
Masih menunggu tarikh untuk menghadiri sesi sulh kedua berhubung kemelut rumah tangganya bersama suaminya, penyanyi Noryn Aziz berkata dia reda dan akan meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Hidup mesti diteruskan. Apa pun yang terjadi selepas ini saya perlu reda selain menumpukan perhatian untuk membesarkan anak.
“Sedih itu pasti ada tetapi saya positifkan diri berhadapan dengan situasi tersebut. Saya tidak boleh bercerita lanjut kerana proses tersebut masih berjalan di mahkamah,” katanya seperti yang dilaporkan Kosmo!
Ujar Noryn, apa jua yang terjadi selepas ini, dia percaya tanggungjawab terhadap anak lelaki mereka, Raja Bariq Umar Shah, 4, tidak akan diabaikan.
Noryn berkahwin dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah dalam satu majlis tertutup pada 22 Januari 2010 di Terengganu.
Terdahulu, Noryn dan suami dikatakan telah hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Terengganu pada 1 April lalu untuk menghadiri sesi majlis sulh pertama.
Menerusi laporan media sebelum ini, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mengesahkan permohonan penceraian mereka difailkan sejak tahun lalu, namun dia enggan berkongsi tarikh tepat.