Pelakon Hanif Safuan Buat Kerja Sampingan Sara Keluarga

Pelakon baharu Hanif Safuan berkata, keadaan ekonomi negara yang tidak menentu membuatkan dia terpaksa membuat beberapa kerja sampingan lain demi menyara keluarga.

Hanif atau nama sebenarnya Hanif Safuan Hassan, 27, bagaimanapun menyifatkan perkara itu menjadi kebiasaan untuk kebanyakan orang di negara ini dan berharap kerja-kerja yang dilakukan berbaloi.

“Selain menjadi pelakon, saya juga mempunyai perniagaan di bidang fotografi dan kerja-kerja di balik tabir.

“Memandangkan ekonomi tidak menentu, saya perlu bekerja keras untuk menampung keluarga. Apatah lagi isteri saya baru sebulan melahirkan anak sulung kami,” katanya kepada mStar Online.

Bagaimanapun tambah Ikon Lelaki Maskulin 2013/14 ini, dia tetap memberi fokus sepenuhnya di bidang lakonan memandangkan dia memilih kerjaya itu sebagai karier utamanya.

Sementara itu, Hanif berkata, bukan mudah untuk dia bergelar seorang pelakon yang menjadi perhatian ramai lebih-lebih lagi terpaksa bersaing dengan ramai pelakon baharu yang juga mempunyai bakat yang besar.

“Sekarang ini, pelakon tumbuh bak cendawan dan kebanyakan mereka adalah berbakat.

“Saya perlu bersaing secara sihat dengan mereka untuk berdiri kukuh dalam industri dan perkara itu bukannya mudah.

“Sebelum ini pernah nama saya disenaraikan untuk sebuah drama tetapi pihak televisyen pula tidak mahu. Walaupun ia dilihat sebagai perkara biasa, tetapi lain pula bagi saya.

“Hal itu buatkan saya berkobar-kobar untuk asah bakat menjadi pelakon yang lebih baik dan mudah diterima ramai. Bukan sahaja peminat, tetapi juga pihak penerbit dan stesen televisyen itu sendiri,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, lakonan Hanif dapat disaksikan menerusi filem Pelepas Saka yang ditayangkan bermula 4 Februari 2016.

Selain itu, Hanif juga bakal memulakan penggambaran filem Volkasvagen Kuning terbitan syarikat produksi Metrowelth.

Foto Rumah Mewah Song Hye Kyo Tersebar

FOTO rumah mewah milik aktres Song Hye Kyo tersebar di internet baru-baru ini, namun kawasan rumah tersebut yang mempunyai tembok tinggi telah menutup bahagian dalam rumah berkenaan.

Bagaimanapun, jelas kelihatan rumah yang baharu dibelinya itu bukanlah rumah biasa.

Bintang Descendants of the Sun itu dikhabarkan membeli rumah tersebut dengan harga jutaan ringgit.

Rumah mewah yang baharu dibeli Song Hye Kyo.

Bagaimanapun, berita ini menjadi kontroversi apabila netizen mempersoalkan kes pelakon ini yang mempunyai masalah kewangan pada tahun 2014.

Pelakon ini juga pernah terkait dengan beberapa masalah kewangan dan lewat membayar cukai pendapatan.

WAJIB TAHU!!! KENAPA KITA PERLU TUTUP CERMIN DI RUMAH BILA ADA KEMATIAN? HUKUM MENUTUP CERMIN MUKA KETIKA ADA JENAZAH DI DALAM RUMAH..INILAH JAWAPAN DAN HUKUMNYA.

Perbuatan pelik, ada jenazah cermin pula ditutup. Menutup cermin-cermin muka dengan kain apabila jenazah ada didalam rumah hampir menjadi kebiasaan masyarakat kita. Timbul juga tandatanya mengapa amalan menutup cermin ini dilakukan apabila ada jenazah didalam rumah, namun memandangkan situasi yang tidak sesuai, persoalan ini selalu disimpan dan akhirnya dilupakan begitu saja.

Namun, bila melihatkan amalan metutup cermin dengan kain ini hampir menjadi kemestian, persoalan ini perlu mendapat penerangan yang jelas. Apa hukumnya dalam Islam perbuatan menutup cermin muka ketika ada jenazah didlam rumah. Berikut ialah maklumat yang perolehi dari sebuah laman soal jawab agama. Wallahu’alam bissawab

Hukum Menutup Cermin Muka Ketika ada Jenazah di Dalam Rumah

     Assalamualaikum ustaz,

    Ada tuan rumah yang cover cermin-cermin muka di rumah dengan kain semasa ada jenazah. Saya tidak bertanya mengapa. Harap ustaz jelaskan hukum melakukannya.

