Nor Albaniah Tidak Senang Lelaki Terburu-Buru Cari Cinta

Pelakon Nor Albaniah menyifatkan kebanyakan lelaki terlalu terburu-buru dalam mencari cinta sehingga ia boleh membuatkan segelintir wanita berasa tidak senang.

Nor Albaniah atau nama sebenarnya Nor Albaniah Raffie, 47, berkata, perkara itu turut terjadi kepadanya sehingga membuatkan dia menolak ramai lelaki yang ingin mendekatinya.

“Apa yang saya lihat kebanyakan mereka (lelaki) terlalu terburu-buru dalam mengejar cinta.

“Itu yang berlaku pada saya. Bayangkan, baru mesej di WhatsApp dan belum berjumpa, macam-macam permintaan dah dibuatnya. Ada yang nak ubah diri saya. Terus saya reject.

“Perkara itu juga membuatkan saya lebih selesa hidup solo buat masa ini,” katanya kepada mStar Online.

Nor Albaniah berkata demikian selepas ditanya mengenai sebab dirinya masih hidup solo selain perancangan kehidupannya akan datang.

Dalam pada itu, Nor Albaniah juga pelik dengan segelintir lelaki yang menganggap dirinya seorang materialistik dengan membuat pelbagai tawaran lumayan untuk mendampinginya.

“Mereka menawarkan kemewahan kerana menganggap saya materialistik. Bukan itu yang saya mahu. Saya masih mampu bekerja untuk mendapatkan apa yang diinginkan.

“Sebab itu saya kata, susah nak cari lelaki yang benar-benar jujur pada zaman ini,” ujarnya.

Tambah Nor Albaniah, dia  tidak terlalu mengejar dalam mencari pasangan kerana meletakkan perancangan perkahwinan di senarai paling akhir.

Sementara itu, Nor Albaniah meluahkan rasa syukur, dia masih lagi diterima peminat drama dan filem Melayu meskipun sudah lama dalam industri seni tempatan.

Malah, pihak penerbit juga cukup senang untuk menawarkannya berlakon dan menyifatkan rezeki lakonan sentiasa ada kerana dia tidak memilih watak yang diberi.

“Industri seni dulu dan sekarang sangat berbeza. Kalau zaman kegemilangan dulu, memang saya pilih watak dan hanya fokus pada filem.

“Tetapi tidak lagi sekarang. Saya lebih terbuka tidak kira watak, drama atau filem, saya akan terima tawaran tersebut,” tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Nor Albaniah bakal muncul menerusi filem Pelepas Saka yang ditayangkan bermula 4 Februari 2016 bersama barisan pelakon baharu Hanif Safuan, Hafizz Bahari dan Lydia Izzati.

Selain itu lakonannya menerusi drama Cinta Hati Abah kini sedang ditayangkan di slot TV3 manakala Puteri Labu di TV1.

Azmir Arif & Jeff A to Z Tampil Lagu ‘Fly Me To The Moon’

Penyanyi Azmir Arif mengambil pendekatan berkolaborasi dengan Jeff A to Z sebagai rakan duet untuk muncul dengan single lagu baharu, Fly Me To The Moon.

Azmir berkata, Jeff merupakan rakan duet pertamanya selepas lapan tahun terlibat dalam industri seni tempatan.

“Idea untuk berkolaborasi dengan Jeff bermula ketika saya ke sebuah studio rakaman untuk merakamkan jingle dan sambil itu, saya melihat koleksi lagu ciptaan Jeff.

“Dalam banyak-banyak lagu, saya tertarik dengan lagu Fly Me To The Moon yang mengisahkan kekeluargaan dan ia jarang ditampilkan apatah lagi ia mengisahkan tentang kasih sayang seorang bapa kepada anaknya.

“Tanpa mengambil masa panjang, saya terus berbincang bersama Jeff dan dia bersetuju untuk menjadi pasangan duet untuk lagu ini,” katanya kepada mStar Online.

Tambah Azmir, dia berharap Fly Me To The Moon dapat memikat hati pendengar memandangkan muzik lagu itu dihasilkan mengikut trend terkini.

