nama di Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Planet Muzik.

Kini popular dengan lagu Dirgahayu menampilkan Datuk Siti Nurhaliza dan Negaraku bersama Joe Flizzow, Altimet dan SonaOne, apabila bercerita mengenai artis tempatan yang menjadi idolanya, Faizal dengan pantas memuji Allahyarham Tan Sri P Ramlee sebagai pengkarya terhebat.

Katanya, selepas pemergiannya tiada siapa dapat menggantikan tempat seniman agung itu.

“Saya memang sangat mengagumi P Ramlee. Semua karyanya terutama muzik bertaraf antarabangsa sehingga diiktiraf kumpulan orkestra terkenal dunia juga dinyanyikan kembali artis popular Indonesia, Ahmad Dhani,” katanya.

Bagaimanapun, Faizal sedih dan hiba melihat pengakhiran hidup seniman agung itu sedangkan sumbangannya terlalu besar untuk khazanah seni negara.

“Saya terharu kerana dunia mengiktiraf bakat dan karya Allahyarham. Mengambil contoh National Geographic menghasilkan dokumentari khas mengenai kehidupan P Ramlee.

“Saya menangis saat menonton perjalanan hidup P Ramlee yang saya sifatkan sangat besar dan istimewa bakatnya,” katanya.

Kata Faizal, paparan National Geographic mengenai Allahyarham seakan-akan memberikannya satu kekuatan dan semangat.

“Saya banyak belajar daripada sejarah kehidupan P Ramlee, daripada semua karyanya sama ada filem mahupun muzik hinggalah kehidupan peribadinya. Kisah hidupnya menjadi panduan kepada saya untuk dijadikan iktibar,” katanya.

Tegas Faizal dengan nada sayu, sekiranya P Ramlee masih hidup pada masa ini dan pengakhiran hidup dilalui seniman agung itu berlaku ketika ini, pasti dia orang pertama akan membela hidupnya sepenuh jiwa dan raga.

“Kehidupan manusia ada pasang surutnya apatah lagi sebagai warga seni. Seharusnya apa yang dilalui Allahyarham dijadikan iktibar bukan buat saya seorang, tetapi juga semua.

“Untuk bergelumang dalam industri tidak mudah. Seperti P Ramlee dia berani terus memperjuangkan karyanya walaupun ada pihak tidak mahu menerimanya.

“Cuma pada saya, satu perkara yang saya belajar daripada kisah hidup Allahyarham, kita harus pandai seimbangkan antara seni dan kehidupan peribadi.

“Apa yang baik dikongsi P Ramlee seharusnya diambil untuk memperbaiki diri kerana dia sudah membuka ruang seluas-luasnya untuk kita terus mengembangkan seni yang kita ada,” katanya.

Bercerita mengenai karya P Ramlee yang diminati, kata Faizal dia tidak mampu memilih kerana semua karya dihasilkan seniman agung itu dianggap terbaik.

“Kalau menyukai mengikut susunan, sudah tentu saya sangat gemar himpunan lagu raya yang dicipta dan didendangkan Allahyarham. Begitupun, lagu baladanya sangat menyentuh perasaan,” katanya.

Filem dihasilkan dan dilakonkan P Ramlee pula kata Faizal, sangat mencuit hati. Kehebatan bintang yang diminatinya itu adalah menghasilkan karya yang yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.

“Sampai hari ini saya masih lagi gelak dengan himpunan filem P Ramlee walaupun sudah berpuluh kali menontonnya. Lawak dihasilkan bersahaja dan jujur. Berbeza dengan karya sekarang ini kita lihat mereka terlalu mencuba,” katanya.

Leave a Comment

shares