U9 isi ruang kosong

Industri muzik tanah air pernah menyaksikan kemunculan kumpulan Exists yang ketika itu dianggotai sekumpulan remaja pada 1991.

Fenomena ini kemudiannya diteruskan kumpulan New Boyz pada 1999 dan turut diikuti beberapa kumpulan lagi.

Selepas era itu, dunia seni seakan-akan ketandusan bakat berkumpulan remaja seperti diperlihatkan Exists dan New Boyz yang masih lagi aktif dalam muzik.

Bagaimanapun, kemunculan kumpulan U9 mungkin boleh mengubati kekosongan yang diting­galkan dua kumpulan popular ini.

Ditubuhkan pada pertengahan 2017, U9 dianggotai Hairul, 15, sebagai vokalis , Naqib, 15, (bass), Syed Ahmad, 15, (gitar utama), Dann, 15, (gitar kedua) dan Aiman, 11, sebagai pemain dram.

Uniknya, mereka berlainan negeri tetapi sama-sama menuntut di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur.

U9 yang kini bernaung di bawah label Insictech Musicland Sdn Bhd kini tampil dengan single pertama berjudul Bukan Milikku.

“Kami berempat kecuali Aiman pernah belajar di sekolah yang sama dan sering terbabit buat persembahan bersama. Dari situlah timbul idea untuk tubuhkan kumpulan.

“Kami akhirnya diterima sebagai artis Insictech Musicland Sdn Bhd pada September lalu dan daripada inilah timbulnya nama kumpulan U9,” kata Naqib selaku ketua kumpulan.

Hairul berasal dan tinggal di Negeri Sembilan, Naqib di Perak, Syed Ahmad di Putrajaya, Dann di Kelantan dan Aiman di Selangor.

Naqib, Dann dan Syed Ahmad masih kekal belajar di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, manakala Hairul dan Aiman pula menuntut di sekolah berlainan.

Sebagai kumpulan baru, mereka berharap lagu ciptaan Anas Adnan atau Azza ini akan membantu memperkenalkan nama mereka kepada peminat.

“Dia komposer baru tapi lagu ciptaannya cukup sinonim dengan jiwa remaja. Kami berani ambil lagu ini kerana melodinya yang bagus dan menarik.

“Sebelum merakamkan single, kami buat tinjauan terlebih dahulu dan mendapati peminat sukakan genre pop. U9 sendiri selesa dengan genre ini,” kata Hairul pula.

Bergelar artis pada usia muda sememangnya memberikan cabaran tersendiri. Hakikat ini diakui anggota U9 yang terpaksa mengimbangi antara pelajaran dan karier.

“Inilah situasi yang kami perlu lalui. Kami datang dari negeri berbeza dan terpaksa menyesuaikan diri antara satu dengan yang lain.

“Pada masa sama, kami masih belajar dan perlu membahagikan masa sebaik-baiknya agar tak menimbulkan masalah pada masa depan,” kata Naqib.

Sekiranya terbabit dengan sesuatu persembahan, barulah semua anggota U9 akan berkumpul bagi mengadakan latihan bersama.

Selain menuntut ilmu secara formal, anggota U9 juga mempunyai pendedahan peribadi dalam seni antaranya Hairul pernah menyanyi di majlis kahwin, manakala Aiman pernah terbabit dengan persembahan bersama kumpulan Khalifah.

Agak menggembirakan kumpulan ini kerana muzik video rasmi lagu Bukan Milikku kini sudah ditonton 218,000 peminat di YouTube.

“Lagu berkonsep cinta mudah diterima peminat kerana setiap individu pernah mengalami situasi ini.

“Dari sudut persaingan, kami tak pernah melihat kemunculan U9 untuk bersaing dengan kumpulan lain. Peminat boleh menerima kami pun dianggap satu pencapaian membanggakan,” kata Naqib.

Peminat boleh memiliki lagu ini menerusi jualan digital i-Tunes, Apple Music, Spotify, Deezer, JOOX, Yonder, KKBox dan Akazoo.

Ia juga boleh didapati dalam bentuk jualan nada dering semua syarikat telekomunikasi utama.

loading...

Add Comment