Hadiri Acara PM, Aamir Khan & Amitabh Bachchan Nyaris Rentung

Bintang Bollywood, Aamir Khan dan Amitabh Bachchan nyaris menjadi korban kebakaran yang berlaku di sebuah pentas acara Maharashtra Night yang berlangsung di Mumbai, India, pada Ahad lalu.

Acara yang dianjurkan oleh kerajaan India dan dihadiri oleh Perdana Menterinya, Narendra Modi itu berakhir dengan bencana selepas api marak menjilat seluruh pentas berkenaan.

Memetik laporan NDTV, kebakaran bermula ketika Amitabbh turun dari pentas. Dan disebabkan angin bertiup, api terus menjadi marak.

Manakala, Aamir Khan sepatutnya dijadualkan menjadi salah seorang yang akan membuat persembahan di acara tersebut. Namun sementara menunggu giliran, ia memilih untuk duduk di dalam van miliknya.

Sebak saja dimaklumkan mengenai kejadian tersebut, Amir segera keluar dari kenderaannya dan menyaksikan api terus merebak ke seluruh pentas berkenaan.

“Saya berada dalam keadaan baik cuma saya sedih. Syukurlah semua para tetamu selamat dan keadaan tenang.

“Pihak polis dan bomba melakukan tugas mereka dengan baik,” ujar Aamir.

Acara itu dihadiri oleh 8000 tamu undangan terdiri daripada VVIP, ahli politik, kakitangan kerajaan India, para selebriti dan khalayak ramai.

Acara tersebut juga menggunakan khidmat seramai 4000 orang kru yang bertugas di belakang pentas.

Sengaja Keluar Rumah Tak Pakai Seluar

Tampil seksi dan terbuka memang sudah menjadi perkara yang biasa bagi model dan personaliti TV, Kendall Jenner.

Namun apa yang lebih mencuri perhatian, apabila sekumpulan paparazzi sempat merakamkan gelagat Jenner yang dikatakan sengaja tidak memakai seluar ketika keluar dari rumahnya.

Namun ternyata semua itu hanyalah salah satu babak dalam penggambaran kempen terbaharu, Estee Lauder.

Video tersebut menunjukkan Jenner baru terjaga daripada tidur dan menyedari dia sebenarnya sudah lewat untuk menghadiri sebuah acara. Dia terus meluru keluar dengan hanya memakai baju dan seluar dalam.

Dalam rakaman video tersebut, menunjukkan gelagat bintang Keeping Up With The Kardashians ini benar-benar ‘lupa’ mengenakan seluar panjangnya.

Dia hanya mengenakan baju berwarna hitam yang dipadankan dengan blazer dan stiletto berwarna merah kemudian tergesa-gesa berlari keluar dan terkejut apabila melihat sekumpulan paparazzi di depan rumahnya.

Tidak malu sebaliknya Jenner dengan lagak penuh yakin dan tidak menghiraukan pembantu peribadinya yang cuba mengingatkannya untuk memakai seluar.

Janna Nick Tak Ambil Hati Dituduh Jalin Hubungan Sejenis

Baru-baru ini dirinya telah dikatakan menjalin hubungan sejenis gara-gara dia memotong pendek rambutnya untuk watak sebuah drama.

Bagaimanapun Janna Nick sekeras-kerasnya menyangkal dakwaan tersebut.

“Saya tidak perlu ambil serius kerana apa yang diperkatakan itu tidak benar.

“Orang bebas berkata apa saja, tetapi hanya saya yang mengetahui sejauh mana kebenarannya. Saya tidak ambil hati kerana gosip seperti itu lumrah dalam bidang seni.

“Tidak sangka pula ia mencetuskan isu lain hingga saya terpalit ini. Saya bersikap terbuka dalam bergaulan dan tidak pernah meletakkan syarat tertentu ketika berkawan. Berada dalam industri kreatif, saya bertemu dengan pelbagai jenis manusia,” jelasnya seperti yang dilaporkan BH Plus.

Tambah pelakon drama Kau Aku Kita ini, sebagai selebriti, dia akur dengan kontroversi yang mendatang dan tidak akan mudah melatah apabila dilanda sebarang khabar angin.

Michelle Yeoh Sekali Lagi Diiktiraf Kerajaan Perancis

Aktres bertaraf antarabangsa, Tan Sri Michelle Yeoh sekali lagi mengharumkan nama negara apabila beliau menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang terpilih untuk menerima anugerah Officier des Arts et des Lettres daripada kerajaan Perancis pada 12 Februari lalu.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Duta Perancis ke Malaysia, Christophe Penot di pejabat kedutaan negara itu di Kuala Lumpur.

Menurut Penot, Michelle dipilih oleh Kementerian Kebudayaan Perancis kerana bakat seni serta sumbangannya terhadap industri perfileman negara yang popular dengan Menara Eifel itu.

“Michelle pernah bekerja dengan beberapa pengarah dan pelakon Perancis. Secara tidak langsung telah mempromosikan jenama terbaik Perancis. Atas alasan itu, kerajaan Perancis menghargai kejayaannya sebagai pelakon,” katanya seperti yang dilaporkan Kosmo!

Menariknya, ini merupakan kali kedua beliau menerima anugerah daripada kerajaan Perancis.