    Terima kasih.

Ini jawapan:

Bismillahi wal hamdulillah,

Kami tidak menjumpai saranan dari Rasulullah saw supaya menutup cermin-cermin muka ketika terdapatnya jenazah dalam rumah tersebut. Apa yang kami temui ialah ianya merupakan amalan orang tua-tua dahulu yang beranggapan bahawa, cermin hanya digunakan oleh Si Mati ketika hidupnya sahaja. Apabila telah mati, cermin tersebut tidak berguna lagi kerana mengikut Kepercayaan Kuno Masyarakat Hindu, roh atau hantu tidak boleh melihat dirinya dalam cermin.

Maka untuk menjaga hati dan perasaan serta bagi menghormati roh tersebut, setiap cermin muka dirumah simati tersebut perlulah ditutup. Perbuatan tersebut mengikut syarak adalah dilarang kerana ianya adalah perbuatan yang tidak dilakukan oleh Rasulullah saw serta dianggap sebagai satu perbuatan khurafat yang menyalahi syarak.

Peminat SO7 Disaran Naik LRT ke konsert 27 Mac Ini

Peminat tegar band popular Indonesia Sheila On 7 (SO7) digalakkan menaiki pengangkutan awam untuk ke konsert kumpulan ini yang akan berlangsung pada 27 Mac bertempat di StarXpo Hall, Kenangan Wholesale Center (KWC) Kuala Lumpur.

Pengarah Urusan Mawlaya Network Sdn Bhd, Redzuan Ramli selaku penganjur berkata, pemilihan lokasi konsert tersebut selepas mengambil kira kemudahan yang tersedia di sekeliling kawasan berkenaan termasuklah kemudahan pengangkutan awam seperti LRT dan monorail.

“Penganjur lain kebanyakannya memilih stadium. Memang perancangan awal pihak kami memilih Stadium Negara tetapi ada beberapa masalah menyebabkan venue terpaksa ditukar di tempat lain.

“Kapasiti KWC boleh memuatkan antara tujuh hingga 10 ribu penonton dan ruang letak kereta juga banyak. Selain itu venue ini terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dan di sekelilingnya mempunyai kemudahan termasuklah pengangkutan awam sekaligus memudahkan peminat merancang perjalanan.

“Peminat juga digalakkan menaiki pengangkutan awam bagi mengelak dari kesesakan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert 20 Tahun Sheila On 7, bertempat di Equestrian Country & Club, Bukit Kiara.

Pada konsert yang berdurasi selama 2 jam setengah itu bakal menyaksikan kehebatan SO7 memperdengarkan deretan lagu hits mereka dari album pertama hingga terkini.

SO7 bakal mengubat kerinduan peminat terhadap grup handalan ini terutamanya peminat setia mereka yang dinamakan SheilaGank dengan lagu antaranya Dan, Sephia, Seberapa Pantas dan Melompat Lebih Tinggi.

Ditubuhkan sekitar tahun 1996, SO7 dianggotai oleh Duta, Eross, Adam dan Brian. Selama 20 tahun bertapak dalam industri muzik, kumpulan ini bukan saja terkenal di Indonesia malah di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Kali terakhir mereka membuat persembahan di Kuala Lumpur sekitar 2013.

Sementara konsert 20 Tahun SO7 turut dihangatkan lagi dengan penampilan Noh Salleh dan Restoe Ibu Band yang akan membuat persembahan pembukaan.

Tiket-tiket berharga RM75, RM110, RM150 dan RM190 telah mula dijual sejak dua minggu lalu dan setakat ni sebanyak 1000 tiket telah habis dijual.

Maklumat lanjut, layari www.ilassotickets.com.

Pengarah Ola Bola Terharu Reaksi Penonton

Pengarah filem yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam, Ola Bola, iaitu Chiu Keng Guan bersyukur dan berharap karyanya akan terus mendapat sokongan peminat filem tempatan.

Chiu yang ditemui pada malam gala tayangan istimewa filemnya itu bertempat di Pavilion, KL kelmarin, berkata, dia terharu dengan pelbagai respon positif.

Malah dia gembira melihat reaksi-reaksi secara spontan penonton ketika sedang menonton filemnya itu

“Saya sangat bersyukur. Saya harap kepada yang menonton, sebarkanlah pada teman-teman mereka mengenai filem ini agaar lebih ramai lagi yang akan datang menonton di pawagam kerana cerita ini sangat dekat dengan masyarakat kita.

