‘Saya pemalu dan pendiam’ – Najwa Mahiaddin

Sharing is caring!

Dikenali sebagai seorang yang cukup low profile, Najwa Mahiaddin mengakui jarang muncul majlis hiburan kecuali kehadirannya dirasakan perlu pada ketika itu.

Menolak anggapan dirinya takut didekati peminat kerana latar belakangnya dari keluarganya yang cukup disegani ramai, kata Najwa dia hanya menjadi dirinya sendiri.

“Untuk mereka yang tidak kenal saya, mungkin mereka tak tahu saya ni pendiam dan pemalu meskipun di kalangan rakan sendiri.

“Saya selesa ketika menyanyi di pentas, tetapi bila turun pentas dan berdepan orang ramai, saya seperti tak tahu nak buat apa.

“Bagaimanapun, itu tidaklah bermakna saya susah untuk didekati, sebaliknya saya menerima kehadiran peminat dengan hati yang terbuka sama ada ketika bersemuka mahupun menerusi komunikasi di media sosial,” jelasnya jujur.

Tambah Najwa juga, kelibatnya jarang dilihat di majlis-majlis hiburan bukan kerana memilih acara, namun kerana sikapnya yang lebih suka menghabiskan masa di rumah dan membuat kerja-kerja berkaitan muzik.

“Jika tidak terlibat persembahan, saya banyak duduk di rumah buat lagu atau apa sahaja berkaitan minat saya dalam muzik.

“Sejak umur 16 tahun lagi saya sudah mula main muzik, buat lagu selain menyanyi kerana tarikan saya lebih kepada itu berbanding keluar melakukan aktiviti di luar.

“Alhamdulillah keluarga memahami minat saya dalam bidang muzik, malah setiap kali ada majlis keraian melibatkan keluarga, memang saya dicari untuk hiburkan mereka semua,” cerita Najwa kepada Kakigosip.

Berkongsi perkembangan terbarunya, kata Najwa, dia bakal tampil dengan single bertajuk Sentiasa Merinding, duet bersama rakan baiknya, Imran Ajmain yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

“Sebenarnya ia merupakan projek cukup istimewa kerana dilakukan secara tidak sengaja lebih tiga tahun lalu di mana kami pada mulanya hanya cuba-cuba namun kemudiannya jatuh hati dengan hasil rakaman tersebut.

“Jadi, saya dan Imran rasakan mengapa tidak kami kongsi lagu tersebut bersama peminat dan membuat penambahbaikan menerusi gubahan muzik lebih cantik untuk diperdengarkan.

“Sentiasa Merinding merupakan lagu berkonsepkan R&B, namun dalam masa yang turut disuntik elemen muzik lain menjadikan ia kedengaran sedikit istimewa, apatah lagi dengan suara Imran yang sangat klasik,” ujar Najwa teruja.

Selain single yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat, Najwa memberitahu dia kini dalam proses awal pembikinan album keduanya selepas Innocent Soul yang diterbitkan lebih enam tahun lalu.

“Inya-ALLAH saya kini memulakan kerja-kerja awal untuk pembikinan album kedua yang dijangka berada di pasaran tahun depan.

“Masih merupakan album penuh berbahasa Inggeris, namun kali ini saya cuba beri sesuatu yang lebih fresh di mana banyak sentuhan baru yang bakal diperlihatkan dalam album ini terutama menerusi gubahan muziknya,” katanya yang pernah  memenangi kategori Artis Baru Terbaik dan Lagu Inggeris Terbaik di Anugerah Industri Muzik pada tahun (2011).

Leave a Comment