Jang Geun Suk Mahu Tebus Maruah Selepas Kontroversi

PELAKON Jang Geun Suk optimis dapat kembali merancakkan karier seninya selepas namanya tenggelam akibat tuduhan gagal membayar cukai dua tahun lalu.

Soompi melaporkan, sempena kedatangan tahun 2016 Geun Suk ingin melupakan kontroversi yang pernah melandanya sebelum ini dan menebus kembali maruahnya yang tercalar sebelum ini.

Sebelum ini, Geun Suk dihentam teruk akibat kontroversi berkenaan sehingga kemunculannya dalam program Three Meals a Day dikeluarkan selain tidak lagi mendapat tawaran lakonan.

Bagaimanapun, pelakon itu didapati tidak bersalah atas tuduhan gagal membayar cukai sebaliknya syarikat pengurusannya yang melakukan kesalahan tersebut.

Dalam pada itu, Geun Suk bakal muncul dalam drama bersiri pertamanya selepas tiga tahun iaitu Daebak dan memberitahu teruja untuk kembali ke set penggambaran.

JC Chee Kembali Bermain Bola Sepak Kerana ‘OlaBola’

Pelakon JC Chee mendedahkan dia kembali beraksi bermain bola sepak selepas menerima tawaran bagi menjayakan filem OlaBola.
Chee, 29, berkata, sebelum ini dia sudah meninggalkan sukan berkenaan selama 15 tahun dan filem arahan Chiu Keng Guan itu mengimbau banyak kenangan bermain bola sepak bersama rakan sekolahnya.

“Jujur saya katakan sudah 15 tahun saya tidak bermain bola sepak dan seingat saya kali terakhir beraksi di padang adalah ketika berada di sekolah menengah dahulu.

“Bila sambung belajar di Kuala Lumpur, ramai kawan-kawan bermain badminton jadi saya pun ikut bermain bersama mereka dan meninggalkan sukan bola sepak.

“Tetapi dapat berlakon dalam OlaBola bukan sahaja membawa saya kembali ke padang bola ia juga mengingatkan kenangan manis bersama kawan-kawan ketika di sekolah dahulu,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Chee berkata, biarpun sudah lama tidak beraksi namun dengan latihan disediakan pihak produksi ia membantu mengasah kembali kemahiran beraksi di padang bola sepak.
Ketika sesi latih untuk filem itu juga, Chee turut memberitahu dia mengalami kecederaan di bahagian kaki dan terpaksa melakukan imbasan sinaran x-ray kerana bimbang mengalami keretakan tulang.

“Bila sudah lama tidak beraksi, kemahiran itu memang sudah berkarat tetapi mujur pengarah sediakan latihan khas buat kami semua selama dua bulan.

“Namun pada hari ketiga latihan, saya mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital. Mujur keadaan tidak serius,” katanya.

Filem Ola Bola yang mengambil inspirasi daripada kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan sewaktu berjaya memasuki Sukan Olimpik 1980 di Moscow telah mendapat kutipan sebanyak RM2.5 juta selepas empat hari ditayangkan.

Ia sedang ditayangkan di pawagam sejak 28 Januari lalu dan menampilkan barisan pelakon lain seperti Bront Palarae, Muhd Luqman Hafidz, Saran Kumar, Eric Teng Shin Wang dan Lim Jian Wen.

Ziana Zain Ralat Tak Dapat Hiburkan Peminat Kerana Sakit Tekak

Penyanyi Ziana Zain terkilan tidak dapat beraksi pada peringkat final program Seiras Seirama yang berlangsung pada Ahad lalu akibat mengalami sakit tekak dan demam.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, 48, berkata, dia sepatutnya berduet dengan Mas Idayu pada segmen persembahan ikon program berkenaan namun kesihatannya yang terganggu sejak dua minggu lalu membantutkan hasrat tersebut.

“Rasa ralat sangat apabila tengok rakan-rakan lain mengadakan persembahan untuk peminat dan saya hanya dapat tengok sahaja.

“Tetapi hendak buat macam mana keadaan kesihatan tidak mengizinkan dan suara saya pun tersekat-sekat dan serak akibat demam,” katanya kepada mStar Online.

Pada program berkenaan peserta yang mirip dengan suara Ziana iaitu Azlina Aziz muncul sebagai juara Seiras Seirama.

Dengan kemenangan itu, peserta dari Negeri Sembilan itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.

Dalam pada itu, Ziana berkata, dia tidak berasa tertekan apabila suaranya hampir hilang akibat demam dan menjelaskan sudah mendapatkan rawatan di hospital.

Jelas Ziana, doktor mengesahkan keadaannya tidak membimbangkan selain ia tidak memudaratkan dan perlu mendapatkan rehat secukupnya untuk segera pulih seperti biasa.