“Saya juga percaya gandingan penyanyi lama iaitu Jeff dan baru seperti saya mampu menguatkan lagi lagu yang dibawakan.

“Selain itu lagu tersebut juga diselitkan elemen rap dengan lirik lagu yang catchy di mana Bahasa Melayu dan Inggeris dicampurkan,” ujarnya.

‘Dah lima meter, baru nampak harimau itu’

Sedih dan masih terkejut, itu yang dialami oleh Mohd Syahrin Abdul Aziz, 43, apabila dia tanpa sengaja melanggar seekor harimau belang dewasa ketika melalui Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) semalam.

Dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 11.45 malam semalam, harimau itu mati selepas dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu Mohd Syahrin di KM321.2 lebuh raya berkenaan.

Bercakap kepada Sinar Online hari ini, Mohd Syahrin berkata kejadian berlaku terlalu pantas, dan dia hanya menyedari harimau itu ketika mana haiwan itu berada terlalu hampir dengan keretanya.

“Laluan itu memang gelap, memang tiada kenderaan lain selain saya…tiba-tiba dalam jarak lima meter baru saya nampak harimau itu, saya hanya sempat menjerit ‘harimau’ tetapi apakan daya saya tidak sempat berbuat apa-apa untuk mengelak daripada harimau itu dilanggar,” katanya.

Katanya lagi, selepas pelanggaran itu, dia memberhentikan keretanya untuk melihat keadaan harimau itu.

“Saya berhenti agak jauh dari tempat kejadian, sebab takut-takut ada harimau lain yang datang…selang lima minit kemudian ada kereta berhenti dekat saya, tanya apa berlaku, lepas itu dia mintak dekat saya hendak ambil harimau itu saya cakap tidak boleh

“Selepas itu, dalam 20 minit kemudian ada Peronda LPT datang lalu ambil harimau itu. Kemudian polis pula datang selepas itu saya maklumkan bahawa harimau itu telah diambil oleh Peronda LPT,” katanya.

Ujarnya, selepas semua selesai dia telah membuat satu laporan di Balai Polis Kemaman pagi tadi.

“Saya bersyukur sebab keluarga saya selamat, tetapi sedih mengenangkan nasib harimau itu. Saya dimaklumkan bahawa harimau itu adalah haiwan perlindungan yang hampir pupus, hanya ada 11 ekor di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Gelaran Datuk suntik semangat baharu kepada Ziela Jalil

Pelakon dan penerbit, Ziela Jalil, menyifatkan gelaran Datuk yang diterimanya sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang hari ini sebagai pengiktirafan yang memberinya sinar untuk terus menjadi insan terbaik. Ziela atau nama lengkapnya, Norzilah Abdul Jalil adalah antara tiga insan seni yang menerima darjah kebesaran, Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), yang membawa gelaran Datuk, selain Pengarah Urusan Tall Order Sdn Bhd, Hans Isaac dan Presiden Eksekutif KRU Bros Sdn Bhd, Norman Abdul Halim. Ibu kepada Puteri Julia Nabilah, Megat Jufri Nasrullah dan Ibrahim Junid Abdullah, yang juga penerbit bagi syarikat Pena Creative Pictures Sdn Bhd itu, terharu apabila usaha kerasnya mengangkat hasil karya seni diberi perhatian hingga menerima pengiktirafan yang cukup bermakna itu. “Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi…saya tidak pernah terfikir untuk menerima penghargaan ini. Saya begitu menghargainya, malah tidak mampu untuk meluahkannya dengan kata-kata.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih kepada Tuanku Baginda Sultan Pahang dan seluruh kerabat terutama Tengku Puteri Seri Kemala Pahang, Tengku Aishah kerana mengiktiraf saya yang hanya insan kerdil dalam bidang ini,” katanya. Pelakon era 1990-an yang cukup terkenal dengan filem Mr Os, Tarzan Rimba, Driving School dan Ujang itu juga berharap, tahun 2016 akan membawa lebih banyak sinar untuk terus membentuknya menjadi insan yang terbaik kepada masyarakat, bangsa serta agama. Ziela yang juga isteri kepada bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub, masih aktif berlakon selain menerbitkan drama untuk saluran televisyen tempatan.

