Farid Kamil Mengaku Tidak Bersalah Ambil Dadah

Pelakon dan pengarah filem Datuk Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan iaitu memasukkan dadah jenis THC (Tetra Hydrocannibol) ke dalam badan, pada 11 Januari lalu.

THC ialah kumpulan dadah jenis kanabis atau ganja.

Farid, 37, bagaimanapun minta dibicarakan selepas pertuduhan itu dibaca di hadapan majistret, Nor Ariffin Hisham di mahkamah majistret di sini pada Khamis.

Nor Ariffin menetapkan tarikh yang sama dengan sebutan empat tuduhan jenayah yang dihadapinya iaitu 5 Mac depan sebagai sebutan semula kes ini.

“Saya Baik-Baik Sahaja, Hanya Ikut Perintah”- Farid Kamil

Pelakon filem Pinjamkan Hatiku itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira pukul 4.30 petang, 11 Januari 2018.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan polis tidak lebih tiga tahun, jika disabitkan kesalahan.

Farid hadir ke mahkamah memakai baju T berwarna hitam dan berjaket biru ditemani adiknya iaitu Fadzil Zahari dan penguamnya Athari Bahardin.

Mahkamah membenarkan Farid diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga selesai kes.

Terdahulu Farid mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan termasuk menampar seorang anggota polis trafik di Balai Polis Kota Damansara pada 11 Januari lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin pada 16 Januari lalu.

loading...

Add Comment