Mukhriz merayu supaya diberi ruang sebelum dipecat

Merasakan mungkin bakal dipecat dek kerana kelantangan mengkritik kepimpinan tertinggi parti, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir merayu Majlis Tertinggi Umno memberi ruang kepada beliau dan Timbalan Presiden yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membela diri sebelum sebarang tindakan diambil keatas mereka.

Memetik laporan The RakyatPost.my, Mukhriz dipetik sebagai berkata beliau reda sekiranya dipecat tetapi mahu apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi Umno perlulah berdasarkan kepada lunas-lunas perlembagaan parti.

“Saya harap mereka akan guna perlembagaan, tidak ambil tindakan sewenang-wenangnya.

“Maksudnya kena ada siasatan oleh lembaga disiplin, kami diberi tunjuk sebab mungkin, diberi ruang untuk membela diri dan tidak hanya mengambil tindakan pecat tanpa mengikut lunas-lunas perlembagaan parti,” katanya kepada portal itu, ketika ditemui di program Santai Malam Kumpulan Melayu Berani Bersatu bersama Mukhriz di Istana Bambu, Ampang.

Usul pemecatan kedua-dua pemimpin Umno itu sebelum ini disuarakan oleh Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Nazri Aziz yang menyifatkan tindakan Muhyiddin dan Mukhriz sudah melampaui batas kerana menjadi sebahagian daripada komplot menyingkirkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussein turut mengakui parti itu menerima desakkan daripada akar umbi untuk segera merujuk tindakan Muhyiddin dan Mukhriz kepada Jawatankuasa Disiplin parti.

Sehingga kini tiada sebarang tindakan dibuat Umno walaupun banyak laporan diterima parti tersebut.

Bekas Ketua Pemuda Umno terkejut dakwaan Zainuri

Bekas Ketua Pemuda Umno Selangor, Datuk Abdul Shukur Idrus akui terkejut dengan dakwaan yang dibuat Ketua Pemuda Umno Selangor, Zainuri Zainal bahawa pihaknya terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri demi menjayakan program mereka.

Menurutnya dana bagi program-program sayap parti termasuk Pemuda Umno negeri sepatutnya disediakan Umno negeri.

“Apa yang didakwa oleh Zainuri itu saya sebenarnya terperanjat mendengarnya. Dulu pada zaman saya, memang apa sahaja program akan ditunjukkan kepada pengerusi dan pengerusi setuju, maka mereka akan cari dana untuk menyokong program itu.

“Yang lain saya tak boleh nak komenlah. Ini berdasarkan pengalaman saya ketika menjadi ketua pemuda dulu,” katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Selayang.

Sinar Online sebelum ini melaporkan Zainuri menegaskan sayap-sayap parti itu bukan tidak menjalankan tugas membantu Umno dan BN dalam usaha merampas kembali Selangor dari tangan Pakatan Harapan sebaliknya tiada peruntukan diberikan untuk menganjurkan program.

Dalam pada itu, Ahmad Shukur berharap permasalahan itu dapat diselesaikan segera bagi memastikan usaha menyusun jentera parti untuk berdepan pilihan raya umum ke-14 nanti berjalan lancar.

“Saya juga harap perkara ini dapat diselesaikan supaya ia tidak menjadi perkara besar yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Umno,” katanya.

Wanita maut terperangkap 13 jam dalam peti sejuk beku

“Seorang wanita ditemui mati selepas terperangkap dalam sebuah peti sejuk beku hampir 13 jam di sebuah hotel di sini,” kata polis.

Pencarian kehilangan wanita itu bermula apabila dia tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu kerjanya di Westin Peachtree Plaza.

Selepas meneliti rakaman CCTV hotel, pasukan penyiasat percaya wanita itu memasuki bilik peti sejuk beku kira-kira jam 8 malam pada Isnin dan ditemui selepas jam 9 pagi pada Selasa, kata polis Atlanta, Charles Hampton.

Pejabat Pemeriksaan Kesihatan Fulton County mengenapasti wanita itu sebagai Caralyn Robinson, 61, dari East Point.

Terdapat bukti yang menunjukkan wanita itu cuba untuk keluar dari peti sejuk beku berkenaan, namun Hampton tidak memberikan maklumat terperinci mengenai perkara tetrsebut.

“Ada beberapa jenis mekanisme untuk membolehkan sesiapa yang berada di dalam dapat keluar, namun saya tidak pasti sama ada ia berfungsi dengan baik.

