Cinta Najwa Mahiaddin terhadap muzik

Sharing is caring!

PENYANYI Najwa Mahiaddin mengakui minat mendalam terhadap muzik membuatkan dia tekad membina kerjaya lebih serius dalam bidang ini bukan sahaja sebagai penyanyi, tetapi juga menerusi kerja-kerja belakang tabir termasuk mencipta lagu.

Selepas menamatkan pengajian di Berklee College of Music, Boston lebih tiga tahun lalu, pelantun lagu Got To Go ini semakin jelas hala tujunya dalam bidang muzik.

“Dari semasa ke semasa saya sentiasa cuba mencari sesuatu yang lebih menarik untuk diketengahkan dalam muzik.

“Tidak hanya sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai penulis lagu di mana saya banyak terlibat kerja di belakang tabir,” katanya yang turut menyumbang lagu ciptaannya untuk album terbaru Sheila Majid dan Anuar Zain.

Berkongsi perkembangan terbarunya, kata Najwa, dia bakal tampil single bertajuk Sentiasa Merinding, duet bersama rakan baiknya, Imran Ajmain yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

“Sebenarnya ia projek cukup istimewa kerana dilakukan secara tidak sengaja lebih tiga tahun lalu di mana kami pada mulanya hanya cuba-cuba, namun kemudiannya jatuh hati dengan hasil rakaman tersebut.

“Jadi, saya dan Imran rasakan mengapa tidak kami kongsi lagu tersebut bersama peminat dan buat penambahbaikan gubahan muzik agar lebih cantik untuk diperdengarkan.

“Sentiasa Merinding lagu  R&B, namun pada masa sama turut disuntik elemen muzik lain menjadikan ia istimewa, apatah lagi dengan suara Imran yang klasik,” ujar Najwa.

Selain single yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat, Najwa memberitahu, dia kini dalam proses awal pembikinan album keduanya selepas Innocent Soul yang diterbitkan lebih enam tahun lalu.

“Inya-ALLAH saya kini memulakan kerja awal pembikinan album kedua yang dijangka berada di pasaran tahun depan.

“Masih album penuh berbahasa Inggeris, namun kali ini saya cuba beri sesuatu lebih fresh di mana banyak sentuhan baru diperlihatkan dalam album ini terutama menerusi gubahan muzik,” katanya yang pernah memenangi kategori Artis Baru Terbaik dan Lagu Inggeris Terbaik  Anugerah Industri Muzik pada 2011.

Ambil risiko

Meskipun sedar berdepan pasaran muzik semasa yang bergerak perlahan ketika ini, Najwa tekad mengambil risiko demi memperjuangkan minatnya kepada dunia muzik.

“Saya penyanyi sepenuh masa dan minat terhadap muzik juga sangat besar mengatasi minat saya kepada tarikan lain yang ada dalam industri seni seperti populariti, kemasyhuran dan sebagainya.

“Jadi, penghasilan album penting buat saya kerana menerusi album kita dapat lihat identiti dan hala tuju penyanyi itu dalam muzik dibawa selain untuk kesinambungan kerjaya seni.

“Walaupun orang kata susah nak jual album sekarang, tetapi saya tetap percaya jika kandungan dalam album itu bagus, pembeli tetap ada meski jualannya tidak sehebat sebagaimana ketika era kegemilangan industri muzik beberapa tahun dulu,” ujarnya.

Dikenali sebagai seorang low profil, Najwa akui jarang muncul majlis hiburan kecuali kehadirannya dirasakan perlu pada ketika itu.

Menolak anggapan dirinya takut didekati peminat kerana latar belakangnya dari keluarganya yang cukup disegani ramai, kata Najwa dia hanya menjadi dirinya sendiri.

“Untuk mereka yang tidak kenal saya, mungkin mereka tak tahu saya ni pendiam dan pemalu meskipun di kalangan rakan sendiri.

“Saya selesa ketika menyanyi di pentas, tetapi bila turun pentas dan berdepan orang ramai, saya seperti tak tahu nak buat apa.

“Bagaimanapun, itu tidaklah bermakna saya susah didekati, sebaliknya saya terima kehadiran peminat dengan hati terbuka sama ada ketika bersemuka mahupun menerusi komunikasi di media sosial,” jelasnya jujur.

Tambah Najwa juga, kelibatnya jarang dilihat ketika majlis hiburan bukan kerana memilih acara, namun kerana sikapnya lebih suka menghabiskan masa di rumah dan membuat kerja-kerja berkaitan muzik.

“Jika tidak terlibat persembahan, saya duduk di rumah buat lagu atau apa sahaja dalam muzik.

“Sejak umur 16 tahun lagi saya sudah mula main muzik, buat lagu selain menyanyi kerana tarikan saya lebih kepada itu berbanding keluar melakukan aktiviti di luar.

“Alhamdulillah keluarga faham minat saya, malah setiap kali ada majlis keraian keluarga, memang saya dicari untuk hiburkan mereka semua,” cerita Najwa.

Leave a Comment