“Ada aku kisah?” – Ezuwan, Maria Farida sepakat ciplak rekaan baju

BAHARU sahaja dikecam kononnya menciplak baju pereka fesyen antarabangsa, Ezuwan Ismail nampaknya tidak serik apabila melakukan perkara yang sama bagi penampilan aktres Maria Farida pada anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL2018) yang berlangsung malam Ahad lalu.

Pereka fesyen tersebut memuat naik foto gaun kembang berwarna kuning dengan kapsyen dia tidak peduli kecaman yang dilemparkan.

“Yeay berjaya buat ‘moschino pelesu’ (palsu)…why bother why bother? Ada aku kisah korang nak cakap apa? Korang kan baik sangat tak tiru…” tulisnya di Instagram.

Posting yang dimuat naik itu mendapat perhatian netizen yang menganggap tindakan tersebut sebagai tidak wajar.

Netizan juga menyifatkan apa yang dilakukan Ezuwan itu hanya menjejaskan kredibilitinya sebagai pereka fesyen terkenal di Malaysia.

“Tapi awak tak rasa ke menjatuhkan diri awak sebagai Malaysian fashion designer? Awak akan memberi contoh yang kurang baik kepada bakal-bakal designer di luar sana yang menjadikan awak sebagai idola mereka,” ujar salah seorang netizen.

Bagaimanapun, segelintir pengikutnya memuji baju yang digayakan aktres itu cantik biarpun meniru jenama lain.

Sementara itu, Ezuwan yang dihubungi menjelaskan dia dan Maria Farida merancang untuk meniru seratus peratus rekaan itu.

Katanya, perkara itu lebih mendapat perhatian dan kritikan netizen berbanding hasil karya aslinya.

“Secara jujurnya memang kami sepakat untuk sengaja meniru kerana geram dengan netizen yang hanya mengkritik sahaja walaupun sebelum ini banyak baju hasil kerja saya lalu di karpet merah.

“Kami sudah bersedia tanggung risiko untuk dikecam netizen. Bila kita buat idea kita mereka tidak mahu menilai pula,” ujarnya.

Add Comment