Nana kata selesa berkawan saja

Sharing is caring!

DIKELILINGI artis lelaki muda dan popular, tentunya penyanyi Siti Nordiana Alias, 32, dicemburui peminat atau dikatakan menjadi rebutan ramai jejaka.

Bagaimanapun, Siti Nordiana atau Nana akui peminat sangat memahami hubungan baiknya bersama selebriti lelaki yang masih bujang hanya sekadar kawan rapat.

Katanya, tiada istilah dirinya menjadi rebutan sesiapa pun kerana hubungan rapat itu atas dasar persahabatan semata-mata.

“Apa yang pasti peminat saya memang tahu setiap selebriti lelaki bujang yang rajin komen di akaun Instagram (IG) saya ialah kawan baik yang rapat dengan saya.

“Apatah lagi, saya sendiri memang selesa berkawan rapat dengan mereka (selebriti lelaki) itu memandangkan saya tidak ramai kawan perempuan,” katanya.

Antara selebriti lelaki yang masih solo dilihat agak rapat dan berkawan baik dengan Nana kini ialah Zoey Rahman, Fikry Ibrahim dan Khai Bahar.

Kata Nana, memang tiada sebarang hubungan istimewa dijalin kerana dia lebih selesa bersahabat.

“Urusan jodoh saya tidak tahu tetapi buat masa sekarang untuk saya sendiri memang selesa berkawan saja.

“Ditambah lagi, apa yang boleh membuatkan saya, Zoey, Fikry dan Khai selesa jadi kawan ialah kami satu kepala, suka bergurau dan tidak lupa sentiasa menyokong karier masing-masing,€ katanya.

Nana sangat berterima kasih kepada semua peminatnya kerana cukup memahami dan tidak jemu terus memberi sokongan kepadanya dan rakan selebriti lelaki yang bersahabat baik dengannya.

“Sebenarnya, saya berasa sangat bersyukur dan puas hati kerana peminat faham. Saya tidak mahu mereka (peminat) salah sangka.

“Lagipun, sudah lapan tahun menjadi ibu tunggal membuatkan saya sangat berdikari dan kuat bekerja demi rezeki untuk anak serta keluarga. Itu sudah buat saya gembira,” katanya.

Kata Nana, kini tumpuannya hanya terarah kepada karier seni saja kerana dia sudah bertekad mahu menggunakan peluang kedua sejak 2015 lalu dengan sebaik mungkin.

Apa yang menjadi impiannya kini ialah berjaya memastikan kariernya dalam industri seni tanah air kekal bertahan dan tidak akan jatuh terduduk seperti dulu lagi.

Leave a Comment