Cabaran membentuk Badang versi baru

FILEM Badang arahan Datuk Prof.Dr. A.Razak Mohaideen terbitan FiTA Studios dan UiTM Holdings bakal menjanjikan sesuatu yang istimewa buat pencinta filem tempatan apabila ditayangkan di pawagam bermula depan 15 Februari depan.

Katanya, sudah agak jarang dunia perfileman di negara ini tidak disajikan dengan filem bercorak adi wira komedi dan harapannya agar Badang mampu meraih perhatian ramai dan sesuai ditonton seisi keluarga.

Lebih menarik, filem tersebut turut menampilkan pengasas kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri yang mendukung watak Bad, sekali gus menjadi antara tarikan tersendiri Badang versi baru ini. 

Pengarah prolifik berkenaan berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di malam gala tayangan filem Badang di mmCineplex, eCurve Damansara baru-baru ini.

“Pastinya saya meletakkan harapan besar agar filem ini mendapat reaksi yang baik daripada penonton kerana sudah agak lama kita tidak dihidangkan dengan filem super hero komedi seperti ini.

“Malah penampilan Datuk Aliff juga menjadi sesuatu yang menarik sebab apabila kami berjumpa dengannya untuk berbincang mengenai Badang, Aliff sendiri terkejut kerana belum pernah ada produksi yang menawarkannya berlakon.

“Saya mahu cari individu yang popular, tetapi bukan artis untuk memainkan watak Badang dan Aliff merupakan antara calon pilihan tepat apabila kami melakukan perbincangan,” jelas Razak yang turut menafikan, penglibatan penyanyi Abang Nak Tegur di dalam filem berkenaan ada kaitan dengan pelaburan yang dilakukan Aliff.

“Saya ada mendengar dan terbaca, ada desas-desus mengatakan mungkin Aliff taja filem ini. Jadi saya ingin maklumkan bahawa Badang bukan pelaburan daripadanya. Tidak ada kena mengena sebab kita yang bayar dia untuk berlakon,” katanya lagi.

Ambil risiko
Berkongsi mengenai apakah cabaran terbesarnya di dalam mengarahkan Badang, Razak menambah proses dalam pembentuk karakter Badang seperti yang diinginkan menjadi cabaran terbesar, apatah lagi apabila bekerjasama dengan pelakon yang pertama kali beraksi di layar perak.

“Cabaran paling besar adalah untuk membentuk Aliff sebagai Bad (Badang). Bagi saya itu adalah sesuatu yang sangat mencabar. Bagaimanapun sebelum penggambaran berjalan saya sudah duga, aspek tersebut akan menjadi cabaran yang paling sukar.

“Namun saya ambil itu sebagai peluang dan cabaran untuk diri sendiri dan produksi juga. Mahu membentuk seseorang pelakon itu bukanlah suatu yang mudah, lebih-lebih lagi pendatang baru.

“Jujurnya juga, saya kerap memarahi Aliff di set demi mendapatkan kualiti lakonan terbaik daripadanya. Bagaimanapun saya teruja untuk mengarahkan kerana dia bersungguh-sungguh. Malah saya turut berpuas hati kerana menerusi latihan dan bantuan daripada para pelakon lain, akhirnya Badang di tangan Aliff dapat dibawa seperti yang diinginkan.

“Pada masa sama, saya juga mahu berikan kredit buat pelakon lain misalnya Fauzi Nawawi yang berjaya bawa wataknya supaya dibenci dan Fasha kita semua tahu dia sering memberikan komitmen terbaik, hadir ke lokasi penggambaran tepat pada masanya dan sanggup ‘mendermakan’ rambut untuk menghidupkan watak,” tambah Razak.

Aliff impi ‘masuk tv’ sejak kecil
Sementara bagi Datuk Seri Aliff Syukri secara jujur mengakui dia terkejut apabila tawarkan berlakon filem berkenaan. Kongsinya apa yang berlaku diibaratkan sebagai mimpi kerana sejak kecil, dia sudah memendam impian untuk beraksi di kaca televisyen.

“Dulu hanya berangan-angan dan pernah target untuk ‘masuk TV’ suatu hari nanti tetapi saya tidak sangkalah akhirnya dapat jadi hero filem.

“Merekalah produksi pertama yang tawar berlakon apatah lagi dapat beraksi bersama kenalan saya, Fasha Sandha. Saya juga ingin jelaskan bahawa saya tidak taja Badang dan penglibatan saya di dalam filem ini adalah sebagai pelakon sahaja,” akui Aliff yang turut menjalani latihan intensif selama tiga bulan bagi mendalami watak.

“Hampir tiga bulan jugalah saya mengikuti kelas lakonan. Ambil masa dua bulan untuk belajar berjalan cara Badang dan ambil masa sebulan untuk ‘buat suara’ macho,” seloroh Aliff yang turut mengakui, lebih 70 peratus karakter Badang bukanlah dirinya yang sebenar.

“Selain nak menjiwai watak Badang, rasanya adegan saya bercinta dengan Fasha pun sukar. Saya tidak boleh nak renung matanya kerana sangat menggoda. Apa pun, saya terima apa sahaja komen penonton cuma janganlah membuat penilaian melampau kerana ini adalah pengalaman pertama.

“Berlakon adalah hobi dan gara-gara Badang jugalah, saya tak boleh berikan komitmen penuh pada bisnes. Harap peminat dapat menghargai segala keringat yang kami berikan untuk Badang,” akhirinya optimis.

loading...

Add Comment