Syafiq Kyle pertimbang tindakan undang-undang

Sharing is caring!

SELEPAS hampir dua hari berdiam diri berikutan kontroversi penularan video lucah membabitkan dirinya, akhirnya Syafiq Kyle memberi satu kenyataan menerusi akaun Instagramnya petang tadi.

Tidak mengiya atau menafikan bahawa pelaku video tersebut adalah dirinya, pelakon berusia 26 tahun ini bagaimanapun berkata, pihaknya sedang mengenal pasti jalan terbaik untuk menyelesaikan perkara itu.

“Saya sedang mengenal pasti jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan perkara ini dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya.

“Disamping itu, kami juga sedang bekerjasama dengan beberapa pihak bagi memastikan kesulitan ini dapat dimuktamadkan dengan segera.

“Adalah lebih baik jika perkara ini tidak dipanjangkan lagi selain menghormati bulan Ramadan.

“Jika perkara ini berpanjangan, kami akan mempertimbangkan tindakan undang-undang,” tulisnya.

Bagaimanapun Syafiq menafikan dia menghantar mesej kepada seorang individu di Instagram seperti yang tersebar sejak malam tadi dan beranggapan individu terbabit sengaja menangguk di air keruh.

Katanya, paparan skrin itu disunting oleh individu tidak bertanggungjawab dan menggunakan foto lelaki berasal dari Filipina.

“Ini merupakan sesuatu perkara yang tidak betul dan tidak berasas sama sekali yang hanya bertujuan sekadar mahu menangguk di air yang keruh.

“Screenshoot tersebut disunting oleh individu tidak bertanggungjawab, ingin saya tegaskan perkara itu tidak benar sama sekali,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syafiq turut mengakui kejadian yang berlaku ini adalah pengajaran terbaik yang akan mematangkan dirinya pada masa akan datang.

Malah, dia memohon maaf jika tidak dapat dihubungi kerana perlu menyelesaikan kesulitan ini secara cermat dan berhati-hati.

Sejak malam Ahad lalu, pengguna Twitter mula membicarakan video yang memperlihatkan individu mirip pelakon drama Nur itu melakukan perkongsian sembang video bersama seorang individu dikenali sebagai Mira.

Menerusi video tersebut ia menyaksikan lelaki berkenaan sedang berbual tentang perkara yang tidak senonoh, selain dia mengajak individu itu untuk melakukan hubungan seks sekiranya mereka berjumpa.

Video berdurasi kira-kira dua minit itu mula tersebar dan menjadi perbincangan hangat termasuk ada pihak yang berhasrat menjual versi penuh kepada netizen.

Malahan pemilik akaun Instagram ini juga mendakwa memiliki dua lagi video sambungan dan menawarkan untuk dijual kepada sesiapa yang berminat dengan harga RM20.00.

Leave a Comment