HUKUM ONANI LELAKI & WANITA – HARAM ATAU MAKRUH? ~ Baca Disini

Bhs. M’sia = Melancap atau ONANl (Bhs. Arab = Istimna) ialah suatu perbuatan mengeluarkan sperma dengan tangan sendiri dengan tujuan mencapai kepuasan seks secara bersendirian, tanpa pasangan. Persolan ini dirasakan amat patut dibincangkan hukumnya memandangkan ia adalah satu perkara yang sering timbul dibenak fikiran apabila seseorang itu bermusafir jauh dari pasangan hidupnya sehingga menyebabkan dia mencari sesuatu alternatif lain bagi mencari kepuasan seks dirinya. Dalam perbincangan ini perkataan onani digunakan mewakili masturbasi sebagai bahasa yang tepat mengikut Kamus Dewan.

Onani adalah suatu perbuatan yang dipandang sebagi dosa besar di sisi Islam, demikian menurut majoriti para fuqaha. Imam as-Shafie dan Imam Malik, apabila ditanya mengenai hukum onani, mereka mengharamkan perbuatan sedemikian berdasarkan firman Allah Azza waJalla dalam al-Qur’an: Dan mereka yang menjaga kehormatannya (dalam hubungan seksual) kecuali kepada isteri atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela. Maka barangsiapa yang mengingini selain yang demikian, maka mereka adalah orang-orang yang melampaui batas.[Maksud surah al-Mu’minun 23 – 5,6,7][1]

Ayat di atas menerangkan bahawa seseorang yang menjaga kehormatan diri hanya akan memperlakukan hubungan seksual bersama isteri-isterinya atau hamba-hambanya yang sudah dinikahi. Hubungan seksual seperti ini adalah suatu perbuatan yang baik, tidak tercela di sisi agama. Akan tetapi jikalau seseorang itu cuba mencari kepuasan seksual dengan cara-cara selain bersama pasangannya yang sah, seperti zina, pelacuran, onani atau persetubuhan dengan haiwan, maka itu dipandang sebagai sesuatu yang melampaui batas, salah lagi berdosa besar di sisi Islam. Demikian ringkas penerangan Imam as-Shafie dan Imam Malik apabila mereka ditanya mengenai hukum onani.

Kenyataan di atas disokongi oleh riwayat berikut: Di Hari Akhirat Tuhan tidak akan melihat golongan-golongan ini lantas terus berfirman: Masuklah kalian ke dalam api neraka bersama-sama mereka yang (berhak) memasukinya. Golongan-golongan tersebut ialah [1] Orang-orang homoseksual, [2] orang yang bersetubuh dengan haiwan, [3]orang yang mengahwini isteri dan juga anak perempuannya pada waktu yang sama dan [4] orang yang kerap melakukan onani, kecuali jikalau mereka semua bertaubat dan memperbetulkan diri sendiri (maka tidak lagi akan dihukum).[2]

Lebih dari itu onani juga hanya berupaya memberikan kepuasan sementara kepada pembuatnya dan ia tidak lain hanya akan menambahkan lagi dorongan untuk melakukan hubungan seksual yang lebih sempurna. Ini adalah kerana manusia telah dicipta oleh Allah Azza waJalla untuk memuaskan kehendak seksual masing-masing dengan pasangan masing-masing dan apabila manusia cuba mencari alternatif lain ia hanya akan menaikkan semangat, tidak pula memuaskannya. Justeru itu onani tidak akan berjaya memuaskan nafsu seksual tetapi hanya akan melahirkan nafsu yang lebih kuat dan mengarah kepada perbuatan yang lebih buruk mudaratnya seperti zina, pelacuran dan sebagainya.

