Hazama enggan dabik dada jadi finalis ABPBH 29

Penyanyi, Hazama, tidak mahu mendabik dada dan terlalu yakin biarpun sekali lagi tersenarai sebagai finalis kategori Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29. Penyanyi lagu Sampai Mati dengan nama lengkap Hazama Ahmad Azmi, 32, berkata beliau enggan meletakkan harapan tinggi kerana dirinya pernah dicalonkan dalam kategori sama selama tiga tahun berturut-turut sebelum ini. Pada ABPBH 2011 pula, Hazama dicalonkan dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular. Edisi ke-29 ABPBH menyaksikan penyanyi terbabit sekali lagi bersaing dalam kategori berkenaan, kali ini bersama-sama Aizat, Ir Radzi, Asfan dan Syed Shamim. Tidak ralat rezeki belum menyebelahinya, objektif utama beliau terus berkecimpung dalam bidang muzik adalah bagi memperjuangkan karya berkualiti untuk industri seni tempatan. “Saya akui tahun pertama dicalonkan, saya meletakkan harapan tinggi dan kecewa apabila tidak berjaya menyandang gelaran itu. Setelah beberapa tahun, saya sudah dapat menerima sebarang keputusan dengan baik. Jika ada rezeki, maka adalah.

“Sekiranya rezeki menyebelahi, saya anggap ia sebagai bonus bagi terus memberikan yang terbaik kepada semua. Apa yang penting adalah persaingan sihat antara semua penyanyi bagi menghasilkan karya berkualiti untuk halwa telinga pendengar. “Sedangkan pencalonan itu sendiri tidak dapat diduga, inikan pula untuk terpilih sebagai pemenang. Kuasa untuk mengundi terletak di tangan peminat dan mereka berhak memilih calon terbaik masing-masing,” katanya kepada BH Online. Biarpun kelab peminat yang diberi nama Recruit sentiasa menyokong perjalanan seninya, Hazama menegaskan, beliau mahukan sokongan menyeluruh daripada peminat muzik tempatan. Jelasnya, beliau tidak ingin tertakluk kepada kelab peminat sendiri saja. “Kelab peminat saya yang sudah masuk tahun kelima masih aktif seperti biasa. Cuma, saya tidak mahu tersekat pada Recruit saja kerana menginginkan sokongan secara menyeluruh dari semua pihak. “Nama pun peminat setia, apa yang kita lakukan semestinya baik di mata mereka. Sokongan tanpa henti mereka sejak keluar Akademi Fantasia amat saya hargai. Oleh itu, saya memerlukan kritikan membina yang dapat membantu saya memberi lebih baik,” kata Hazama.

ABPBH 29: Mira akur saingan bakat baharu lain

Biarpun dirinya dilihat antara calon yang mampu memberikan saingan sengit dalam kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29, Mira Filzah tetap merendah diri dengan menyatakan segala kemungkinan boleh berlaku. Dalam kategori terbabit, bintang Cinta Si Wedding Planner ini dicabar oleh empat lagi calon akhir ialah Falisha Crossley, Ruhainies, Janna Nick dan Nana Sheme. “Setiap calon mempunyai potensi untuk memenangi trofi kategori ini. Ia sebuah persaingan yang sihat dalam kalangan bakat baharu. “Mira sendiri enggan meletakkan harapan menggunung tinggi. Bak kata orang, dapat dicalonkan hingga ke peringkat Top 5 saja sudah memadai dan itulah yang benar-benar saya rasai ketika ini,” katanya kepada BH Online. Meskipun mempunyai kelab peminat sendiri, namun pelakon itu berkata, seperti dirinya, Miracle Fan Club juga masih begitu baharu. Justeru, dirinya sendiri perlu melobi supaya peminat tidak lupa memangkah namanya pada borang pencalonan akhir, selain sokongan yang diberikan kelab peminat terbabit. “Kelab peminat Mira belum terbiasa dengan situasi sebenar proses mengundi ini. Tetapi Mira bersyukur kerana mereka tetap berusaha dengan cara tersendiri, termasuk bekerjasama dengan kelab peminat artis lain. “Kelab peminat Mira pun akan sentiasa mengemaskini apa saja maklumat berkaitan terkini. Ketika fasa undian ABPBH 29 bermula, Mira sibuk menjalani penggambaran dan selalunya pembantu peribadi Mira yang akan maklumkan setiap perkembangan,” katanya. Mengenai kerjaya lakonannya, Mira memberitahu beliau akan terbabit dalam penggambaran drama berjudul Meh Sandar Pada Aku, terbitan Zeel Production. Begitupun, ketika dihubungi baru-baru ini, gadis manis itu belum mengetahui pelakon lelaki yang bakal bergandingan dengannya dalam drama terbabit. “Sebelum ini Mira dikhabarkan akan digandingkan bersama Fattah Amin. Bagaimanapun, Mira juga dapat tahu, Fattah sudah terikat dengan sebuah penggambaran filem,” katanya.

