Jae Hyun, Hye Sun pilih 21 Mei

SETELAH disahkan bercinta, pasangan Ahn Jae Hyun dan Goo Hye Sun tidak ambil masa yang lama membuat keputusan untuk mengakhiri hubungan mereka ke jinjang pelamin.

Menerusi agensi masing-masing, kedua-duanya telah membuat pengumuman akan mengadakan majlis perkahwinan pada 21 Mei ini.

“Selepas setahun bercinta, banyak yang kami belajar mengenai perhubungan dan kami mahu saling menghargai satu sama lain.

“Untuk majlis ini, hanya keluarga dan teman rapat yang akan hadir pada Mei akan datang,” menerusi kenyataan yang dikeluarkan agensi di Allkpop.

Penantian Hathaway, Adam berakhir

PENANTIAN pasangan Anne Hathaway dan Adam Shulman berakhir apabila pelakon The Devil Wears Prada itu selamat melahirkan putera sulung mereka akhir Mac lalu dan pengumuman mengenai khabar gembira itu, baru-baru ini.

Tidak hanya mendedahkan mengenai kelahiran itu, pasangan romantis ini juga berkongsi nama anak pertama mereka iaitu Jonathan Rosebanks Shulman.

Menurut sumber, pasangan itu kelihatan bahagia apabila keinginan mereka untuk bergelar ibu bapa akhirnya termakbul.

“Bayi itu disambut dengan meriah oleh ahli keluarga terdekat. Hathaway dan Adam begitu bahagia dengan kehadiran bayi pertama mereka itu,” katanya.

Biarpun pengumuman dilakukan, namun sehingga hari ini pasangan itu masih belum berkongsi foto wajah bayi kesayangan mereka.

Cerita bahagia Fedi Nuril

SELEPAS lebih kurang dua bulan mendirikan rumah tangga, bintang filem Ayat Ayat Cinta, Fedi Nuril akui bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang handal memasak.

Ternyata, bercinta selepas bernikah memberikan momen indah buat Fedi dan isterinya Vanny Widyasasti untuk lebih saling mengenali.

“Saya adalah lelaki yang seharusnya bersyukur kerana dikurniakan isteri yang serba boleh sehinggakan saya sendiri merasa tidak berguna.

“Semua persiapan di rumah diuruskan isteri dan Alhamdulillah, saya bahagia bersamanya.

“Lebih saya terharu, dia juga hebat dalam memasak. Walaupun sebelum bernikah kami tidak mengenali, tapi sekarang saya sudah rasai kebahagiaan bercinta selepas bernikah,” katanya.

Mahkamah sabitkan isteri Ezany nusyuz

MAHKAMAH Rendah Syariah Petaling membenarkan  permohonan nusyuz (derhaka) yang difailkan pelakon, Ezany Nizariff terhadap isterinya, Lizda Nuryanti.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie, Mohd Azlan Mohd Azhar sebentar tadi.

Dalam keputusannya, beliau berkata, mahkamah mensabitkan nusyuz terhadap defendan Lizda Nuryanti mulai 17 Julai 2014.

“Mahkamah juga mensabitkan defendan mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Oleh yang demikian, defendan tidak layak mendapat nafkah bermula tarikh sabitan ini ( hari ini) sehingga kembali taat,” katanya.

Ezany, 43, atau nama sebenarnya Mohd [email protected] Mohd Zohri Mohd Nizariff memfailkan permohonan itu para 22 Julai 2014 di sini.

Permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 60(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 setelah Lizda Nuryanti, 34, keluar dari rumah kelamin mereka di Seri Kembangan pada 17 Julai lalu.

Pasangan itu bernikah pada 1 Julai 2007 dikurniakan dua anak lelaki, Rayyan Harraz, 5 dan Hayden Harraz, 3, tahun.

Fareeda nafi bayar pelanggan bersesak

Fareeda Global Resources Sdn Bhd (Fareeda) menyangkal dakwaan membayar sekumpulan lelaki untuk bersesak-sesak ketika pelancaran koleksi baharu edisi terhad mereka, minggu lalu, sebagai strategi pemasaran sebaliknya mereka diupah ejen bagi mendapatkan lebih banyak nombor giliran.

Pelakon yang juga Pengurus Pemasarannya, Fizo Omar, berkata Fareeda tiada kuasa untuk menghalang ejen yang menjual semula tudung mereka di pasaran mengupah orang lain bagi merebut lebih banyak helaian hingga jumlah kehadiran pembeli pada hari pelancaran yang dijangka 1,000 orang meningkat sekali ganda.

