
Kegembiraan terserlah daripada bicara Yuna apabila ditanya mengenai pengalamannya menemu bual penerbit muzik legenda Amerika Syarikat (AS), Quincy Jones pada pelancaran JBL Audio E55BT Edisi Quincy di Los Angeles, AS, baru-baru ini.
Penyanyi berusia 31 tahun ini cukup teruja apabila dapat bertentang mata dengan Quincy yang juga individu di sebalik kejayaan Michael Jackson menerusi album terbitannya seperti Off the Wall pada 1979, Thriller (1982) dan Bad (1987).
“Dia pemuzik terulung. Saya sangat teruja dan seperti tidak percaya dapat meluangkan masa dengannya. Quincy adalah penulis lagu yang hebat. Dia sudah terbabit dalam industri muzik di AS lebih 60 tahun,” katanya kepada RAP.
Dalam temu bual itu, Yuna berkata, dia sempat bertanya beberapa soalan kepada Quincy dan meminta pandangannya berhubung siapakah artis masa kini yang memberinya harapan untuk industri pada masa depan.
“Kami berbincang mengenai muzik dan bakat baru dalam bidang muzik. Saya turut bertanya kepadanya siapa pemuzik kegemarannya dan apa pendapatnya mengenai artis sekarang.
“Namun, apa yang lebih menyentuh hati saya, dia memberitahu keyakinannya terhadap bakat yang saya miliki. Saya sudah lama bertapak di sini, jadi ini adalah momen yang sangat bermakna bagi saya ,” katanya.
Yuna yang popular menerusi lagu Crush duetnya bersama Usher itu turut memuji sikap rendah diri Quincy .
Apa tidaknya, antara nasihat Quincy yang masih dipegang adalah supaya sentiasa merendah diri.
“Tanggungjawab kita sebagai pemuzik dan penulis lagu adalah untuk sentiasa rendah diri. Bakat ini adalah daripada Tuhan. Ia bukan milik kita jadi gunakan ia dengan bijak dan sentiasa bersifat rendah diri,” kata Yuna menceritakan nasihat yang diberikan Quincy.
Pengalaman Yuna bersama Quincy turut menjadi peringatan untuk sentiasa melayan kru produksi dengan baik.
“Kata Quincy, kita jangan sesekali kisah dengan penat lelah kerja yang dilakukan. Layanlah pihak kru dan orang sekeliling dengan baik kerana ia mencerminkan sikap anda.
“Saya sudah lihat semuanya. Ada yang menjeling kepada pengarah, ada yang marah jurukamera, ada yang tidak cakap ‘maaf’ atau ‘terima kasih’. Ada yang di dalam industri ini selama 30 tahun, ada yang tidak sampai setahun,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Yuna berkata, dia kini sibuk menulis lagu untuk album keempatnya.
“Saya belum ada rancangan untuk melancarkan album tahun ini kerana sibuk membuat persembahan di luar negara terutama di Eropah. Insya-Allah album saya akan dilancarkan tahun depan,” katanya.