Elvina dapat hadiah kuda daripada bakal suami

PELAKON meningkat naik, Elvina Mohamad mengakui menerima seekor kuda baka Argentina daripada bakal suaminya, Datuk Mohd Haniff Borhan, sejak akhir tahun lalu.

Katanya, hadiah itu diterima sebagai simbolik bagi menyesuaikan diri dengan ‘dunia baharu’ bakal suaminya.

“Bakal suami saya aktif dalam sukan polo dan permotoran. Saya pula suka ikut aktiviti dia.

“Lagi pula, ada kawan-kawan dia yang pasangannya juga join aktiviti tersebut.

“Jadi, dia kata, kenapa tak saya cuba?,” katanya pada Sinar Harian.

Biarpun tidak tahu menunggang, pelakon berusia 23 tahun ini mengakui begitu menghargai pemberian istimewa terbabit.

“Sebenarnya, saya tak tahu apa-apa pasal kuda. Tunggang pun tak pernah. Tapi, bila dia dah bagi, saya terima saja,

“Jadi, dia pun mula ajar saya menunggang sikit. Mula-mula takut juga tapi lama-lama seronok. Sebab ia pengalaman baharu buat saya.

“Tapi, itu bukan bermakna saya perlu join semua aktiviti dia,” katanya.

Dalam pada itu, Elvina mengakui berdebar menunggu detik hari bersejarah untuk disatukan di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur pada 18 Mac ini.

Jelasnya, buat masa ini semua persediaan berjalan lancar.

“Mestilah saya nervous sangat. Sampai sekarang saya tak percaya nak kahwin dah.  Lagi-lagi, dalam usia muda ini.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Saya pun dah bercuti demi memberi fokus pada urusan perkahwinan,” katanya.

Melalui majlis yang sama, pelakon yang mencipta nama menerusi drama Shhh… I Love You ini juga bakal mengikat tali pertunangan.

“Insya-ALLAH, kami akan bertunang terlebih dahulu sebelum dinikahkan.

“Majlis pertunangan ini dilakukan sekadar mengikut adat sekali gus permintaan pihak lelaki,” katanya.

Untuk majlis resepsi pula, pasangan ini sepakat mengadakannya di lokasi sama, pada 24 Mac nanti.

Elvina dan Mohd Haniff yang juga seorang usahawan mula berkenalan rapat sejak awal tahun 2016.

Bagaimanapun, pasangan ini mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada sambutan hari jadi pelakon drama Jojie Gigil pada 25 Januari lalu.

“Sebelum ini, saya agak sibuk menjalani penggambaran drama. Jadi,  ini sahaja masa terbaik untuk mengadakannya.

“Malah, saya juga akan kembali sibuk dengan shooting drama Bila Tuhan Berbisik, dua hari selepas majlis resepsi,” katanya.

loading...

Add Comment