“Asalnya demam sahaja tetapi biasalah ia membawa kepada selesema, batuk dan sakit tekak. Doktor juga beritahu tidak perlu bimbang dan perlu berehat,” katanya.

Sementara itu, Ziana berkata, dia bernasib baik kerana sepanjang bulan ini dia tidak mengambil sebarang tawaran nyanyian kerana ingin memberi fokus kepada tugas sebagai juri program Maharaja Lawak Mega 2016.

“Masa minggu pertama MLM lagi ada yang sudah tegur kenapa dengan suara saya dan ketika itu saya memang tengah demam.

“Nasib baik bulan ini tidak ambil tawaran nyanyian dan berharap semua mendoakan kesihatan saya segera sembuh selepas ini,” ujarnya.

Nad Zainal Lebih Feminin Atas Permintaan Suami

Pelakon Nad Zainal mengakui lebih feminin sejak mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faliq Amirudin pada 18 Disember tahun lalu.

Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 26, berkata, perubahan tersebut dibuat atas permintaan suaminya yang mahu melihat sifat kewanitaannya memandangkan sebelum ini dia agak lasak.

“Alhamdulillah kehidupan selepas berkahwin semakin baik dan paling penting saya kini lebih feminin terutamanya dari segi penampilan dan imej.

“Faliq yang minta saya ubah gaya kerana sebelum berkahwin saya agak lasak dan demi suami saya perlahan-lahan mengubah gaya lebih kewanitaan,” katanya.

Nad berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra pelancaran produk kecantikan dan penjagaan kesihatan miliknya iaitu Audela di sini, Selasa.

Dalam pada itu, ditanya soal cahaya mata, Nad berkata, buat masa ini masih belum ada sebarang berita baik tentang perkara itu dan meletakkan ia kepada rezeki.

Bagaimanapun kata Nad, sebagai wanita dia berharap akan segera hamil kerana kehadiran anak dalam sesebuah perkahwinan adalah pelengkap kepada kehidupan mereka suami isteri.

“Saya berharap sebenarnya agar segera hamil kerana memang mahukan anak tetapi belum rezeki saya lagi.

“Tetapi tidak mengapa kami pun baharu sahaja berkahwin dan punya banyak masa lagi. Insya-Allah ada rezeki kami nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Nad berkata, walaupun sudah berumah tangga karier lakonannya tetap berjalan seperti biasa.

Malah kata Nad, dia tidak merancang untuk memperlahankan aktiviti seni buat masa ini malah mendapat sokongan daripada suami.

“Alhamdulillah rezeki dalam bidang lakonan masih ada malah saya baharu sahaja selesai menjalani penggambaran beberapa buah drama dan sebuah filem.

“Buat masa ini tiada perancangan untuk perlahankan karier dan ia akan berjalan seperti biasa,” katanya.

Nad bakal muncul dalam telefilem bertajuk Auta bersama Syukri Yahya di TV3 manakala filem Soul Mate menggandingkannya bersama Erra Fazira dan Raja Ilya.

Bercakap mengenai Audela, Nad berkata, idea mengeluarkan jenama miliknya tercetus selepas dia ingin mengurangkan berat badan namun produk jenama lain tidak bersesuaian dengannya.

Atas dasar itu, dia bersama rakan kongsi menghasilkan Audela yang ternyata memberi kesan positif kepadanya hanya dalam masa sebulan.

“Dalam menghasilkan produk ini saya meletakkan diri sebagai pengguna dan apa yang mereka mahukan dalam sesuatu produk.

“Audela bukan sahaja bertindak sebagai agen detox malah mengurangkan berat badan dan memutihkan kulit,” katanya.

Tambah Nad, produk berkenaan akan dilancarkan dan dijual pada Mac depan.

Azmin tidak hadir Himpunan Bebas Anwar tapi…

 ‎

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,  tidak menghadiri Himpunan Bebas Anwar di Penjara Sungai Buloh malam ini tetapi tetap bersama penyokong dengan membuat ucapan dari Mekah.

Bercakap menerusi rakaman Skype dari tanah suci itu, Mohamed Azmin mengingatkan rakyat supaya tidak melupakan pergorbanan yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembangunan negara.

“Rakyat Malaysia di mana pun anda berada jangan sekali-sekali melupakan pengorbanan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita berhimpun agar teruskan obor perjuangan bagi membebaskan negara daripada cengkaman BN,” katanya menerusi aplikasi itu bersempena setahun Anwar dipenjara, di hadapan pintu masuk Penjara Sungai Buloh hari ini.

Bercakap lanjut, Azmin ‎menyampaikan titipan supaya keluarga Anwar terus tabah dalam menghadapi dugaan hidup.

“Saya berdoa agar keluarga Datuk Seri (Anwar) terus sabar dan tabah dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

Himpunan bebaskan Anwar diadakan bersempena genap 365 hari Anwar dipenjarakan atas kesalahan meliwat.