“Fareeda tidak pernah membayar sesiapa untuk menjadikan acara pelancaran koleksi baharu kami luar biasa. Pembeli dan ejen kami mengupah orang supaya mereka boleh mendapatkan jumlah tudung dipesan pelanggan selain adanya individu persendirian yang beratur untuk mendapatkan nombor dan kemudian menjualnya semula.

“Dari dulu juga Fareeda mengamalkan konsep berkongsi rezeki. Sesiapa pun boleh menjualnya semula di pasaran mengikut harga masing-masing andai ada permintaan. Kami memuat naik video pun sekadar mahu berkongsi kejayaan perniagaan Fareeda dengan peminat dan pelanggan, bukan untuk riak” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar berkata demikian ketika mengulas insiden kononnya berlaku ‘rusuhan’ yang sengaja dirancang syarikat berkenaan bagi menampakkan penjualan koleksi Sweetlove mendapat sambutan hangat hingga orang ramai sanggup bersesak.

Akuinya, syarikatnya sudah memperkenalkan aneka sistem termasuk tempahan online, pintu ke pintu dan pemberian nombor yang dibuka pada hari pelancaran selain mengasingkan barisan pelanggan wanita dan lelaki sebelum giliran nombor dibuka, tetapi insiden tolak-menolak tetap berlaku berikutan kehadiran melebihi jangkaan.

“Kalau ikutkan kami mendapat khidmat Rela dan pasukan keselamatan sendiri untuk memastikan keadaan terkawal, namun apa yang berlaku di luar jangkaan. Pada masa akan datang kami merancang mengadakan pelancaran apa-apa koleksi baharu di lokasi lebih besar seperti stadium,” katanya.

Menjawab mengenai tindakan admin laman Facebook Fareeda Nyata Jelita, Fizo tidak menafikan komen pengendalinya agak kasar, namun ia dikatakan tidak dapat dielak berikutan ulasan dilemparkan sesetengah pihak juga keterlaluan.

Pada masa sama, beliau meluahkan rasa kesal apabila pelanggan mereka disamakan dengan haiwan berikutan pandangan hanya menerusi klip video tanpa berada di tempat kejadian, selain terkilan terhadap orang yang membuat serangan peribadi termasuk mengheret nama ibu bapa mereka.

Awie terima ribuan mesej angkara berita palsu kematiannya

Gara-gara penyebaran berita palsu kononnya beliau meninggal dunia akibat kemalangan pada Sabtu lalu di Phuket, Thailand, vokalis Wings, Awie, menerima puluhan panggilan termasuk daripada keluarga dan rakan. Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 48, berkata beliau turut menerima lebih daripada seribu mesej bertanyakan keadaannya, termasuk menerusi aplikasi WhatsApp. “Telefon saya berdering tanpa henti sehingga ke hari ini. Ramai juga menghantar mesej bertanyakan keadaan membuatkan saya pula yang tidak keruan. “Kasihan anak-anak saya terutamanya, mereka berasa amat risau dengan berita itu. Begitu juga dengan keluarga dan rakan-rakan lain. Maklumlah, saya sedang menjalani penggambaran filem ‘Bikers Kental 2’ di Phuket. Agak susah sedikit mereka mahu berhubung dengan saya,” katanya kepada BH Online. Berita viral berkenaan menjadi bualan ramai netizen, sehingga kebenarannya menjadi tanda-tanya memandangkan ia bukan kali pertama Awie difitnah sedemikian rupa. Sebelum ini, dunia hiburan turut kecoh apabila ada sesetengah pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi laporan mengenai seorang lelaki yang turut dikenali sebagai ‘Awie Lahad Datu’ meninggal dunia akibat kemalangan pada November 2013. Difahamkan sehingga kini, ia menjadi berita palsu kematian Awie yang ketujuh. Sementara itu, Awie berkata sudah tiba masanya untuk beliau bertindak serius mengenai perkara itu agar ia tidak berulang. “Saya sudah memaklumkan kepada peguam saya dan beliau sedang meneliti perkara itu. Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan berita itu agar ia tidak berlaku lagi. “Sesetengah pihak yang sengaja mereka cerita untuk mendapat perhatian, sekali gus dapat menjana wang daripada kerja yang tidak bertanggungjawab itu. “Apa yang saya buat ini bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga selebriti lain yang berdepan nasib sama,” tegasnya yang berlakon bersama Zizan Razak dalam filem berkenaan.

