
Syarikat produksi Darkwave Pictures Sdn Bhd milik Datuk Rafiena Ezanee berbesar hati dapat meraikan anak yatim dari Madrasah Idrisiah di Kuala Kangsar, Perak menerusi program kem bina semangat yang diadakan di teman tema Lost World of Tambun, Ipoh, baru-baru ini.
Seramai 26 anak yatim dibawa berkampung selama tiga hari dua malam di taman tema berkenaan dengan pelbagai aktiviti menarik.
Program terbabit juga diadakan sempena 10 tahun pembabitan Darkwave Pictures dalam industri seni tanah air.
Walaupun berdepan pasang surut untuk menempa nama, Rafiena dilihat kebal dan tidak sesekali putus asa untuk kekal utuh sebaris dengan syarikat penerbitan ternama.
Rafiena berkata, pihaknya tidak mahu melepaskan peluang untuk meraikan anak yatim sekali gus membawa senyuman untuk anak kecil yang kurang bernasib baik itu.
Menurutnya, program seperti itu adalah kaedah umum untuk syarikat miliknya menghulurkan bantuan kepada golongan terbabit, sekali gus dapat memberi pendedahan kepada warga Darkwave Pictures untuk mendekati mereka yang kurang bernasib baik.
“Ini platform yang baik buat warga Darkwave kerana dapat merasai pengalaman membantu golongan kurang bernasib baik terutama anak yatim,” katanya.
Menurut Rafiena, semua remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun itu dianggap sebagai anak angkatnya selepas melawat madrasah itu, baru-baru ini.
“Hati saya terusik apabila mendengar masalah yang mereka hadapi. Melihat keadaan sekolah mereka yang uzur juga membuatkan hati saya hiba dan terfikir bagaimana mereka belajar serta bermalam di sana?
“Lagipun, mereka anak yatim dan bukan daripada golongan senang. Jadi saya nekad mengambil mereka sebagai anak angkat dengan memberi bantuan apa yang termampu.
“Insya-Allah saya akan menghulurkan bantuan kepada mereka dari semasa ke semasa mengikut kemampuan diri. Bagi yang berminat untuk membantu boleh terus berbuat demikian melalui pihak sekolah,” katanya.
Ditanya apakah yang membuatkan dia terpanggil untuk membantu dan meraikan anak yatim, Rafiena berkata, sejak kecil dia dididik untuk berbuat baik dengan menyayangi kanak-kanak.
“Ayah seorang yang tegas di rumah, tetapi apabila melayani kanak-kanak dia sangat lemah lembut. Saya menjadikan dia sebagai idola. Dia juga sering manjakan anak kecil membuatkan saya juga mahu mengikut jejak langkahnya,” katanya.
Program yang berlangsung tiga hari dua malam itu bermula dengan akvitiviti Ice Breaking, tazkirah santai daripada PU Yeop, Night Jungle Walk & Limestone Strail, 6th Mile Tunnel, Cabaran XXX dan Zip Line.
Kanak-kanak itu gembira dan teruja apabila aktiviti sebegini adalah pertama kali diadakan di sekolah mereka.
Bagi Nur Izzah Husna Mohd Radzif, 15, dia mengakui program ini antara pengalaman berharga pernah disertainya.
“Sepanjang program ini berlangsung saya kutip dan belajar banyak ilmu. Kem ini mengajar saya untuk menjadi lebih berani dan berusaha keras dalam setiap apa yang kita lakukan.
“Saya sudah anggap Datuk Rafiena sebagai ibu sendiri dan memanggilnya mama. Peluang ini memang tidak akan saya lupakan. Antara aktiviti paling menyeronokkan adalah ketika berjalan malam,” katanya.
Muhammad Mustaqim Mohd Nasir, 14, pula berkata, dia teruja apabila dimaklumkan kem ini bakal diadakan di Lost World of Tambun.
“Kalau nak pergi sendiri memang tak mampu, tapi alhamdulillah ada yang sudi bawa sekali gus merasai pelbagai aktiviti lasak yang disediakan taman tema ini.
“Terima kasih kepada penganjur kerana sudi memilih kami dalam program kem bina semangat ini. Semoga aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara kita,” katanya.
Sementara itu, program yang berlangsung ini turut menjalani sesi penggambaran bagi meneruskan program majalah, Jejak Seribu Kaki untuk musim kedua.
Untuk edisi kedua ini, Darkwave Pictures memilih pelakon Raja Ilya sebagai percubaan untuk membawa program terbabit kepada pihak stesen televisyen.