“Bagaimanapun tiada unsur jenayah dapat dikaitkan dengan kes ini buat masa ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, pihak hotel berkata, insiden tersebut sesuatu yang menyedihkan kerana wanita berkenaan telah lama bekerja di hotel itu.

“Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan dan akan memberikan bantuan dan sokongan kepada keluarga mangsa,” kata jurucakap hotel dalam satu kenyataan yang dipetik AP

Polis sedang menunggu keputusan bedah siasaat dalam menentukan samada wanita itu mempunyai masalah kesihatan yang menghalangnya untuk keluar dari bilik sejuk berkenaan.

Kereta jadi rumah, mana LPM?

Seorang wanita bersama lima anaknya terpaksa tinggal di dalam kereta sejak empat bulan lalu apabila usahanya memohon rumah kerajaan menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan.

Siti Hajar Saadon, 46, berkata, sebelum ini, terpaksa tinggal menumpang di rumah kenalan dan saudara mara di beberapa lokasi di sekitar Tanjung Kling termasuk pernah menduduki rumah yang disediakan kerajaan negeri di bawah program Rumahku Syurgaku (RKSK).

Menurutnya, impiannya untuk mendapat sebuah rumah yang selesa tidak pernah padam, malah beberapa kali berusaha pergi ke agensi perumahan terbabit untuk bertemu dengan pegawai berkaitan tetapi sehingga kini hasrat itu masih samar.

“Jadi terpaksalah saya menjadikan kereta ini sebagai rumah. Kereta inilah menjadi tempat simpanan pakaian, makanan, ada dapur serta ubat-ubatan bila saat diperlukan.

“Setiap kali bila hendak mandi, buang air atau menyalin pakaian kami terpaksa mencari tandas awam atau menumpang mana-mana surau. Kami tidur di merata tempat,” katanya ketika ditemui di Tanjung Minyak di sini, semalam.

Sementara itu, masalah wanita berkenaan dirujuk Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) negeri Melaka, semalam.

Pengarahnya, Amir Hamzah Abdul Aziz berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat daripada LPM bagi mengetahui status permohonnya.

“Kami sedia memberikan sokongan permohonan wanita terbabit untuk mendapatkan sebuah rumah menerusi LPM.

“Bagaimanapun, sekiranya dia inginkan rumah segera, kita sedia mengusahakan bantuan bayaran deposit bagi mendapatkan sebuah rumah sewa untuknya,” katanya.

Mark Adam cuba nasib jadi pelakon

BAKAT melawak yang dimiliki penyanyi kelahiran Filipina, Mark Adam semakin mendapat perhatian selepas menyertai program lawak muzikal, Juara Parodi.

Malah, atas usahanya itu juga, siapa sangka selebriti berusia 36 tahun ini turut tersenarai dalam pencalonan akhir Artis Lawak MeleTOP bagi Anugerah MeleTOP Era (AME) 2016, baru-baru ini.

Meskipun selesa bergelar pelawak, pelantun lagu Marry Me ini mengakui karier nyanyiannya tetap menjadi pilihan utama.

“Apabila saya digelar pelawak, itu bermakna peminat suka dengan komedi saya. Lagi pula, saya juga suka melihat orang gembira dan terhibur.

“Tetapi, apa-apapun, kerjaya nyanyian saya tetap nombor satu. Saya baru saja melancarkan single dan muzik video baharu, Berat,” katanya.

Namun, Mark atau nama Islamnya, Fikri Mark Adam mengakui semakin aktif dalam lakonan.

Terbaharu, pelantun lagu Pencuri ini baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri, Suami Tanpa Cinta di samping Shukri Yahya dan Janna Nick.

“Ini adalah drama ketiga lakonan saya selepas Haji Rock dan Plan Cinta Tak Jadi.

“Saya minat dalam bidang ini kerana saya mempunyai keinginan mempelajari sesuatu perkara yang baru.

“Sebenarnya, memang susah berlakon dan saya perlu banyak belajar terutama apabila bahasa Melayu saya masih kurang fasih,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mark kini menjadi salah seorang tenaga pengajar menerusi program realiti, Ceria PopStar di samping penyanyi, Jaclyn Victor dan Black Hanafiah.

“Saya sangat bertuah dan berbesar hati apabila Astro memilih saya. Sejak daripada dulu lagi saya memang suka kanak-kanak,” katanya.

