Amyra tidak letak syarat

Sharing is caring!

Penerbit drama Isteri Tuan Ihsan, Zetty Alia Ramli menafikan khabar angin mengatakan heroin drama itu Amyra Rosli tidak terbabit dalam pembikinan telefilem raya Family Tuan Ihsan atas faktor kesihatan.

Alia berkata, telefilem terbitan Global Station Sdn Bhd itu bakal memulakan penggambaran 11 Mei ini dan membabitkan semua pelakon asal drama itu.

“Pada mulanya memang pengurus Amyra memaklumkan dia tak dapat berlakon dalam telefilem ini, tetapi selepas melakukan perbincangan Amyra boleh terbabit sama.

“Jadi, saya pun tak jadi menggantikan watak itu dengan pelakon lain. Bagaimanapun, jika Amyra memang tak boleh buat, watak Seroja Irdina itu terpaksa dimatikan. Saya juga perlu wujudkan watak lain bagi menggantikan watak itu,” katanya kepada Harian Metro.

Alia berkata, penggambaran yang bakal dijalankan masih mengambil kira keadaan kesihatan Amyra yang kini hamil tiga bulan.

“Watak Seroja Irdina dalam drama dan telefilem ini berbeza. Jika dalam drama bersiri, Seroja digambarkan sebagai wanita yang aktif dan gila-gila, tapi dalam telefilem ini ia disesuaikan dengan keadaan Amyra sekarang.

“Saya dan pasukan masih mengambil berat keadaan Amyra apatah lagi usia kandungannya masih baru. Justeru banyak perkara perlu dititikberatkan. Apa pun kita doakan semoga penggambaran berjalan lancar,” katanya.

Pada masa sama, Alia memaklumkan pihak Amyra tidak meletakkan sebarang syarat untuk terbabit dalam telefilem yang bakal ditayangkan pada Aidilfitri ini.

Leave a Comment