Siti Nurhaliza Puji Suara Ernie Zakri

Sharing is caring!

Penyanyi terkenal negara, Datuk Siti Nurhaliza menyifatkan juara Duo Star, Ernie Zakri memiliki bakat yang luar biasa dalam bidang seni suara.

Bahkan, penyanyi berusia 38 tahun itu percaya Ernie mampu menyumbangkan sesuatu yang berharga untuk industri seni negara.

“Sebenarnya, saya dah lama ikut perkembangan dia (Ernie), tak kiralah dalam apa jua persembahan atau pertandingan yang disertai.

“Bagi saya, dia ada kelebihan tersendiri dari segi vokal dan teknik nyanyian. Saya dan suami adalah peminat dia. Kami suka suara dia.

“Saya percaya, dia antara pendatang baru yang boleh pergi jauh apatah lagi dia juga semakin dikenali,” katanya pada Kakigosip selepas majlis pelancaran Anugerah Aidilfitri 2017 Creacion by Datuk Siti Nurhaliza, semalam.

Jelasnya, faktor itu juga yang membawa kepada pembabitan Ernie dalam persembahan pembukaan sempena pelancaran koleksi sempena Aidilfitri nanti.

Menerusi persembahan pembukaan, Ernie memukau khalayak menerusi lagu Bust Your Windows (nyanyian asal Jazmine Sullivan) sebelum berduet dengan Siti melalui lagu Malam Pesta Muda Mudi (Saloma).

“Saya tertarik apabila lihat dia nyanyi lagu Bust Your Windows sambil diiringi piano di laman Instagram.

“Saya lihat bakat dia memang dahsyat. Bagilah apa saja lagu, saya percaya dia boleh bawa,” katanya.

Kali ini, bagi menunjukkan kelainan, pertunjukan fesyen itu turut diiringi live band melalui persembahan mini orkestra bahkan Siti juga hadir dengan menaiki beca.

“Saya dan team berbincang untuk mendapatkan persembahan yang berbeza dari sebelum ini.

“Jadi, bila ada mini orkestra ini, maka dengan sendirinya akan menaikkan mood.

“Saya pilih cara ini supaya ia kena dengan koleksi pakaian yang ingin diperkenalkan. Lagi pula, bolehlah berangan sekejap gaya Victoria Secret (ketawa),” katanya.

Bagi koleksi sempena Hari Raya itu, Siti menekankan konsep Nostalgia yang menjurus kepada rekaan yang pernah digayakan oleh bintang legenda, Allahyarham Puan Sri Saloma.

“Tema nostalgia diangkat dengan mengilhamkan gaya biduanita tersohor, Saloma dan diterjemahkan dalam koleksi kali ini yang lebih moden namun kekal dengan potongan klasik,” katanya.

Katanya, koleksi Creacion Anugerah Aidilfitri 2017 menampilkan 40 rekaan dari The Nostalgia Series dengan harga RM189 hingga RM300 dan 15 rekaan dari The Premium Series yang dijual pada harga bermula RM500.

“Koleksi siap dipakai itu akan mula berada di pasaran pada 10 Mei ini, manakala koleksi premium pula akan dijual pada penghujung bulan nanti,” katanya.

Leave a Comment