Bahkan, Mark mengakui tidak mempunyai  masalah untuk melaksanakan tugasnya lantaran berpengalaman mengajar pasukan koir kanak-kanak, sebelum ini.

“Mengajar kanak-kanak berbeza dengan dewasa. Kita perlu fahami perasaan setiap kanak-kanak ini, apa yang mereka suka dan apa yang mereka tidak suka.

“Insya-ALLAH, saya akan guna pendekatan saya setiap kali mengajar mereka,” katanya.

Othello pertaruh muzik berkualiti bukan ‘tangkap muat’

MELETAKKAN single pertama Elok Elok sebagai runut bunyi drama bersiri slot Lestary, Married Tapi Benci arahan Ahmad Idham seakan-akan berbaloi apabila Othello semakin dikenali.

Biarpun penubuhannya baharu mencecah tiga bulan, namun perkembangan kumpulan yang dianggotai empat pemuda iaitu Mohd Syaffiq Sahli, 30, Mohd Haziq Sahli, 24, Amir Aswady Ali, 26 dan Shameer Ashraf Shahruddin, 27 dilihat begitu positif.

Atas dasar itu juga, Othello mengakui strategi menjadikan single pertama sebagai runut bunyi memberi impak yang besar terhadap perjalanan muzik mereka.

“Memandangkan kami berempat adalah muka baharu, jadi kami memerlukan platform yang mampu memperkenalkan muzik kami.

“Alhamdulillah, selain kekuatan Elok Elok sendiri, strategi ini juga membantu.

“Setakat ini, kami menerima respons yang baik daripada pendengar dan kami agak terkejut apabila dalam masa sehari dilancarkan di YouTube jumlah penonton telah melebihi 1,000 tontonan,” kata Shameer selaku penyanyi rap dalam kumpulan itu.

Bercerita lebih lanjut mengenai perjuangan Othello, Shameer memberitahu selain mengetengahkan muzik R&B dan ‘soul’, mereka turut menyelitkan elemen pop bagi memenuhi selera pendengar masa kini.

“Kami memilih R&B, soul dan pop sebagai asas muzik yang kami hasilkan dalam setiap lagu.

“Dari segi kelainan pula, kita masukkan sekali rap dan nyanyian harmoni menjadikan setiap karya lebih menarik.

“Lagipun jika dilihat sekarang, sudah tidak banyak kumpulan yang mengetengahkan nyanyian harmoni dan kami anggap ia sebagai kekuatan Othello,” ujarnya.

Album pertama

Dalam perkembangan terbaharu, selain sibuk dengan aktiviti mempromosikan single pertama, Othello yang bernaung di bawah pengurusan Godzilla Boombox milik penyanyi dan komposer Cat Farish kini fokus pada pembikinan album pertama mereka.

“Sekarang ini kami sedang sibuk dalam proses menghasilkan album dan pada masa yang sama sedang menunggu untuk melancarkan single kedua yang bertajuk Gadis Misteri.

“Untuk album, kami sudah siap rekod lima buah lagu tapi kami masih belum membuat keputusan untuk menetapkan jumlah lagu yang akan dimuatkan dalam album ini.

“Insya-ALLAH, jika semuanya berjalan seperti yang dirancang, album ini akan siap sepenuhnya sekali gus dilancarkan dalam tahun ini juga,” katanya.

Ditanya mengenai keyakinan dalam menghasilkan sebuah album biarpun pasaran industri tidak begitu memberangsangkan, Syameer memberitahu mereka diberikan keyakinan oleh Cat sendiri kerana baginya, single tidak cukup untuk kami memperkenalkan jenama Othello.

“Dengan album, kami ada banyak pilihan untuk memperkenalkan produk kami,” katanya ringkas.

Jiwa ‘baharu’ Rozie Rashid

SUATU ketika dahulu, nama Rozie Rashid cukup terkenal dalam arena lakonan.

Bahkan, dia juga pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Gubra pada Anugerah Skrin ke-8.

Bagaimanapun, tahun demi tahun, pemilik nama sebenar Roziwati Mohd Rashid, 46, ini mula beralih ke belakang tabir dan memilih untuk menjadi penulis skrip.

Mengimbau penglibatannya dalam bidang penulisan skrip, Rozie berkata, dia mula berjinak-jinak dalam bidang tersebut pada 2010.

“Saya memang dah lama minat menulis tetapi tidak secara serius, apatah lagi, saya tak ada pengalaman untuk menulis skrip.

