
PKR setuju dengan pendekatan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengekalkan tiga wakil Pas dalam Exco Kerajaan Negeri.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Biro Politik PKR yakin terhadap kepimpinan Azmin untuk terus menerajui Kerajaan Negeri dan melaksanakan pembangunan negeri demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Selangor.
Menurutnya, Azmin menjelaskan walaupun mereka bukan sebahagian dari Pakatan Harapan, kesemua 13 Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dari Pas telah bersetuju untuk terus menyokong dasar kerajaan negeri.
“Biro Politik PKR bersetuju dengan pendekatan Menteri Besar Selangor untuk menjamin kestabilan Kerajaan Negeri menjelang PRU14 dan meneruskan usaha membangunkan Negeri Selangor selaras dengan mandat besar rakyat pada PRU13,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
PKR sebelum itu mengadakan mesyuarat Biro Politik untuk mendengar taklimat dari Azmin berhubung isu keputusan Majlis Syura Ulamak Pas yang membatalkan tahaluf siyasi di antara Pas dengan PKR.