Tasha lebih waspada dengan lelaki

Pelakon, Tasha Shilla, 29, memaklumkan dirinya akan terus berkecimpung dalam arena seni sekalipun sudah mendirikan rumah tangga suatu hari nanti. Cuma, impian untuk melihatnya menaiki pelamin dalam masa terdekat takkan kesampaian kerana sehingga kini dirinya belum mempunyai calon suami. Sebelum ini, Tasha heboh dilaporkan bercinta dengan seorang peninju Muay Thai, tetapi hubungan itu berakhir sebelum sempat kedua-duanya bergelar suami-isteri. “Sebelum ini juga memang saya pernah menghadiri kursus kahwin, tetapi tanpa pasangan. Dalam hati, memang saya sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga, cuma apakan daya saya belum ada calon. “Dulu memang saya akui mudah terpedaya dengan kata-kata lelaki. Namun kini, pengalaman banyak mengajar saya untuk lebih berhati-hati. Jadi, buat masa ini biarlah saya fokus terhadap kerjaya seni. “Tahun ini juga umpama ‘comeback’ bagi saya selepas pelbagai kontroversi melanda diri sepanjang tahun lalu,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sidang media program Gempak Superstar, di sini hari ini. Ditanya mengenai percubaannya menyertai pertandingan nyanyian terbabit, Tasha menjelaskan, ia lebih kepada usaha mencabar keupayaan sendiri. Tasha juga sudah bersedia untuk menerima kritikan daripada juri dan penonton pertandingan itu. “Seperti juga dengan dunia lakonan, dulu pun saya bukannya pandai sangat berlakon. Bagaimanapun, seiring peredaran waktu, kita cuba asah bakat yang dimiliki itu. Begitulah juga dengan nyanyian. “Saya pula memang tidak menjangkakan apa-apa pun dalam pertandingan ini. Sebaliknya, ia lebih kepada mencuri peluang yang diberikan. Selepas dikecam dan dihina ramai sebelum ini, gara-gara kontroversi lalu, pastinya saya tiada masalah untuk dikritik juri serta penonton,” katanya. Dilabel sebagai antara pelakon yang berani mati ketika bergaya, Tasha mengaku dirinya selesa menjadi diri sendiri ketika persaingan dalam program realiti itu. “Saya tetap Tasha Shilla. Saya hanya menjadi diri sendiri dan memakai apa yang dirasakan selesa. Saya masih Tasha yang dulu, tetapi kali ini hadir bersama semangat baharu,” katanya. Dalam program terbaharu terbitan Astro itu, seramai 10 pelakon tanah air bakal berentap untuk menunjukkan kemampuan masing-masing di pentas nyanyian. Selain dirinya, bertanding sama dalam program itu ialah Nazim Othman, Izreen Azminda, Siti Elizad, Raja Ilya, Sherry Ibrahim, Arja Lee, Dazrin Kamaruddin, Soffi Jikan dan Ryzal Jaafar. Menggunakan sistem pemarkahan 50 peratus daripada juri dan selebihnya hasil undian peminat, juara rancangan ini akan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Impian majlis nikah ringkas Nazim tak tertunai

