
MENGENALI Zoey yang tidak mudah putus asa untuk kekal relevan dalam arena hiburan, pelakon dan pengacara itu kini merancang untuk mengembangkan cabang seni menerusi bidang nyanyian.
“Selepas berlakon dan mengacara lebih sepuluh tahun, sekarang ini saya mahu kembangkan bakat dalam bidang nyanyian pula.
“Sebab itu saya tidak melepaskan peluang keemasan untuk terbabit dalam kempen lagu tema raya Mydin berjudul Girang Syawal Tiba bersama barisan artis FMC iaitu Ernie Zakri, Haqiem Rusli, Tajul, Sissy Iman dan Wani GGV,” katanya.
Sebagai persediaan bergelar sebagai penyanyi, Zoey telah mengikuti kelas vokal Ernie Zakri.
“Saya belajar vokal bukan untuk menyanyi semata-mata sebaliknya teknik lontaran vokal yang betul juga penting, begitu juga bila dalam lakonan terutama di pentas teater.
“Ikutkan, saya paling senior tetapi saya bertuah kerana dapat bergandingan dengan barisan penyanyi hebat dan popular daripada FMC untuk projek lagu raya ini,” katanya.