Shah Waliallah Dahlawi menerangkan: Ketika air mani memancut dengan banyak, ia juga mempengaruhi fikiran manusia. Oleh itu orang muda akan mula menaruh perhatian terhadap wanita cantik dan hati mereka mula terpaut kepadanya. Faktor ini juga mempengaruhi alat jantinanya yang sering meminta disetubuhi menyebabkan desakan lebih menekan jiwa dan keinginan untuk melegakan syahwatnya menjadi kenyataan dengan berbagai-bagai aktiviti. Dalam hal ini seorang bujang akan terdorong untuk melakukan zina. Dengan perbuatan tersebut moralnya mulai rosak dan akhirnya dia akan tercebur kepada perbuatan-perbuatan yang lebih merosak. [3]

Keterangan di atas dapat diumpamakan kepada seseorang yang selalu mengkhayal dirinya memandu kereta Ferari. Lalu di satu hari dia memperoleh peluang untuk memandunya tetapi dihadkan kepada kelajuan maksimum 80 kmsj. Sudah tentu ini hanya memberikan kepuasan sementara lalu menjadi pemankin pula untuk berkehendak memandu kereta tersebut selaju 200 kmsj atau lebih.

Melakukan onani secara kerap juga banyak membawa mudarat kepada kesihatan dan seseorang yang melazimkan diri dengan onani akan menghadapi kesan-kesan kelemahan badan, anggota yang terketar-ketar atau terkaku, penglihatan yang kabur, perasaan berdebar-debar dan kesugulan fikiran yang tidak menentu.[4]  Kajian perubatan juga membuktikan bahawa kekerapan melakukan onani akan memberi kesan negatif kepada kebolehan seseorang itu menghasilkan sprema sihat dan cukup bilangan dalam jangka masa panjang. Ini akan menghalang kebolehan seseorang itu menghasilkan zuriat-zuriat bersama pasangan hidupnya malah lebih dari itu, menghadapi ketergendalaan seksual dalam umur yang masih muda (mati pucuk).[5]    Melazimkan diri dengan onani juga menjauhkan hakikat seseorang itu daripada tujuan ciptaannya, iaitu sebagai sebaik-baik ciptaan Allah Subhanahu waTa’ala, sebaik-baik makhluk bumi dan sebagai sebaik-baik umat, iaitu umat Islam. Ia menjauhi nilai-nilai moral serta akhlak tinggi yang menjadi unsur utama kemulian umat Islam berbanding dengan yang lain-lain.

Walaubagaimanapun sesetengah ahli fiqh berpendapat bahawa onani dibolehkan jikalau seseorang itu menghadapi suasana kegentingan syahwat dan dia berkeyakinan bahawa onani dapat meredakan syahwatnya dan dapat pula menghalang dirinya daripada terjerumus ke dalam sesuatu yang lebih besar mudaratnya seperti zina atau pelacuran. Kebolehan ini bukanlah bertujuan menghalalkan perbuatan onani tetapi ia adalah didasarkan kepada kaedah usul fiqh yang menyatakan: Dibolehkan melakukan bahaya yang lebih ringan supaya dapat dihindari bahaya yang lebih berat. Di sini perlu diwarnakan bahawa onani yang dibolehkan dari prinsip di atas hanyalah dalam suasana yang amat menekan, berbeza pula dengan onani yang dilakukan setiap hari atau setiap masa yang terlahir dari perbuatan melihat video-video, majalah-majalah atau angan-angan lucah. Yang pertama dibolehkan atas dasar pertimbangan maslahat agama manakala yang kedua diharamkan atas dasar pertentangan dengan perintah dan nilai-nilai agama.[6]

Tetapi sebelum seseorang itu dengan mudah menceburkan dirinya dalam kebolehan melakukan onani dalam saat-saat keperluan, dia seharusnya mencari alternatif-alternatif lain bagi mengelak dirinya daripada langsung menghampiri perbuatan tersebut. Melazimkan diri dengan berpuasa, atau dengan banyak berzikir mengingati Allah Ta’ala atau dengan mensibukkan diri dengan perkara-perkara kebajikan adalah antara menu sajian yang dicadangkan. Tidak ketinggalan juga ialah doa kepada Allah Subhanahu waTa’ala agar dia terpelihara dari perlakuan atau lintasan hati yang mengarah kepada sedemikian perbuatan, mengingatkan kepada kisah Nabi Yusuf alaihi-salam dalam al-Qur’anul Karim di mana beliau walaupun selaku seorang Nabi Allah, tetap memanjatkan doa kepada Allah Azza waJalla agar terpelihara dari godaan-godaan serta fitnah wanita yang dihadapi di istana tempat kerjanya ketika itu. (Lihat surah Yusuf 12, terutamanya pada ayat 32 dan 33). Sesiapa yang berusaha untuk menjauhkan onani atas dasar taqwa dan iman kepada Allah Subhanahu waTa’ala, nescaya Allah akan mencukupinya. Insya-Allah hidayahNya akan membimbing seseorang itu menjauhi perbuatan onani dan pada waktu yang sama akan digantiNya dengan anugerah kelazatan jiwa dan kepuasan batin yang tidak mungkin tercakup penggambarannya melalui tulisan ini.