Biarpun pada asalnya Nazim Othman inginkan sebuah majlis pernikahan ringkas, namun pelakon itu mengaku perlu menghormati permintaan keluarga untuk mengadakan acara bersejarah dirinya dan Bella Daly di beberapa lokasi berbeza. Sedar perkahwinan mereka turut membabitkan anggota keluarga dan saudara-mara, pelakon itu berkata dirinya tidak ralat dengan apa saja perubahan terhadap rancangan asal. “Jika diikutkan, saya teringin mengadakan majlis akad nikah dan resepsi pada hari sama. Bagaimanapun, berikutan ia turut membabitkan keluarga, perancangan asal menjadi beranak-pinak. Saya perlu menghormati permintaan mereka. “Kalau ikut kemahuan hati, saya ingin melangsungkan majlis terbabit di ibu kota saja. Namun, bapa meminta saya mengadakan majlis di Johor Bahru kerana ia lebih dekat dengan saudara-mara. Bella pula mahukan majlis pernikahan dan resepsi diadakan di Kota Kinabalu, Sabah. “Dalam situasi ini, saya hormati permintaan keluarga Bella. Jadi, kami bertolak ansur dalam hal ini dan membahagikan tugas sebaik mungkin,” katanya sambil memberitahu, sehingga kini mereka belum memutuskan mengenai lokasi majlis berkenaan. Katanya, selain acara akad nikah dan resepsi di Sabah dan sebuah lagi di Johor, berkemungkinan majlis keraian turut diadakan di Kuala Lumpur untuk teman rapat dan media,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman program baharu, Gempak Superstar, yang turut disertainya di sini, hari ini. Pelakon itu juga berkata, beliau dan Bella sudah mempunyai tarikh pilihan untuk majlis penyatuan mereka, cuma ia belum dapat diputuskan lagi. “Kita hanya merancang, tetapi Tuhan yang menentukan. Ada kemungkinan juga dengan kesibukan serta komitmen saya terhadap kerjaya seni, tarikh yang dipilih itu pun terpaksa dianjakkan lagi. Apa pun, semuanya bakal dilunaskan juga tahun ini. “Selain bersaing dalam Gempak Superstar yang mula bersiaran 10 April depan, saya juga akan terbabit dengan penggambaran telenovela 100 episod bersama Astro,” katanya yang mengikat tali pertunangan bersama Bella pada November tahun lalu.

Status ‘Alhamdulillah…’ bukan kerana isteri hamil – Fizo Omar

Pelakon, Fizo Omar, berharap tiada pihak yang tersalah sangka dengan status ‘Alhamdulillah…’ dimuat naik ke laman Instagram miliknya, baru-baru ini. Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 30, berkata, beliau terkejut kerana gara-gara status berkenaan, ramai pengikutnya menganggap isterinya, Mawar Abdul Karim, sudah pun hamil. “Ramai yang salah faham dengan status berkenaan. Sebenarnya, status terbabit adalah untuk menyatakan kesyukuran saya dengan segala rezeki perniagaan kami. “Saya terkejut juga dengan komen yang ditinggalkan di laman sosial. Tiba-tiba saja orang ucap tahniah. Tidak mengapa, saya menganggap ia sebagai doa buat kami,” katanya kepada BH Online. Terdahulu, Fizo memuat naik status ‘Alhamdulillah…’ dan perkara itu membuatkan ramai yang menganggap isterinya Mawar sudah pun berbadan dua. Fizo dan Mawar berkahwin pada November 2013. Sementara itu, Fizo berkata, sejak restorannya, Fizomawar, di Bangi menjadi isu gara-gara seorang penulis blog mengkritik perkhidmatan yang kurang dikatakan memuaskan, ia banyak memberikan kesan positif terhadap perniagaan terbabit. Akui Fizo, walaupun kurang senang dengan penulisan blogger berkenaan, namun beliau mengambil pendekatan menjadikan ia sebagai perkara positif dan menambah baik segala kekurangan dalam perniagaannya itu. “Biasalah, siapa yang tidak marah apabila perniagaan kita dikritik, kerana bukan senang untuk seseorang membuka sebuah kedai makan. Tetapi apabila difikirkan balik, ada baiknya juga kritikan itu. Saya ambil setiap komen negatif dengan menambah baik perkhidmatan di restoran kami. “Alhamdulillah, kerana isu berkenaan juga Fizomawar tidak henti-henti menerima kunjungan pelanggan. Saya anggap ia perkembangan yang bagus,” tuturnya. Kata Fizo, beliau dan isteri kini merancang untuk membuka sebuah lagi cawangan Fizomawar di sekitar ibu kota.