“Saya banyak menuntut ilmu penulisan ini daripada bekas suami saya,  Norhan Mahmud, dan dia juga banyak mengajar nak memantau skrip yang saya hasilkan.

“Malah, saya juga faham dengan konsep yang diajar dan saya juga boleh terangkan konsep itu kepada orang lain.

“Bagaimanapun ketika itu saya tidak menulis skrip secara serius dan tidak menggunakan nama sendiri.

“Kemudian selepas dipanggil TV3 pada 2013 untuk menulis skrip sebuah drama, saya kembali aktif dan menggunakan nama sendiri,” ujarnya kepada Zass.

Sejak itu, dia menjadikan bidang penulisan skrip sebagai kerjaya baharu dan turut menubuhkan kumpulan, PGL Team yang mana Rozie bertindak mengajar dan dalam masa sama mereka berganding bahu untuk menghasilkan skrip drama, telefilem, telenovela dan sitkom.

“Buat masa ini saya ada enam orang penulis termasuk saya dan saya bahagikan kepada kumpulan. Dalam masa sama, saya juga memantau kumpulan dan menyunting skrip yang dihasilkan mereka,” katanya.

Rozie berkata, pengalamannya sebagai pelakon juga banyak membantu dia menghasilkan skrip dengan lebih baik kerana dia sudah menggambarkan setiap karakter ketika menyiapkan skrip tersebut.

“Penulis skrip sebenarnya memainkan peranan penting dalam pembikinan sesebuah karya, kerana dari sekeping kertas kosong, kita kemudiannya mencorakkan jalan cerita dan karakter. Seterusnya baharulah direalisasikan oleh pengarah, pelakon dan produksi.

“Kalau berlakon dulu saya mungkin hanya membawa satu watak pada satu masa, tapi bila menulis skrip, saya membawa semua watak dan bila kita dapat dalami watak-watak itu, baharulah kita dapat hasilkan skrip yang baik,” jelasnya.

Rozie berkata, antara skrip yang dihasilkan dan sedang ditayangkan kini adalah Uda Dan Dara, manakala antara skrip lain yang pernah dihasilkan adalah Adam dan Hawa,  Memori Cinta Suraya.

“Sekarang ini yang sedang dalam penggambaran adalah Suami Tanpa Cinta dan akan datang, Hashtag Assalamuaikum Cinta dan Tuan Anas Mikael untuk puasa dan hari raya,” katanya.

Tambah Rozie, dia tidak meletakkan sebarang kriteria dalam penghasilan skrip dan hanya berharap skrip yang dihasilkan dapat menembusi pasaran luar.

“Alhamdulillah Memori Cinta Suraya turut dipasarkan di Indonesia, jadi secara tidak langsung skrip saya sudah ke luar negara.

“Bagaimanapun itu hanya permulaan dan saya berharap akan ada lebih banyak skrip yang kami hasilkan ke luar negara,” katanya.

Beri teladan pada keluarga

Tambah Rozie, pembabitannya dalam dunia penulisan sedikit sebanyak mempengaruhi anak-anak.

Jelasnya, anak-anaknya, TS Nadhirah, TS Nadhzurah, T Riqmal Hafizi dan Naeilah Najwa gemar membaca dan kadangkala membantunya mencari maklumat mengenai sesuatu perkara.

“Walaupun saya bekerja, saya tetap ambil kesempatan untuk berinteraksi dengan mereka. Contoh saya perlukan sesuatu maklumat, saya minta bantuan mereka cari.

“Jadi secara tidak langsung, dalam mereka membantu saya, mereka juga dapat ilmu daripada pembacaan tersebut. Malah anak-anak juga gemar membaca walaupun daripada telefon bimbit.

“Ia secara tidak langsung menyuntik hobi dan anak-anak mencontohi apa yang saya lakukan,” katanya.

Rindu berlakon

Ditanya mengenai karier lakonannya, Rozie berkata, buat masa ini, dia tidak dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap bidang tersebut. Bagaimanapun cintanya terhadap lakonan tidak pernah padam.

“Kalau saya gian sangat nak berlakon, saya akan terima telefilem yang memerlukan penggambaran dalam tempoh singkat.

“Tapi kalau perlukan komitmen tinggi yang berhari-hari, memang saya tolak kerana saya tak ada banyak masa untuk berlakon.

“Bagaimanapun, saya tidak akan tinggalkan terus bidang lakonan kerana itu adalah jiwa saya,” akhirinya.