Kesimpulan

Onani pada dasarnya adalah perbuatan yang haram di sisi Islam lagi bertentangan dengan nilai-nilai kesyumulan ajarannya.
Sesetengah ahli fiqh membolehkan onani jikalau seseorang itu berkeyakinan bahawa ia akan dapat menghalang dirinya daripada terjerumus dalam kesalahan agama yang lebih besar. Kebolehan ini bukanlah sebagai menghalalkan onani.
[1]               Pendapat Imam as-Shafie dinyatakan dalam Reliance of The Traveller, w37 oleh Nuh Ha Min Keller manakala pendapat Imam Malik dinyatakan dalam Halal and Haram in Islam, pg 170 oleh Prof. Dr. Yusuf Qardhawi. Walaubagaimanapun bandingkan juga dengan pendapat Imam Ibnu Hazm dalam kitabnya al-Muhalla dan Imam Ibnu Taimiyah dalam kitabnya Majmu al-Fatawa.

[2]               Maksud riwayat yang disandarkan kepada Nabi sallallahu-alaihi-wasallam, dikemukakan oleh Imam adz-Dzahabi dalam al-Ka’bar, ms 59 tanpa mengemukakan status kekuatannya atau sumber periwayatannya.

[3]               Shah Waliallah Dahlawi – Hujjat Allah al-Baligha, 2/122.

[4]               Prof. Dr. Afzalur Rahman – Ensiklopedia Sirah, 5/25-26 dengan merujukan kepada beberapa kajian ahli-ahli perubatan.

[5]               Prof. Dr. Hamka – Membahas Soal-Soal Agama dan Ensiklopidi Hukum Islam, 4/1149.

[6]               Shaikh Ali al-Tantawi – al-Fatawa, ms 176I ; Prof. Dr. Yusuf Qardhawi – Halal and Haram in Islam, pg 171 ; Ensiklopidi Hukum Islam, 4/1148-1149.

Konsert penghargaan untuk Tan Sri SM Salim

Selepas tiga kali ditangguhkan, Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) memilih 12 Mac ini sebagai tarikh konsert penghargaan buat Tan Sri SM Salim, yang dijadualkan berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Pengerusi YA1M, Datuk DJ Dave, berkata pihaknya berjaya mengumpul 15 penyanyi lama dan baharu yang pernah berpadu suara dengan tokoh seni itu untuk merealisasikan Konsert Penghargaan Legenda Hidup – Tan Sri SM Salim. Katanya, keterujaan SM Salim menanti persembahan mega yang dirancang sejak tahun lalu itu turut merangsang semangat YA1M untuk tidak melengahkan lagi misi berkenaan. “Sejak siri pertemuan dengan Tan Sri (SM Salim) awal tahun lalu, kita sudah merangka perjalanan konsert yang diadakan khusus sebagai menghargai sumbangannya pada industri selama enam dekad. “Biarpun ada penyanyi yang pernah berduet dengannya tidak dapat memberikan komitmen, kami tetap merealisasikan konsert ini sebagai tanda penghormatan daripada YA1M. “Mungkin di sebalik kesulitan ada hikmah yang tersembunyi, sekali gus menyuntik semangat seluruh pasukan untuk menjadikannya sebagai realiti,” katanya ketika penyampaian sumbangan Tahun Baru Cina kepada 20 artis veteran. Kata DJ Dave, antara penyanyi yang bakal beraksi pada malam itu ialah Datuk M Nasir ,yang turut bertindak sebagai Pengarah Muzik, selain Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Noraniza Idris, Syafinaz dan Haziq. Setiap penyanyi akan mengalunkan lagu yang pernah disampaikan bersama SM Salim dengan diiringi Orkestra DBKL pada konsert kira-kira dua jam itu. Individu atau syarikat dan badan korporat yang ingin mendapatkan tempat duduk di dalam dewan berkapasiti 800 penonton juga boleh beramal menerusi sumbangan ke dana YA1M. Dua tahun lalu, YA1M menganjurkan Konsert Satu Suara Satu Matlamat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), yang bermatlamat membantu anak seni veteran, uzur dan sakit.