Jodoh kami tak kekal: Jennifer Lopez

Penyanyi dan pelakon popular Amerika Syarikat, Jeniffer Lopez mendedahkan perpisahan dengan bekas suami Marc Anthony kekecewaan terbesar dalam hidupnya.

Lopez, 46, bercerai dengan Anthony, 47, yang juga penyanyi terkenal pada 2014 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Menurut majalah People, Lopez berusaha memastikan hubungannya dengan Anthony kekal kerana pernah gagal dua perkahwinan sebelum ini.

“Saya dengan Marc terfikir perkahwinan kami akan kekal selama 40 tahun sehingga kami meninggal dunia,” katanya mempunyai dua anak bersama Anthony.

Biarpun begitu juri program realiti American Idol itu mengakui perpisahan dengan Anthony adalah keputusan terbaik baginya.

Lopez kini bersama kekasih lama Casper Smart yang bekerja sebagai penari manakala Anthony mendirikan rumah tangga dengan Shannon De Lima pada 2014.

Cinduo Mato tawan pentas IB

Tahun lalu, penonton terpukau dengan persembahan teater Mek Mulung yang menguasai pentas Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

Naskhah berusia 500 tahun itu menjadi pilihan kerana menampilkan nilai estetika tinggi dan mempunyai keunikan tersendiri.
Justeru, tahun ini Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menampilkan pula Teater Tradisional Randai: Cindua Mato yang disuntik elemen muzikal.

Barisan pelakon yang dipilih bukan calang-calang iaitu Remy Ishak, Azhan Rani, Ashraf Muslim, Vanidah Imran, Puteri Aishah Sulaiman, Datuk Jalaludin Hasan, Datuk Ahmad Tamimi Serigar dan Zuhairi Ibrahim.
Hasilnya, persembahan yang berlangsung di Istana Budaya bermula Jumaat hingga kelmarin berjaya menarik kehadiran luar biasa penonton yang dilihat teruja menyaksikan pementasan ini.
Rasionalnya Randai adalah warisan masyarakat Minang dan pementasan ini sebahagian daripada usaha untuk memastikan kelangsungan kesenian ini dalam kalangan masyarakat.
Selain itu juga ia bertujuan meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan apresiasi masyarakat terhadap kesenian klasik yang autentik dan kaya dengan nilai seni dan moral.
Sebagaimana naskhah epik lain, Cindua Mato turut tampil dengan tema kepahlawanan, peperangan dan cinta. Ia antara elemen yang berupaya memikat hati penonton untuk hadir menonton cerita ini.
Semua pendokong watak dilihat berjaya menampilkan karakter masing-masing dengan berkesan.
Remy hebat dengan watak Cindua Mato, Vanidah (Bundo Kanduang), Azhan (Dang Tuanku), Ahmad Tarmimi (Datuak Bandaharo), Khusiary (Datuak Mangkhudum), Che Wan Silat (Datuak Indomo) dan Ashraf (Rajo Mudo).
Semua mereka menunjukkan kesungguhan ketika beraksi, malah Remy sendiri mengalami luka di tangan akibat terkena keris dalam babak pertarungan yang dilakonkan.
Biarpun ceritanya berteraskan kepahlawanan, pengarahnya Lokman Ghani tidak lupa menyelitkan unsur jenaka yang mampu menggeletek hati penonton.
Pelakon berpengalaman Ebby Yus diberikan tugasan ini dan tidak sukar baginya menunaikan tanggungjawab yang diberi.
Ada-ada saja komedi spontan yang ditampilkan, sekali gus menjadikan suasana dalam Panggung Sari bergema dengan gelak ketawa penonton. Dalam pada itu, mereka tetap teruja mahu menyaksikan kesudahan cerita yang mendebarkan ini.
Kesan visual dan grafik hidupkan pentas
Kecanggihan teknologi sekarang turut dimanfaatkan dengan paparan imej grafik yang cantik menghiasi pentas.
Jika di pentas biasa segalanya terhad, namun pentas IB boleh disesuaikan mengikut babak antaranya imej hutan rimba, istana, kampung dan pelbagai lagi yang menarik.
Bahkan, ada dalam kalangan penonton yang baru pertama kali menonton di Panggung Sari kagum dengan pelbagai kemudahan dan kecanggihan yang disediakan.
Ditemui selepas itu, Remy melahirkan perasaan puas kerana berjaya membawa wataknya dengan lancar.
“Secara jujurnya saya gembira kerana berjaya memberikan satu persembahan yang menghiburkan ramai penonton. Syukur kerana saya mempunyai tenaga yang mencukupi bagi membawakan watak Cindua Mato untuk persembahan selama tiga hari.
“Menerusi persembahan ini, saya dapat belajar berkenaan legenda masyarakat Minang. Selama ini kita hanya tahu mengenai legenda Hang Tuah dan lain-lain lagi. Kisahnya ada sikit persamaan dengan Hang Tuah.
“Bagi saya peminat datang untuk menyaksikan bentuk persembahan yang baru. Sebelum ini pentas teater kita banyak dilambakkan dengan cerita cinta. Ini juga pengalaman pertama saya bekerja dengan Lokman dan nampaknya dia berjaya memberikan kelainan dalam lakonan saya,” katanya yang menjadikan pentas teater sebagai medan untuk menggilap lakonannya.

