
Penduduk beberapa kampung sekitar Estet Ladang Kerilla, dekat sini, yang menternak lembu dalam kawasan ladang itu sekali lagi dikejutkan dengan kejadian haiwan ternakan mereka mati dipercayai akibat diracun.
Dalam kejadian terbaru kelmarin, tiga lembu milik penduduk ditemukan mati dalam kawasan ladang berkenaan disyaki akibat perbuatan khianat berdasarkan penemuan perangkap racun.
Awal Mei lalu, lebih 40 lembu ternakan penduduk dalam kawasan ladang sama mati berperingkat dipercayai kesan diracun sehingga menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit.
Mangsa terbaru, Che Fazli Che Mohammed, 32, berkata, dia tahu lembu miliknya mati ketika berada di tempat kerja di Sekolah Kebangsaan Bukit Panau, dekat sini, kira-kira jam 11.45 pagi.
Katanya, setelah pulang dan buat pemeriksaan, dua lembu miliknya ditemukan mati dengan kesan diracun, manakala keadaan 40 lagi lembu peliharaannya dalam ladang sama belum dapat dipastikan.
“Saya percaya kejadian disebabkan perbuatan khianat dan dilakukan dengan niat untuk bunuh lembu ini berdasarkan penemuan perangkap racun yang diletakkan di laluan lembu masuk ke ladang.
“Lokasi bangkai lembu juga terlalu dekat dengan perangkap racun iaitu kira-kira 50 meter menguatkan lagi keyakinan saya yang lembu ini mati akibat diracun,” katanya, semalam.
Tunggu laporan makmal
Menurutnya, sampel racun dan spesimen lembu yang mati sudah diambil pejabat veterinar untuk dihantar ke makmal bagi tujuan analisis dan laporan lengkap kejadian.
Katanya, dia melaporkan kejadian itu kepada pejabat veterinar bagi mendapatkan pengesahan punca sebenar haiwan ternakannya mati, yang dia yakin disebabkan racun.
“Saya difahamkan keputusan ujian makmal mungkin mengambil masa tetapi bergantung juga kerana jika ada unsur jenayah, mungkin keputusan lebih cepat,” katanya.
Katanya, dia turut membuat laporan polis di Balai Polis Tanah Merah pada jam 12.13 tengah malam, kelmarin.
Dia mengecam perbuatan kejam pihak terbabit yang menggunakan racun untuk membunuh lembu peliharaan penduduk di ladang berkenaan.
“Mengapa racun boleh sewenang-wenangnya digunakan untuk membunuh haiwan dan cara yang digunakan ini juga satu kaedah menganiayai binatang.
“Sedangkan membunuh anjing pun menjadi kesalahan dan melanggar undang-undang, apatah lagi membunuh lembu peliharaan yang menjadi makanan dan sumber pendapatan orang kampung,” tegasnya.
Racun bahaya pada manusia
Tambahnya, berdasarkan pemerhatian awal, racun dicampur dengan garam itu dipercayai sangat bertoksik yang biasa digunakan untuk membasmi serangga perosak.
Katanya, racun itu juga berbahaya kepada manusia kerana boleh menyebabkan loya, pening dan racau, sistem pernafasan lumpuh, kerosakan kekal pada sistem saraf, bahkan malah kematian jika terhidu atau termakan.
“Saya harap pihak berkuasa menyiasat kejadian dari segenap sudut supaya pihak terbabit dihukum atas perbuatan kejam mereka,” katanya.
Mengenai tindakan penduduk melepaskan lembu peliharaan di kawasan ladang, Che Fazli memberitahu, aktiviti itu sudah menjadi tradisi turun-temurun penduduk sekitar sejak puluhan tahun lalu.
“Memang dia (pengurusan ladang) bina pagar tetapi kenapa sekarang baru nak halang dan berlaku kejadian (lembu mati diracun) ini sedangkan aktiviti ini sudah ada di sini sejak puluhan tahun.
“Sebelum ini tidak ada masalah integrasi penduduk dan pengurusan ladang dalam soal ternak lembu dalam ladang ini cuma sejak enam tahun lepas sahaja, kejadian ini berlaku dan sudah ratusan lembu kami mati diracun,” katanya.