Konsert khas rai 30 tahun kembara seni Noraniza Idris

Meraikan perjuangan tiga dekad dalam dunia seni, penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris akan muncul dalam Konsert Lentera Muzik Noraniza Idris Masyhur 30 tahun di TV1, bulan depan. Berkongsi projek terbaharunya dengan BH Online, persembahan istimewa selama 90 minit itu akan mengimbau suka duka kembara seni Noraniza atau mesra dipanggil Kak Ani dalam memartabatkan irama tradisional dan etnik kreatif ke arus perdana. Dikenali sebagai penghibur yang mementingkan persembahan bermutu dengan nilai estetika tinggi, Noraniza bakal memberi kejutan dalam persembahan yang akan dirakamkan pada 5 April depan. Menempah slot tayangan pada jam 9.30 malam 10 April depan, Konsert Lentera Muzik Noraniza Idris Masyhur 30 tahun bakal menjadi episod pertama mengisi slot hiburan Lentera Muzika RTM musim baharu. Konsert itu akan dibahagikan kepada empat segmen termasuk pembukaan yang menggabungkan enam lagu etnik dan himpunan lagu rakyat fusion berkonsepkan transformasi budaya. Segmen ini berkonsep ‘battle’ iaitu tarian etnik berdepan dengan dengan tarian jalanan sambil diiringi penyanyi latar. Konsep itu membuktikan Noraniza terbuka dalam mengadaptasi budaya semasa yang menjadi kegilaan anak muda dalam persembahan muzik etniknya. Selain tu, Noraniza juga akan mengimbau kenangan lama sejak mula bergelar penyanyi dan bertatih membina nama. Bawa penari pengiring ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) Noraniza juga akan mendendangkan beberapa lagu baharu yang dihasilkan bersama komposer muda Ihab Ismail dan L’zzay. Sudah tentu, Noraniza juga akan menyanyikan lagi etnik peribumi dan dendangan popularnya. Sebagai penutup, Noraniza akan mendendangkan lagu masterpiece, Hatinya Tak Tahan. Tidak ketinggalan, Noraniza turut mengundang lapan orang penari Artis Budaya Noraniza Idris yang pernah berkhidmat dengannya sepanjang pembabitan dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) bermula daripada tahun 1997 sehingga 2005. Hingga kini, Noraniza tidak putus semangat dalam usahanya mengangkat irama tradisional ke peringkat yang lebih tinggi. Noraniza masih mahu berkarya dan memberi sumbangan dalam dunia seni. Noraniza meneruskan kelangsungan seni warisan budaya seni supaya ia terus dihargai generasi muda serta dapat dijadikan sebagai paksi jati diri mereka.