Hangat jeritan peminat

Lebih menarik, konsert malam kelmarin juga diadakan sempena ulang tahun ke-20 SO7 yang ditubuhkan pada 1996.
Tampil di pentas pada jam 9.45 malam, suasana kian hangat apabila penonton mula menjerit dan berteriak nama keempat-empat pemuzik berbakat itu.

Memulakan persembahan dengan lagu Pria Terhebat suasana kian dihangat­kan lagi dengan rangkaian lagu popular mereka seperti Jap, Sahabat Sejati, Hari Bersamanya, Pemuja Rahsia, Yang Terlewatkan, Bila Kau Tak Di Sampingku, Tanyaku, Kita dan Tunjuk Satu Bintang.
Tidak hanya itu, SO7 juga mempersembahkan lagu-lagu seperti Percayakan Padaku, Seberapa Pantas, Hujan Turun, Pede, Lapang Dada dan Melompat Lebih Tinggi.

Mereka turut menyampaikan medley lagu Sephia dan Betapa, Kau Kini Ada dan Pria Kesepian serta Dan dan Sebuah Kisah Klasik.
Dapat dilihat apabila lagu popular mereka dinyanyikan pasti penonton berteriak dan turut bersama menyanyikan lagu berkenaan.
Nyata kelewatan menanti kemunculan mereka di pentas sedikit pun tidak mematahkan semangat penonton untuk terus setia sehingga konsert berakhir biarpun dalam keadaan sesak dan panas.
Penutup lagu Sebuah Kisah Klasik tidak memberi peluang kepada penonton untuk terus menyaksikan konsert SO7 berikutan itu adalah lagu terakhir dan menandakan mereka perlu meninggalkan pentas.
Terharu dengan sambutan penonton di dewan konsert, pastinya S07 berharap diberi peluang hadir ke sini lagi mengadakan konsert.
Terdahulu, pentas dibuka dengan persembahan Noh Hujan yang diiringi Restoe Ibu Band.
Noh yang mendendangkan lagu-lagu seperti Musim Ujan, Aku Skandal, Gelung, Angin Kencang dan Bunga Di Telinga turut berduet dengan penyanyi Nadira Adnan menerusi lagu Sang Penikam.
Nadira turut menyanyikan single barunya berjudul Isi Hati.
Hadir sama menonton konsert berkenaan ialah Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Datin Seri Enny Beatrice Ferlat Kusumo Anggraini yang juga isteri kepada Menteri Wilayah Perseketuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

‘Cukuplah sekali…’

Tenaga dan kesungguhan penyanyi ini merencanakan karier sememangnya mengagumkan.

