Dapatkan tubuh seperti Randy

Sharing is caring!

Kebelakangan ini seperti menjadi satu trend apabila kalangan selebriti dan artis tampil menghasilkan buku. Ia bukan saja membabitkan artis di negara ini malah juga di Indonesia.

Pelakon dari negara seberang itu, Randy Pangalila baru saja yang melancarkan bukunya yang berkonsepkan senaman dan diet. Dia terpanggil untuk menulis buku itu selepas mendapat banyak pertanyaan daripada peminat yang ingin mendapatkan tubuh sepertinya.

Menerusi buku bertajuk The Secret by Randy Pangalila, Randy berkongsi pandangan dan pengalamannya dalam menjaga kesihatan dengan mengamalkan pola pemakanan yang betul sejak enam tahun lalu.

“Saya sentiasa sibuk dengan jadual penggambaran dan tiada masa untuk ke pusat senaman sedangkan pada masa sama perlu selalu tampil sihat dan bertenaga. Dengan mengamalkan cara pemakanan sihat saya berjaya mengekalkan berat badan ideal. Sejak itu ramai peminat dan kawan mula bertanya apa yang saya amalkan sehingga badan kekal sihat dan fit,” katanya.

Randy berkata, dalam buku itu tertulis segala persoalan yang pernah ditanya kepadanya. Malah idea untuk menghasilkan buku itu timbul selepas dia sering diajukan pelbagai soalan daripada peminat yang melihat tubuhnya berotot setiap kali memuat naik gambarnya di laman Instagram.

“Saya kumpulkan semua soalan yang pernah diajukan dan dimuatkan dalam buku ini berserta jawapannya sekali. Menerusi buku itu pembaca akan tahu apakah rahsia yang saya amalkan.

“Namun, kepada pembaca yang mempunyai masalah kesihatan disarankan bertemu doktor dulu dan minta nasihat mereka sebelum mengamalkan diet yang saya lakukan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Randy berharap buku itu dapat memberi inspirasi kepada pembaca dalam mengamalkan gaya hidup sihat selain melakukan teknik yang betul untuk mengurangkan berat badan.

Tidak hanya berkongsi diet yang dilakukan, Randy turut menyelitkan kisah hidup selain beberapa ‘rahsia’ mengenai dirinya yang tidak pernah diketahui peminat.

“Senaman dan mengamalkan gaya hidup sihat tidak susah malah akan jadi lebih mudah jika dilakukan dengan betul dan itu yang saya tekankan dalam buku itu.

Selain itu, buku itu juga bukan saja mengenai senaman dan diet yang boleh dilakukan di rumah tetapi lebih kepada perkongsian mengenai kehidupan seharian saya,” katanya.

Randy berkata, banyak lagi kisah menarik yang dia selitkan dalam buku itu termasuk gambar eksklusifnya.

“Bagi menghargai peminat, saya turut menghadiahkan album terbaru secara percuma menerusi setiap pembelian buku itu. Ini kerana buku itu saya hasilkan sebelum terbitnya album baru saya, sebab itu tajuknya juga sama dengan album ini. Di dalam buku ini saya selitkan semua lirik lagu daripada album berserta kod gitar bagi yang ingin mempelajari lagu saya,” katanya.

The Secret by Randy Pangalila mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan. Bagi peminat yang ingin mendapatkan buku itu, ia dijual pada harga RM45 (Semenanjung Malaysia) dan RM48 (Sabah & Sarawak).

Menariknya, peminat boleh mendapatkan buku itu pada harga istimewa RM38 di Pesta Buku Antarabangsa di PWTC, Kuala Lumpur bermula 28 April hingga 7 Mei ini.

Leave a Comment