Tasha lebih waspada dengan lelaki

Pelakon, Tasha Shilla, 29, memaklumkan dirinya akan terus berkecimpung dalam arena seni sekalipun sudah mendirikan rumah tangga suatu hari nanti. Cuma, impian untuk melihatnya menaiki pelamin dalam masa terdekat takkan kesampaian kerana sehingga kini dirinya belum mempunyai calon suami. Sebelum ini, Tasha heboh dilaporkan bercinta dengan seorang peninju Muay Thai, tetapi hubungan itu berakhir sebelum sempat kedua-duanya bergelar suami-isteri. “Sebelum ini juga memang saya pernah menghadiri kursus kahwin, tetapi tanpa pasangan. Dalam hati, memang saya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga, cuma apakan daya saya belum ada calon. “Dulu memang saya akui mudah terpedaya dengan kata-kata lelaki. Namun kini, pengalaman banyak mengajar saya untuk lebih berhati-hati. Jadi, buat masa ini biarlah saya fokus terhadap kerjaya seni. “Tahun ini juga umpama ‘comeback’ bagi saya selepas pelbagai kontroversi melanda diri sepanjang tahun lalu,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sidang media program Gempak Superstar, di sini hari ini. Ditanya mengenai percubaannya menyertai pertandingan nyanyian terbabit, Tasha menjelaskan, ia lebih kepada usaha mencabar keupayaan sendiri. Tasha juga sudah bersedia untuk menerima kritikan daripada juri dan penonton pertandingan itu. “Seperti juga dengan dunia lakonan, dulu pun saya bukannya pandai sangat berlakon. Bagaimanapun, seiring peredaran waktu, kita cuba asah bakat yang dimiliki itu. Begitulah juga dengan nyanyian. “Saya pula memang tidak menjangkakan apa-apa pun dalam pertandingan ini. Sebaliknya, ia lebih kepada mencuri peluang yang diberikan. Selepas dikecam dan dihina ramai sebelum ini, gara-gara kontroversi lalu, pastinya saya tiada masalah untuk dikritik juri serta penonton,” katanya. Dilabel sebagai antara pelakon yang berani mati ketika bergaya, Tasha mengaku dirinya selesa menjadi diri sendiri ketika persaingan dalam program realiti itu. “Saya tetap Tasha Shilla. Saya hanya menjadi diri sendiri dan memakai apa yang dirasakan selesa. Saya masih Tasha yang dulu, tetapi kali ini hadir bersama semangat baharu,” katanya. Dalam program terbaharu terbitan Astro itu, seramai 10 pelakon tanah air bakal berentap untuk menunjukkan kemampuan masing-masing di pentas nyanyian. Selain dirinya, bertanding sama dalam program itu ialah Nazim Othman, Izreen Azminda, Siti Elizad, Raja Ilya, Sherry Ibrahim, Arja Lee, Dazrin Kamaruddin, Soffi Jikan dan Ryzal Jaafar. Menggunakan sistem pemarkahan 50 peratus daripada juri dan selebihnya hasil undian peminat, juara rancangan ini akan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Impian majlis nikah ringkas Nazim tak tertunai

Biarpun pada asalnya Nazim Othman inginkan sebuah majlis pernikahan ringkas, namun pelakon itu mengaku perlu menghormati permintaan keluarga untuk mengadakan acara bersejarah dirinya dan Bella Daly di beberapa lokasi berbeza. Sedar perkahwinan mereka turut membabitkan anggota keluarga dan saudara-mara, pelakon itu berkata dirinya tidak ralat dengan apa saja perubahan terhadap rancangan asal. “Jika diikutkan, saya teringin mengadakan majlis akad nikah dan resepsi pada hari sama. Bagaimanapun, berikutan ia turut membabitkan keluarga, perancangan asal menjadi beranak-pinak. Saya perlu menghormati permintaan mereka. “Kalau ikut kemahuan hati, saya ingin melangsungkan majlis terbabit di ibu kota saja. Namun, bapa meminta saya mengadakan majlis di Johor Bahru kerana ia lebih dekat dengan saudara-mara. Bella pula mahukan majlis pernikahan dan resepsi diadakan di Kota Kinabalu, Sabah. “Dalam situasi ini, saya hormati permintaan keluarga Bella. Jadi, kami bertolak ansur dalam hal ini dan membahagikan tugas sebaik mungkin,” katanya sambil memberitahu, sehingga kini mereka belum memutuskan mengenai lokasi majlis berkenaan. Katanya, selain acara akad nikah dan resepsi di Sabah dan sebuah lagi di Johor, berkemungkinan majlis keraian turut diadakan di Kuala Lumpur untuk teman rapat dan media,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman program baharu, Gempak Superstar, yang turut disertainya di sini, hari ini. Pelakon itu juga berkata, beliau dan Bella sudah mempunyai tarikh pilihan untuk majlis penyatuan mereka, cuma ia belum dapat diputuskan lagi. “Kita hanya merancang, tetapi Tuhan yang menentukan. Ada kemungkinan juga dengan kesibukan serta komitmen saya terhadap kerjaya seni, tarikh yang dipilih itu pun terpaksa dianjakkan lagi. Apa pun, semuanya bakal dilunaskan juga tahun ini. “Selain bersaing dalam Gempak Superstar yang mula bersiaran 10 April depan, saya juga akan terbabit dengan penggambaran telenovela 100 episod bersama Astro,” katanya yang mengikat tali pertunangan bersama Bella pada November tahun lalu.

Status ‘Alhamdulillah…’ bukan kerana isteri hamil – Fizo Omar

Pelakon, Fizo Omar, berharap tiada pihak yang tersalah sangka dengan status ‘Alhamdulillah…’ dimuat naik ke laman Instagram miliknya, baru-baru ini. Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 30, berkata, beliau terkejut kerana gara-gara status berkenaan, ramai pengikutnya menganggap isterinya, Mawar Abdul Karim, sudah pun hamil. “Ramai yang salah faham dengan status berkenaan. Sebenarnya, status terbabit adalah untuk menyatakan kesyukuran saya dengan segala rezeki perniagaan kami. “Saya terkejut juga dengan komen yang ditinggalkan di laman sosial. Tiba-tiba saja orang ucap tahniah. Tidak mengapa, saya menganggap ia sebagai doa buat kami,” katanya kepada BH Online. Terdahulu, Fizo memuat naik status ‘Alhamdulillah…’ dan perkara itu membuatkan ramai yang menganggap isterinya Mawar sudah pun berbadan dua. Fizo dan Mawar berkahwin pada November 2013. Sementara itu, Fizo berkata, sejak restorannya, Fizomawar, di Bangi menjadi isu gara-gara seorang penulis blog mengkritik perkhidmatan yang kurang dikatakan memuaskan, ia banyak memberikan kesan positif terhadap perniagaan terbabit. Akui Fizo, walaupun kurang senang dengan penulisan blogger berkenaan, namun beliau mengambil pendekatan menjadikan ia sebagai perkara positif dan menambah baik segala kekurangan dalam perniagaannya itu. “Biasalah, siapa yang tidak marah apabila perniagaan kita dikritik, kerana bukan senang untuk seseorang membuka sebuah kedai makan. Tetapi apabila difikirkan balik, ada baiknya juga kritikan itu. Saya ambil setiap komen negatif dengan menambah baik perkhidmatan di restoran kami. “Alhamdulillah, kerana isu berkenaan juga Fizomawar tidak henti-henti menerima kunjungan pelanggan. Saya anggap ia perkembangan yang bagus,” tuturnya. Kata Fizo, beliau dan isteri kini merancang untuk membuka sebuah lagi cawangan Fizomawar di sekitar ibu kota.

Jodoh kami tak kekal: Jennifer Lopez

Penyanyi dan pelakon popular Amerika Syarikat, Jeniffer Lopez mendedahkan perpisahan dengan bekas suami Marc Anthony kekecewaan terbesar dalam hidupnya.

Lopez, 46, bercerai dengan Anthony, 47, yang juga penyanyi terkenal pada 2014 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Menurut majalah People, Lopez berusaha memastikan hubungannya dengan Anthony kekal kerana pernah gagal dua perkahwinan sebelum ini.

“Saya dengan Marc terfikir perkahwinan kami akan kekal selama 40 tahun sehingga kami meninggal dunia,” katanya mempunyai dua anak bersama Anthony.

Biarpun begitu juri program realiti American Idol itu mengakui perpisahan dengan Anthony adalah keputusan terbaik baginya.

Lopez kini bersama kekasih lama Casper Smart yang bekerja sebagai penari manakala Anthony mendirikan rumah tangga dengan Shannon De Lima pada 2014.

Cinduo Mato tawan pentas IB

Tahun lalu, penonton terpukau dengan persembahan teater Mek Mulung yang menguasai pentas Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

Naskhah berusia 500 tahun itu menjadi pilihan kerana menampilkan nilai estetika tinggi dan mempunyai keunikan tersendiri.
Justeru, tahun ini Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menampilkan pula Teater Tradisional Randai: Cindua Mato yang disuntik elemen muzikal.

Barisan pelakon yang dipilih bukan calang-calang iaitu Remy Ishak, Azhan Rani, Ashraf Muslim, Vanidah Imran, Puteri Aishah Sulaiman, Datuk Jalaludin Hasan, Datuk Ahmad Tamimi Serigar dan Zuhairi Ibrahim.
Hasilnya, persembahan yang berlangsung di Istana Budaya bermula Jumaat hingga kelmarin berjaya menarik kehadiran luar biasa penonton yang dilihat teruja menyaksikan pementasan ini.
Rasionalnya Randai adalah warisan masyarakat Minang dan pementasan ini sebahagian daripada usaha untuk memastikan kelangsungan kesenian ini dalam kalangan masyarakat.
Selain itu juga ia bertujuan meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan apresiasi masyarakat terhadap kesenian klasik yang autentik dan kaya dengan nilai seni dan moral.
Sebagaimana naskhah epik lain, Cindua Mato turut tampil dengan tema kepahlawanan, peperangan dan cinta. Ia antara elemen yang berupaya memikat hati penonton untuk hadir menonton cerita ini.
Semua pendokong watak dilihat berjaya menampilkan karakter masing-masing dengan berkesan.
Remy hebat dengan watak Cindua Mato, Vanidah (Bundo Kanduang), Azhan (Dang Tuanku), Ahmad Tarmimi (Datuak Bandaharo), Khusiary (Datuak Mangkhudum), Che Wan Silat (Datuak Indomo) dan Ashraf (Rajo Mudo).
Semua mereka menunjukkan kesungguhan ketika beraksi, malah Remy sendiri mengalami luka di tangan akibat terkena keris dalam babak pertarungan yang dilakonkan.
Biarpun ceritanya berteraskan kepahlawanan, pengarahnya Lokman Ghani tidak lupa menyelitkan unsur jenaka yang mampu menggeletek hati penonton.
Pelakon berpengalaman Ebby Yus diberikan tugasan ini dan tidak sukar baginya menunaikan tanggungjawab yang diberi.
Ada-ada saja komedi spontan yang ditampilkan, sekali gus menjadikan suasana dalam Panggung Sari bergema dengan gelak ketawa penonton. Dalam pada itu, mereka tetap teruja mahu menyaksikan kesudahan cerita yang mendebarkan ini.
Kesan visual dan grafik hidupkan pentas
Kecanggihan teknologi sekarang turut dimanfaatkan dengan paparan imej grafik yang cantik menghiasi pentas.
Jika di pentas biasa segalanya terhad, namun pentas IB boleh disesuaikan mengikut babak antaranya imej hutan rimba, istana, kampung dan pelbagai lagi yang menarik.
Bahkan, ada dalam kalangan penonton yang baru pertama kali menonton di Panggung Sari kagum dengan pelbagai kemudahan dan kecanggihan yang disediakan.
Ditemui selepas itu, Remy melahirkan perasaan puas kerana berjaya membawa wataknya dengan lancar.
“Secara jujurnya saya gembira kerana berjaya memberikan satu persembahan yang menghiburkan ramai penonton. Syukur kerana saya mempunyai tenaga yang mencukupi bagi membawakan watak Cindua Mato untuk persembahan selama tiga hari.
“Menerusi persembahan ini, saya dapat belajar berkenaan legenda masyarakat Minang. Selama ini kita hanya tahu mengenai legenda Hang Tuah dan lain-lain lagi. Kisahnya ada sikit persamaan dengan Hang Tuah.
“Bagi saya peminat datang untuk menyaksikan bentuk persembahan yang baru. Sebelum ini pentas teater kita banyak dilambakkan dengan cerita cinta. Ini juga pengalaman pertama saya bekerja dengan Lokman dan nampaknya dia berjaya memberikan kelainan dalam lakonan saya,” katanya yang menjadikan pentas teater sebagai medan untuk menggilap lakonannya.