Biarpun dihambat kontroversi tidak lama dulu, Kaka Azraff, 27, terus bergerak seolah-olah ia tidak meninggalkan kudis dalam dirinya.
Jika diimbas semula tohmahan yang diterimanya seperti didakwa menjadi perampas kekasih orang, pasti menyakitkan.

Itu belum lagi kisah dia dipulaukan seseorang yang mulanya disangkakan kawan, namun ternyata bukan.
Tidak berniat mengungkit detik pahit itu, namun Kaka menegaskan pengalaman itu benar-benar meninggalkan impak dalam dirinya.
Dari segi kepercayaan, dia kini perlu berhati-hati.
“Saya membesar dalam persekitaran dunia seni dan sudah didedahkan mengenai hal ini oleh ibu saudara sendiri iaitu Ella dan Jojie. Pesanan mereka masih tersemat kemas dalam hati, tetapi nampaknya ia tetap menimpa saya.
“Mungkin kerana saya beranggapan rakan dalam bidang ini mempunyai hala tuju yang sama tanpa memikirkan hakikatnya hati orang tetap lain-lain. Apapun, kini saya menyedari hal itu dan pengalaman lalu itu banyak mengajar saya.
“Sekarang, saya sangat berhati-hati dalam hal berkawan kerana tidak mahu ia berulang kembali. Bukan serik dan tidak mahu berkawan langsung dengan rakan sealiran, namun lebih baik saya kekalkan hubungan bersama sahabat yang dipercayai saja,” katanya.
Kaka juga mahu terus optimis dalam memperjuangkan muziknya yang mengutamakan genre hip hop dan R & B biarpun penerimaan peminat tempatan mungkin belum terbuka sepenuhnya.
Menurut penyanyi Bukan Hal Aku itu, dia dapat merasakan masa depan muzik begitu sangat cerah.
“Saya sentiasa percaya dengan muzik saya kerana ia sendiri sudah diterima dengan baik di seluruh dunia. Bezanya, di Malaysia hanya segelintir dapat berhubung dengan muzik berkenaan, tapi pada masa sama perlahan-lahan memikat yang lain.
“Itulah muzik yang sangat dekat di hati dan saya tidak mahu melakukan sesuatu di luar jiwa saya. Apa saja kritikan atau komen yang dilemparkan, saya sentiasa menghadamnya dengan hati terbuka,” katanya.
Dalam pada itu, bercerita mengenai single terbarunya, Kaka berkata, dia sudah merakamkannya, tetapi belum memilih tarikh untuk dilancarkan.
“Saya puas hati dengan lagu itu. Saya juga tidak sabar mahu untuk mengetengahkannya nanti dan konsepnya ada persamaan dengan Bukan Hal Aku. Bagaimanapun, saya selesa merahsiakan judul dan komposer lagu berkenaan terlebih dulu,” katanya.
Berniaga bukan ikut trend
Ditemui pada pelancaran produk minyak wangi miliknya sendiri dinamakan Kreiz, baru-baru ini, Kaka berkata, dia sudah lama menyimpan niat untuk membabitkan diri dalam bidang perniagaan.
Bagaimanapun, Kaka menafikan dia mengikut trend artis lain yang sudah tampil dengan produk sendiri.
“Idea mahu menghasilkan minyak wangi sendiri ini memang sudah lama saya idamkan. Apatah lagi saya dikelilingi ahli keluarga terutama Ella dan Jojie yang sangat sukakan produk haruman.
“Sejak kecil lagi saya sudah terbiasa dengan situasi itu. Bagaimanapun, saya bukan jenis yang memilih kerana bagi saya kualiti haruman lebih penting tanpa meletakkan harga mahal pun,” katanya.