
Pelakon baharu Elvina Mohamad terkejut dengan berita kononnya dia bersama beberapa pramugari ditangkap baru-baru ini.
Menerusi ruangan pojok sebuah akhbar menyebut, perkara itu timbul gara-gara tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengeksploitasi berita mengenai beberapa pramugari ditangkap dengan menggunakan gambar orang tidak berkenaan.
Dalam gambar tersebut turut terselit bintang utama drama bersiri Shhh…I Love You itu justeru timbul spekulasi dia juga antara enam yang ditangkap.
Sedangkan ketika berita itu disiarkan, kebetulan Elvina berada di Bangkok, Thailand kerana urusan kerja.
Kata Elvina, dia terkejut apabila ramai yang menghantar keratan laman sosial menggunakan gambar terbabit kepadanya dan bertanyakan kesahihan berita disiarkan. Disebabkan perkara itu juga, ramai yang salah anggap. Dia juga terkejut dengan komen umum menyebabkan dia menjadi keliru.
Dia tidak tahu apa motif sebenar laman sosial itu memuat naik semula berita yang diambil daripada media tempatan dan menggunakan gambarnya bersama tertuduh. Dia percaya gambar itu diceduk daripada laman Instagram tertuduh.
Mengenai gambar terbabit, Elvina percaya tertuduh dan temannya pernah terserempak dengannya dan mungkin kerana mengetahui dia pelakon, tertuduh meminta untuk merakamkan gambar bersama.
Akui Elvina, dia memang tidak mengenali tertuduh sama sekali tetapi mengingati gambar itu dirakam sewaktu dia sedang menikmati makan malam di sebuah restoran makanan Arab di ibu kota.
Bimbang perkara itu akan memberi implikasi buruk kepada kerjaya seninya, Elvina merujuk perkara itu kepada pihak pengurusannya, Mind Order dan setakat ini peguam syarikat pengurusan sedang memantau isu yang dibangkitkan.
Sekiranya perkara itu memberi kesan buruk kepada kerjaya seninya, pengurusannya tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab.