Into Taqwa lembaran baharu Mizz Nina

SELEPAS mengendalikan beberapa program berunsur islamik, kini Mizz Nina buat kali pertamanya bakal tampil sebagai hos menerusi sebuah lagi rancangan baharu berjudul Into Taqwa With Mizz Nina yang bakal bersiaran setiap Ahad, jam 2.00 petang bermula 20 Mac ini menerusi siaran TV Alhijrah.

Apa yang menariknya, ia adalah rancangan temu bual pertama yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris.

Berkongsi pengalaman kali pertama bergelar hos, pemilik nama sebenar Shazrina Azman, 36, ini memberitahu idea ini adalah cetusan daripada pihak stesen TV Alhijrah yang bekerjasama dengan organisasi Into Taqwa.

“Alhamdulillah, pihak stesen televisyen memberi saya peluang untuk mengemudinya sebagai hos. Selalunya saya yang akan di temu bual, tapi kali ini ia berbeza.

“Program ini adalah cetusan idea daripada TV Alhijrah sendiri dan ia melibatkan organisasi Into Taqwa di mana saya sebagai dutanya.

“Untuk pengetahuan semua, Into Taqwa sebenarnya telah aktif sejak beberapa tahun lalu dengan aktiviti dakwah di seluruh Malaysia terutamanya di Sabah,” katanya ketika ditemui pada sidang media Into Taqwa With Mizz Nina di Talent Lounge, Damansara Perdana, kelmarin.

Memandangkan inilah kali bergelar hos, Nina akui masih banyak perkara yang perlu diperbaikinya.

“Sebagai seorang yang baharu dalam bidang pengacaraan, cabaran utama bila saya harus mendengar arahan pengarah sambil menemu bual panel jemputan.

“Jadi dalam situasi itu, saya harus sentiasa peka dengan apa yang berlaku sepanjang rancangan tersebut dirakamkan.

“Selain itu, sepanjang menjalani proses rakaman, saya tidak mahu ia juga mengganggu tuntutan saya untuk menunaikan solat tepat pada waktunya kerana itulah keutamaan saya. Insya-Allah, saya akan lebih menyesuaikan diri,” ujarnya yang sedang merancang untuk mengeluarkan sebuah album puisi yang dijangka dilancarkan tahun ini.

Selain mengetengahkan Nina sebagai hos, Into Taqwa With Mizz Nina turut menampilkan barisan tokoh Islamiah seperti Sheikh Daood Butt, Muslim Belal, Sheikh Issam Rajab, Haleh Banani dan Dr. Mona Yati Md Kassim dalam mengupas isu-isu yang diketengahkan.

‘Berapa lama nak tegakkan benang basah?’

Masyarakat di negara ini perlu terus setia kepada raja dan negara dan bukannya setia kepada pemimpin.

Aktivis sosial, Datuk S. Murugesan berkata, ia selaras dengan salah satu prisip yang terdapat dalam Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

“Berapa lama kita mahu tegakkan benang yang  basah? Tolonglah ingat prinsip rukun negara kita. Kesetiaan kepada raja dan negara, bukan kesetiaan kepada pemimpin. Lebih-lebih lagi setia kepada pemimpin yang bermasalah.

“Kesetiaan kita kepada pemimpin juga terhad. Kita hanya setia kepada pemimpin yang setia kepada negara,” katanya ketika memberikan ucapan di Kongres Rakyat 2016 di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung MIC berkata, rakyat juga boleh dianggap derhaka jika memilih untuk setia kepada pemimpin yang tidak setia kepada negara.

“Apabila seorang pemimpin tidak setia kepada negara, tidak perlu untuk kita setia kepada pemimpin tersebut.

“Kalau kita masih menyokong pemimpin tanpa mengambil kira kepentingan negara dan sokongan itu juga dilakukan atas kapasiti kepentingan politik, maka kita juga dikira derhaka kepada negara,” katanya lagi.

Muhyiddin sedia dipecat kerana hadir Kongres Rakyat

Risiko pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ahli Umno bukan penghalang untuk beliau menghadiri Kongres Rakyat 2016 walaupun sedar ia bertentangan Perlembagaan parti.

Muhyiddin mendakwa, kehadiran beliau ke perhimpunan itu adalah hak beliau sebagai warganegara malah dijamin oleh Perlembagaan, sekalipun bekerjasama dengan pembangkang untuk menurunkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Itu hak saya sebagai warganegara untuk berhimpun dan mengambil bahagian. Mengikut Perlembagaan, tiada apa yang boleh menghalang saya.

“Saya sudah dipecat daripada kerajaan, saya digantung oleh parti (Umno). Apa yang lebih penting bukan kedudukan saya (Timbalan Presiden Umno), tapi untuk menyelamatkan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas Kongres Rakyat 2016 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebuah sekretariat khas akan dibentuk bagi menyelaraskan segala usaha untuk menukar kepimpinan perdana menteri daripada pelbagai pihak walaupun berbeza ideologi politik.