Pada 2012, bekas Ratu Cantik Malaysia 1983 ini telah menerima anugerah tertinggi awam Perancis, Knight of the Legion of Honour daripada Duta Perancis ke Malaysia ketika itu, Alain du Boispean.

Dalam perkembangan lain, Michelle yang telah bertunang dengan bekas Ketua Pengarah Operasi Ferrari, Datuk Seri Jean Todt, 70, sejak tahun 2005 dikhabarkan bakal berkahwin tidak lama lagi.

Meskipun begitu sehingga ke hari ini tidak ada sebarang tarikh khusus yang diumumkan oleh beliau dan pasangannya.

“Saya agak lapang pada Mac depan,” ujarnya Michelle ringkas.

Zizan Nin Sahkan Sudah Bercerai

Pelakon dan pengacara Zizan Nin, 42, mengakui sudah bercerai dengan isterinya, Fazilah Hani Harun, 35, sejak sebulan lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Zizan berkata dia belum bersedia untuk komen lebih lanjut. Tambahan banyak hati yang perlu dijaganya.

“Berilah ruang untuk saya berdepan dengan semua ini. Saya bukan lari daripada media, cuma dalam kes ini saya tidak boleh komen lebih-lebih”

‘Saya tidak mahu memanjangkan lagi cerita. Perkara sudah jadi. Saya redha dengan ketentuan Allah SWT. Siapalah kita ingin melawan takdir,” jelasnya pelakon filem Tanda Putera ini.

Zizan Nin dan Fazilah yang juga merupakan seorang pembaca berita di sebuah stesen televisyen swasta mendirikan rumah tangga pada 20 Mac 2010.  Mereka tidak mempunyai cahaya mata sepanjang hidup bersama.

Tiada Kena Mengena Dengan LGBT – Aeril Zafrel

Baru-baru ini pelakon Aeril Zafrel menerima tohmahan dan kritikan daripada orang ramai ekoran poster bertajuk Crystal Soul yang dimuatnaik di Instagram miliknya.

Poster tersebut merupakan projek terbaharu yang juga filem kedua arahannya.

Gambar yang memaparkan aksi dua lelaki di sebalik cermin tanpa berpakaian itu telah menimbulkan pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan pengikut Aeril.

Bahkan kebanyakan mengkritik Aeril dan aktor, Nazim Othman kerana dikatakan berlakon di dalam filem homoseksual.

“Tidak dinafikan, saya memuat naik gambar poster berkenaan dan menurunkan ia selepas tiga jam.

“Saya berbuat sedemikian kerana ia adalah sebahagian dari kajian mengenai pandangan orang mengenai filem ini.

“Saya ingin lihat sama ada orang sedar dengan kapsyen gambar yang saya muat naik atau hanya membuat penilaian daripada gambar sahaja.

“Bagaimanapun saya tidak marah atau melatah dengan semua komen yang ditinggalkan kerana itu adalah pandangan mereka dan saya hormati apa yang mereka katakan,” jelasnya.

Aeril berkata, penggambaran filem tersebut belum pun dijalankan dan dia masih menunggu rombakan skrip oleh penulis skrip, AbbanNamus.

“Filem ini berkaitan ilusi optikal; di mana apa yang kita lihat tidak semestinya kita nampak.

“Ia tidak ada kena mengena langsung dengan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender),” katanya seperti yang laporkan Sinar Harian.

Fafau Tinggalkan Hot FM, Janji Tak Pergi Radio Lain

Pendegar setia radio Hot FM pagi ini dikejutkan dengan berita penyampai radio kesayangan mereka iaitu Fara Fauzana (Fafau) diumumkan bakal meninggalkan stesen tersebut hujung bulan ini.

Menerusi laman sosial Instagram, Fara memuat naik gambarnya beserta kapsyen mengesahkan perkara tersebut.

“Ini Fara. Dia nak BERHENTI dr dunia RADIO. Terima kasih untuk kenangan yg terindah. Sekian”, tulisnya.

Status tersebut mendapat banyak komen daripada pengikutnya yang meluahkan perasaan sedih dengan berita tersebut. Bagaimanapun rata-ratanya mendoakan agar selebriti kesayangan mereka ini terus berjaya malah ada yang mahukan Fara cepat-cepat mendirikan rumah tangga.

Sementara itu, Fara menafikan keputusan itu dibuat kerana beralih arah kepada radio lain.

Menurutnya lagi, sepanjang 10 tahun bersama Hot FM, dia mendapat kenangan yang cukup indah.

“Saya akan ke udara buat kali terakhir nanti 26 Februari ini. Terima kasih semua. Saya minta maaf. Tidak, saya tidak pergi radio lain,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Menjawab soalan rakan penyampainya, AG yang menyatakan kemungkinan Fara berhenti kerana mahu mendirikan rumah tangga, Fara berkata, “itu saya mahu anda terus doakan yang terbaik supaya ia menjadi kenyataan suatu hari nanti.”

Dalam pada itu, Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul berkata sukar bagi pihaknya untuk menerima keputusan Fara Fauzana, namun pihaknya akur.

Seelan juga sebelum itu mengumumkan, tiga lagi penyampai radio AG, Ikhwan dan Liza turut diumumkan bakal meninggalkan Hot FM untuk menyertai stesen baharu di bawah pengurusan Rangkaian Radio Media Prima.