Rahmad terkejut ahli kumpulan tak benar guna nama ‘Mega’

Penyanyi, Rahmad, menyifatkan permintaan supaya beliau menggugurkan perkataan Mega daripada nama pentasnya oleh anggota kumpulan terbabit sebagai strategi promosi murahan. Rahmad atau nama sebenarnya, Rahmad Tohak, 44, berkata pemain bes kumpulan itu, Lomaq, tidak sepatut membuat kenyataan sedemikian berikutan perkataan ‘Mega’ di belakang namanya digunakan bagi mengenalpasti identiti dirinya. “Biasanya orang akan panggil nama saya Rahmad. Tetapi jika orang tanya, Rahmad mana? Sudah tentu pihak tertentu akan berkata ‘Rahmad Mega’. “Saya tidak faham kenapa isu seperti ini perlu dibangkitkan? Bagi saya, ia satu publisiti murahan dan mereka (kumpulan Mega) tidak patut pun membangkitkan isu ini. “Mungkin ada pihak ketiga yang sengaja ‘cucuk’ sehingga mereka membuat kenyataan seperti itu,” katanya kepada BH Online. Menerusi laporan akhbar BH hari ini, pemain bes kumpulan terbabit, Lomaq berkata sudah tiba masanya Rahmad menggugurkan perkataan Mega daripada nama pentasnya berikutan hubungan vokalis itu bersama kumpulan terbabit sudah berakhir selepas mereka berpecah. Beliau juga mahu Rahmad mencari nama lain bagi mengelakkan kekeliruan peminat memandangkan Mega sudah kembali membuat kemunculan semula dengan menampilkan vokalis baharu, Reyno. Dalam pada itu, kata Rahmad, kumpulan Mega sebenarnya tidak pernah pun dibubarkan. Cuma, kontrak mereka bersama syarikat rakaman Jojo’s Production Sdn Bhd tamat pada tahun 1996. Kemudian pada 2000, syarikat terbabit mewujudkan Mega baharu, tetapi masih menggunakan dirinya sebagai vokalis. Tidak lama kemudian, Rahmad memutuskan untuk tidak lagi bergerak bersama kumpulan itu. Bagaimanapun, katanya beliau pernah menjemput barisan asal kumpulan Mega untuk sebuah persembahan pentas, beberapa tahun lalu. Sementara itu, Rahmad berkata, anggota Mega sepatutnya melihat isu terbabit dari sudut positif kerana nama Mega yang digunakannya secara tidak langsung mampu menarik perhatian masyarakat untuk mendengar lagu baharu kumpulan terbabit, Pulau. “Isu nama Mega sebenarnya boleh dipandang dari sudut positif dan negatif. Dari sisi positif, ia memberi faedah kepada mereka yang mahu membuat kemunculan semula. “Dari dulu sampai sekarang, saya membawa nama Mega dalam industri ini. Tetapi jika ia dipandang dari sudut negatif, mungkin mereka rasa tercabar. Lebih-lebih lagi mereka mempunyai vokalis baharu dan mahu tumpuan diberikan kepada kumpulan Mega, bukannya Rahmad. Apa pun, saya tidak pasti apa yang mereka fikirkan. “Mengenali anggota-anggota Mega, mereka sangat profesional dan tidak mudah terasa dalam segala hal,” ujarnya. Selain Lomaq dan Reyno, Mega turut dianggotai oleh Sam (gitar), Adie (gitar) dan Joey (dram).

5 selebriti meriahkan tayangan amal Redha

Lima bintang Redha bakal memeriahkan acara tayangan amal filem berkenaan di Suria KLCC, di sini, 23 April ini. Majlis yang akan bermula jam 10.30 pagi anjuran Persatuan Bekas Pelajar St John’s Institution (SJI80s) itu bakal menyaksikan kemunculan Nadiya Nissa, June Lojong, Susan Lankester, Susan Menon dan Izzy Reef. Menurut kenyataan dikeluarkan di sini, selain memeriahkan acara tayangan, artis terbabit juga akan beramah mesra bersama peminat yang hadir menonton naskhah arahan Tunku Mona Riza itu. “Selain berhibur bersama filem Redha, penonton berpeluang untuk beramah mesra bersama barisan pelakon yang hadir. Malah, jamuan tengah hari juga disediakan. Acara ini secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim antara satu sama lain,” kata kenyataan terbabit. Tayangan amal berkenaan diadakan dengan matlamat mengumpul dana untuk anak-anak istimewa Program Pendidikan Khas Integrasi SK Bandar Tasik Selatan dan Program Pendidikan Khas Integrasi SMK Seri Tasik. Sebahagian daripada dana juga akan disalurkan kepada balu Muhammad Hafeez Hendroff Abdullah, iaitu ahli SJI80’s yang meninggal, baru-baru ini. Sebelum ini, SJI80s turut menganjurkan Malam Amal Ola Bola menerusi cawangannya, Eagles FC, Februari lalu, yang turut dihadiri dua bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Santokh Singh dan Bakri Ibni. Filem Redha terbitan Current Pictures yang diadaptasikan daripada kisah benar ini bukan sekadar penceritaan dan perjuangan sebuah keluarga dalam membesarkan seorang anak autistik, ia turut memaparkan konflik jiwa dan erti sebuah kehidupan bagi mereka yang berjuang membesarkan anak istimewa di tengah-tengah masyarakat yang kurang memahami. Bagi tempahan tiket atau sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Syed Abu Bakar di talian 012-385 4090 atau Mohd Razif Yusof (017-3562239).

