
SETELAH hampir 25 hari ditayangkan, filem terbitan Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan, Tombiruo: Penunggu Rimba, mencatat kutipan lebih RM7 juta.
Filem ini yang diadaptasi dari karya novelis thriller nombor satu Malaysia, Ramlee Awang Murshid ditayangkan menerusi 117 pawagam.
Istimewanya, Tombiruo mendapat sentuhan daripada pengarah Seth Larney, yang juga Pengarah Kesan Visual dan pernah bekerja dengan produksi di Australia untuk pembikinan filem popular The Matrix Reloaded And Revolutions; Star Wars: Revenge of The Sith; Xmen Origins: Wolverine; Stealth; Superman Returns; Fools Gold dan The Chronicles of Narnia: Voyage of The Dawn Treader.
Sejak awal tayangan filem ini lagi, Tombiruo yang dijayakan pelakon Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Farah Ahmad, Atu Zero, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Datuk M Nasir, Datin Marlia Musa, Faye Kusyairi dan ramai lagi, telah mendapat respons yang cukup positif dari peminat filem tanah air.
Ramai menyifatkan pembikinan filem ini segar dengan kualiti filem setanding luar negara.
Atas pujian yang diberikan itulah telah membuatkan pihak penerbit mengambil satu langkah berani dengan bekerjasama dengan AMP International untuk memasarkan filem ini ke peringkat antarabangsa.
Pihak penerbit juga masih lagi aktif dalam mempromosikan filem ini tambahan lagi apabila kini harus bersaing dengan filem blockbuster dari luar negara dan bersyukur filem ini masih mendapat sokongan daripada penonton serta juga pihak pawagam.
Sementara itu, Pengarah Jualan Global dan Pengambilalihan di AMP International, James Norrie menyatakan, pihak penerbit serta pengarah filem Tombiruo telah berjaya menghasilkan sebuah filem berbentuk Asian Superhero.
“Kami tidak sabar untuk memasarkan filem ini ke pasaran antarabangsa dan sekali gus membentuk kelompok peminatnya tersendiri,” katanya.
Tombiruo: Penunggu Rimba memaparkan kisah Ejim digelar sebagai Tombiruo kerana dianggap sebagai penunggu rimba. Lelaki yang sentiasa bertopeng ini disisihkan oleh penduduk kerana memiliki wajah bukan manusia.
Apabila satu insiden yang tragis berlaku pada Tombiruo, ia telah menimbulkan kemarahannya dan dendam. Sementara itu, Amiruddin menganggap Tombiruo sebagai punca keperitan hidup keluarganya dan mula menjejaknya. Pergelutan di antara mereka berlaku demi menegakkan kebenaran masing-masing.
Saksikan filem Tombiruo di pawagam di seluruh negara. Layari laman sesawang www.tombiruomovie.com serta laman sosial Facebook, Twitter, Instagram serta Youtube Astro Shaw dan Astro Gempak untuk berita dan informasi terkini.
Pengguna laman sosial boleh menggunakan tanda pagar #tombiruo, #tombiruomovie dan #penunggurimba sebagai tanda sokongan pada filem ini.