Maya Karin gadai prinsip kerana drama TV?

Dilihat eksklusif apabila hanya memilih untuk beraksi di layar perak, Maya Karin masih meneruskan survival seninya selepas 15 tahun bergelumang dalam industri hiburan. Maya mengakui, tidak berdepan masalah jika tawaran baharu tidak lagi berpihak kepadanya kerana pada masa sama, turut merencana masa depan dalam bidang perniagaan dan hartanah. Muncul dalam dua filem iaitu Nota dan Jwanita pada tahun lalu, Maya mengakui, tawaran berlakon sudah jarang diterima, namun situasi itu tidak pernah membuatnya gusar. Ini kerana pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman itu banyak menolak tawaran berikutan semakin selektif dengan watak dan skrip. Bagaimanapun, kemarau penantian pelakon yang menjulang nama menerusi filem seperti Pontianak Harum Sundal Malam, Waris Jari Hantu dan Anak Halal itu bakal berakhir apabila Maya berkemungkinan besar akan beraksi dalam produksi drama televisyen. Ia menimbulkan persepsi apakah Maya sanggup menggadai nilai eksklusifnya apabila menerima tawaran membintangi produksi televisyen? Sebelum ini, Maya pernah muncul di kaca televisyen, namun sebagai pengacara mengendalikan program seperti Wavelength, Ratu Sehari, Channel [V] dan Beauty Secret From The East. “Dari dulu, saya memang tidak akan menerima sebarang projek filem semata-mata kerana duit. “Saya lebih rela menolak daripada berlakon separuh hati jika skrip yang diterima kurang memberangsangkan. Tidak dinafikan, saya mendapat tawaran untuk membintangi sebuah produksi televisyen. “Ia adalah telefilem istimewa yang diadaptasi daripada filem yang pernah saya bintangi iaitu Cun. Disebabkan saya pernah terbabit dalam filem itu, bukan masalah untuk saya beraksi dalam telefilem itu. Lagipun, projek itu khusus untuk tayangan istimewa. “Saya tidak keberatan mencuba kerana penerbitannya juga eksklusif apabila hanya disiarkan sekali dan bukan seperti drama rantaian yang tempoh tayangan lebih panjang,’ katanya. Turut gembira apabila dimaklumkan Jwanita bakal disambung, Maya mengakui terkesan apabila peminat lebih mengingati penampilannya dalam filem seram berbanding genre lain yang pernah dicubanya. Perkara itu pernah dibangkitkan peminat menerusi laman Twitter yang mempersoalkan kecenderungannya beraksi dalam filem seram. “Ternyata, lakonan saya dalam filem seram atau hantu lebih berbekas di hati segelintir peminat. Saya tidak nafikan filem seperti Pontianak Harum Sundal Malam dan terbaharu, Jwanita, mengukuhkan tanggapan mereka. Setiap kali pertanyaan itu diajukan, saya akan termangu dan termenung jauh. “Saya pernah bangkitkan hal yang sama kepada pembantu peribadi. Baginya, ia satu penghargaan kerana saya mampu menghidupkan karakter itu dengan berkesan hingga peminat sentiasa teringat mengenainya. Cuma ada ketika, saya tertanya-tanya kerana banyak filem lain lakonan saya yang ditayangkan di kaca televisyen dan pawagam,” katanya yang berkolaborasi dengan Juzzthin menerusi lagu, Serik Dengan Cinta.