Malang nasib Lufya Omar yang sedang hamil lapan bulan apabila dia terjatuh dari pentas selepas siaran langsung Da’i pada malam Ahad lalu.
Kejadian buruk itu berlaku apabila dia tidak perasan sudah berada di hujung pentas setinggi satu meter.
“Selepas tamat program Da’i saya mengalami musibah terjatuh dari stage lebih kurang satu meter tingginya. Tidak dijangka keadaan ini berlaku terlalu pantas sejurus selepas habis program berkenaan.
“Saya diajak bergambar bersama usahawan yang merupakan pemilik jenama Siti Khadijah tetapi belum sempat bergambar saya terjatuh dari pentas.
“Dalam keadaan tidak menyedari ruang yang saya berdiri sudah di hujung pentas dan lantai hitam yang saya jangkakan pentas rupa-rupanya ia ialah lantai menyebabkan saya tidak perasan lalu terjatuh,
“Malang tidak berbau, Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini cuma memohon setiap doa anda supaya kandungan bayi saya dalam keadaan sihat dan kecederaan saya beransur pulih.
“Setakat ini saya masih bawah pemerhatian doktor dan berharap anda semua mendoakan saya terutamanya kandungan saya agar ia selamat,” ujarnya memetik mStarOnline.