‘Tak kisah dikecam’

Sharing is caring!

Sejak siri 13 Reasons Why ditayangkan, kontroversi demi kontroversi tercetus menyebabkan penyanyi dan pelakon, Selena Gomez akhirnya membuka mulut.

Penyanyi It Ain’t Me itu yang juga penerbit bersama siri ditayangkan di Netflix itu bersuara mengenai kecaman terhadap siri berkenaan selepas menggambarkan karakter fiksyen Hannah Baker dan sebuah kumpulan pencegah bunuh diri.

“Kami mengikut sepenuhnya buku berkenaan yang ditulis Jay Asher dan ceritanya memang tragik, menggerunkan dan rumit. Itulah yang cuba kami gambarkan dan lakukan.

“Kami mahu memberikan keadilan kepada karya itu dan tidak kisah kalau dikecam. Bukan mudah tetapi saya sangat bertuah dapat menjadi sebahagian daripada siri berkenaan,” katanya.

Siri berkenaan ternyata bukan saja menarik perhatian penonton bahkan daripada kalangan selebriti juga. Paris Jackson dan Shannon Purser misalnya sudah bersuara mengenai siri kontroversi itu.

Paris yang pernah melakukan cubaan bunuh diri tidak lama dulu menyifatkan siri berkenaan terlalu kuat mencetuskan rasa ingin tahu.

“Tonton rancangan itu dengan berhemah dan beringat bahawa ia mungkin boleh membawa anda dalam kegelapan. Kalau kamu ada kesukaran hidup, jangan tonton siri itu,” tulis Paris di Instagram.

Siri berkenaan mula ditayangkan pada 31 Mac lalu dan meraih perhatian kerana subjeknya terlalu sensitif.

Sekolah di Amerika Syarikat turut mengeluarkan kenyataan dan mengadakan mesyuarat mengenai siri itu. Tidak ketinggalan, ibu bapa diminta lebih berhati-hati dan adakan perbincangan mendalam dengan anak mereka mengenai bunuh diri.

“Saya cuma mahu perkara itu disedari anak muda yang keliru dan memberitahu kejadian sebegitu berlaku setiap masa,” katanya.

Bagaimanapun, ramai nampaknya tidak bersetuju dengan siri itu yang jelas menjurus ke arah negatif.

Pengarah Eksekutif Suicide Awareness Voices of Education Dan Reidenberg mengatakan rancangan itu lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding kebaikan.

Leave a Comment