“Selagi mana ia menyokong pendirian kita supaya Najib letak jawatan, atau menyingkirkan Najib, kita tiada masalah dengan mereka.

“Sama ada mereka bersama dengan kita atau tidak, asalkan objektifnya sama,” katanya pada sidang media sama.

Dr Vida: Saya janji tak buat lagi

“SAYA tak tahu peraturan, sekarang dah tahu lepas ni tak buat lagi,” itu janji Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Seri Hasmiza Othman selepas dikritik Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam kerana tidak mematuhi peraturan ketika berada di kawasan teknikal bagi menyaksikan perlawanan membabitkan Kelantan.

Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida berkata, selepas teguran itu, beliau berjanji tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Dr Vida memaklumkan beliau tidak tahu mengenai peraturan berkenaan.

Kelmarin, Kevin menggariskan beberapa peraturan yang wajar dipatuhi ketika berada di bangku simpanan, termasuk memakai pakaian berbeza daripada pemain beraksi di padang.

Menurut Kevin, Dr Vida perlu mematuhi peraturan di kawasan teknikal seperti mengelak daripada menggunakan telefon bimbit, pakaian tidak boleh sama dengan yang dipakai pemain di padang.

Kata Kevin lagi, Dr Vida tidak boleh meninggalkan kawasan teknikal untuk bertemu penyokong dan perkara seumpama itu adalah peraturan biasa dalam bola sepak yang perlu dipatuhi.

Malah, Dr Vida juga dikatakan berselfie bersama pemain di kawasan teknikal.

Kevin menegaskan, Dr Vida mungkin tidak dibenarkan memasuki kawasan teknikal jika terus melanggar peraturan.

Menurutnya, Dr Vida dibenarkan memasuki kawasan teknikal menerusi pendaftaran oleh Kafa sebagai pegawai pasukan dan FMLLP selaku entiti swasta yang menguruskan Liga Malaysia (Liga- M) sejak awal musim ini, akur berdasarkan peraturan itu.

‘Memang Tun M pernah penjarakan kami, tetapi…’

“Memang Tun (bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad) pernah penjarakan kami, tetapi sekarang itu semua sejarah,” demikian ujar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, meskipun pernah dipukul, ditahan dan dipenjarakan di bawah bidang kuasa Mahathir, beliau sanggup mengetepikan semua detik hitam itu demi perjuangannya untuk rakyat.

Kata Mohamed Azmin lagi, berdirinya beliau di sisi Mahathir pada Kongres Rakyat 2016 hari ini sebagai bukti yang beliau sudah melupakan peristiwa lalu.

“Saya pernah digari, ditahan di penjara dan dipukul oleh enam orang anggota polis dan pada ketika itu, Tun Mahathir memegang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri.

“Itulah sejarah. Sejarah ajar saya untuk menghayati makna perjuangan rakyat. Kami mahu jadi orang yang lebih baik bukan orang yang lebih teruk daripada sebelumnya,” katanya ketika memberikan ucapan di Kongres Rakyat 2016 di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, Presiden Amanah, Mohamad Sabu turut berkongsi pengalaman ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di bawah pemerintahan Mahathir.

Menurut Mohamad, meskipun pernah ditahan di bawah ISA, namun hari ini beliau sanggup mengetepikan dendam silam demi selamatkan negara dan boleh sepentas dengan bekas perdana menteri itu.

“Saya gementar berceramah di depan bekas pemimpin yang pernah memerintah negara 22 tahun.

“Dua kali saya ditahan ISA. Seperti kata-kata yang lain, kita bukan di sini bercakap untuk dendam,” katanya dalam kongres yang sama.

Peserta jerit suruh Mukhriz buka baju!

Riuh rendah Kongres Rakyat 2016 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini apabila peserta himpunan tertutup itu menjerit dan mendesak bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir membuka dan menukar baju merah yang dipakai pemimpin itu ketika memberi ucapan dalam program itu.

Mukhriz hari ini tampil berbaju merah Umno di pentas Kongres Rakyat 2016 ketika program sudah pun bermula.

Mukhriz ketika memberi ucapan mengaku sengaja mengenakan baju uniform berlambangkan Umno untuk ke Kongres Rakyat 2016.

“Buka, buka (baju), tukar (baju),” laung peserta kongres yang hadir pada himpunan tertutup di SACC hari ini.

Menurutnya, bukan mudah untuk meninggalkan parti yang selama ini menjadi asas perjuangan dalam membela nasib rakyat khusus di negeri Jelapang Padi itu selama ini.

Bagaimanapun jelasnya, berdirinya beliau di sini kerana tidak mahu lagi amalan rasuah berlaku dalam negara.

“Saya tahu bukan saya seorang sahaja ahli Umno dalam ini (dewan), saya percaya ada ahli Umno berada dalam ini walaupun tidak pakai baju Umno seperti saya ini,” kata Mukhriz ketika berucap pada himpunan hari ini.