Kenapa Ayu Damit kena jadi ‘gedik’?

Penyanyi, Ayu Damit, mengaku dirinya perlu menjadi ‘gedik’ ketika merakamkan sebuah lagu tema produk kesihatan berjudul Pasti Tak Cari Lain. Katanya, lagu tema untuk produk keluaran Jamu Mak Dara (JMD) itu dirakam olehnya pada bulan lalu, beberapa minggu sebelum beliau dan suami mengerjakan umrah di Tanah Suci pada 28 Mac lalu. Dirakam di sebuah studio di Kota Damansara, lagu yang mengetengahkan konsep Arab dan dangdut itu dicipta oleh Daqmie dan liriknya hasil tulisan Baiduri. “Tawaran menyanyikan lagu tema ini berlaku secara spontan. Abang Abib (Syed Muhammad Gaddafi Syed Ali) selaku Pengarah Urusan JMD yang menawarkan peluang terbabit. “Tiada alasan untuk saya menolak peluang ini kerana lagu itu sendiri saya rasa cukup unik. Ia mempunyai sentuhan dangdut dan Arab, selain elemen tradisional. Rentaknya memang lari daripada lagu yang pernah saya rakam sebelum ini. “Untuk disesuaikan dengan emosi lagu berkenaan, saya kena suntik sedikit elemen ‘gedik’ dan senyum ketika menyanyikannya,” kata Ayu yang mengambil masa tiga jam untuk merakamkannya. Pada masa sama, Ayu yang juga juara program realiti One In A Million musim kedua turut mempromosikan single terbaharunya, Dari Hati. Penyanyi yang bernaung di bawah Ukhwah Enigma Management memberitahu, sekali pun sibuk mengusahakan tanaman cili secara fertigasi, dunia nyanyian tidak pernah ditinggalkan. “Selalunya, saya beri tumpuan kepada nyanyian pada Jumaat hingga Ahad. Selebihnya saya sibuk dengan urusan kerja lain. Saya juga kini menguruskan jemaah mengerjakan umrah,” kata isteri kepada Syed Fauzi Syed Baharuddin ini. Sementara itu, Abib yang ditemui ketika mengadakan malam media bersempena 10 tahun JMD di Mont Kiara, baru-baru ini memberitahu, pemilihan Ayu dilihat tepat kerana beliau mempunyai vokal unik. “Walaupun Ayu memiliki vokal tebal dengan lenggok Sabah, namun jika diamati dan didengar betul-betul, lagu ini dibawakan olehnya dengan merdu sekali. Suara serak-serak basahnya juga menyuntik kelainan. Ia juga menjadi lagu tema pertama JMD yang dirakamkan,” kata beliau.

Cukup-cukuplah sebar video tu…

Keluarga lelaki yang videonya dirakam memaut cermin hadapan sebuah kereta yang masih bergerak menjadi viral di media sosial meminta orang ramai berhenti dari menyebarkannya.

Seorang ahli keluarga yang menghubungi Sinar Harian merayu kerjasama orang ramai bagi menghentikan fitnah yang tersebar.

“Lelaki itu dan isterinya hidup bahagia sekarang, insiden itu hanya satu perselisihan faham kecil dan sudah selesai.

“Jadi tolong hentikan fitnah ini kerana perkara ini menyebabkan keluarga mendapat malu,” katanya.

Menurut individu itu lagi, dia juga tahu siapa yang bertindak merakam dan menyebarkan video berkenaan kepada umum.

“Saya mahu orang yang rakam dan sebar video berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada keluarga kami atau dia akan berdepan tindakan undang-undang.

“Sekali kita buka aib orang, beribu kali tuhan akan buka aib kita, balasan ALLAH amat pasti…fitnah lagi bahaya dari membunuh…,” katanya.

Menurutnya lagi, dia juga mempersoalkan apakah individu yang merakam dan menyebarkan video berkenaan tidak berasa malu dengan perbuatannya itu.

Pihaknya yakin video itu sengaja disebar untuk memalukan keluarga lelaki itu.

Video berkenaan berkenaan telah dimuat naik ke laman Facebook semalam dan ditonton hampir lebih 1 juta pelayar.