“Saya juga gembira apabila mendengar penonton sama-sama bergelak tawa, ada yang bersorak seperti sedang menyaksikan perlawanan bola sepak yang sebenar.

“Antara yang membuatkan saya berasa terharu dengan gelagat sebuah keluarga yang mana sebaik saja filem ini tamat, saat keluar dari panggung si ibu dan bapa teruja bercerita kepada anak-anak mereka tentang saat kegemilangan dan pasukan bola sepak tanah air ketika di zaman mereka dulu.

“Selain itu, ada sekumpulan remaja selepas mereka menonton filem ini mereka terus menyemak di cariaan google mengenai lagenda-lagenda bola sepak tanah air yang terdahulu,” katanya sambil tersenyum.

Sejak mula ditayangkan pada 28 Januari lalu menerusi 126 pawagam di seluruh negara dan Brunei, Ola Bola berjaya mengutip lebih RM2.5 juta.

OlaBola turut memberikan impak besar di laman sosial dan menjadi trending di laman twitter sebanyak enam kali.

Filem terbitan Astro Shaw ini juga bukan hanya memaparkan sukan bola sepak, malah menonjolkan semangat perpaduan di Malaysia.

“Segala elemen hiburan ada dalam filem ini, babak perlawanan antara tarikan dan membuatkan penonton teruja disamping mesej-mesej positif,

Diminta mengulas mengenai kejayaan tersebut, Chiu berkata, dia terkejut dan tidak menyangka Ola Bola mendapat sambutan namun menganggap ianya satu petanda baik.

“Segala elemen hiburan ada dalam filem ini, babak perlawanan antara tarikan dan membuatkan penonton teruja disamping mesej-mesej positif,

“Sejujurnya saya tidak pernah menjangkakan filem ini akan mencatat kutipan pecah panggung. Tetapi saya anggap ia sebagai petanda baik dan semoga kutipannya akan terus meningkat sehingga tamat tempoh tayangan nanti,”

“Bagaimanapun belum tahu lagi sama ada filem ini akan ada sekuel atau tidak,” katanya.

Diilhamkan daripada kisah benar, OlaBola mengisahkan semangat juang pemain bola sepak negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia apabila layak ke Sukan Olimpik Moscow, Russia pada tahun 1980.

Filem ini menampilkan aktor hebat, Bront Palarae dan Frankie Lee, Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27.

Tak perlu terjerit-jerit

Atas nasihat guru vokalnya Cikgu Syafi, Siti Nordiana kini menggunakan mikrofon sendiri demi keselesaannya ketika membuat persembahan.

Menangkis dakwaan dia sengaja menunjuk-nunjuk, penyanyi yang mesra disapa Nana ini berkata, dia memiliki nada suara rendah dan apabila memiliki mikrofon sendiri serta dengan bantuan jurutera bunyi peribadi, alat itu boleh disesuaikan mengikut nada suaranya sendiri.
“Perkara itu sukar dilakukan jika saya berkongsi mikrofon disediakan penganjur dengan artis lain. Ini kerana kita tiada masa untuk menyesuaikan nada mikrofon dengan setiap artis yang membuat persembahan pada masa sama.
“Saya beli mikrofon itu pun selepas Cikgu Shafi mencadangkannya kerana nada suara saya rendah. Apabila ada mikrofon sendiri nada bunyi alat itu boleh ditinggikan jadi tidak perlu saya menjerit-jerit untuk mengeluarkan suara. Tiada alasan lain melainkan memudahkan saya ketika membuat persembahan. Bukan saya seorang yang menggunakan mikrofon sendiri, ramai artis berbuat begitu seperti Misha Omar, Ifa Raziah dan Akim,” katanya.
Berkenaan dakwaan kononnya Nana atau nama sebenarnya, Siti Nordiana Alias, mula ‘demand’, dengan pantas ibu tunggal itu menafikannya.
“Tidaklah setinggi mana, bayaran yang saya letak berdasarkan beberapa faktor seperti bentuk penganjuran acara, sama ada besar atau kecil, jenis program di Kuala Lumpur atau di luar ibu kota. Kalau saya minta lebih pun masih pada kadar harga berpatutan, lagipun bayaran itu bukan untuk saya seorang, tetapi perlu bayar jurusolek dan jurutera bunyi.
“Saya sentiasa berusaha memenuhi permintaan peminat. Ada juga peminat beria-ia mahu saya menyanyi pada majlis perkahwinan mereka. Dalam hal begini terpulang berapa mereka mampu bayar. Saya tidak kisah pergi ke majlis perkahwinan mereka jika kebetulan saya tidak terikat dengan mana-mana persembahan dan aktiviti lain pada hari itu,” katanya.
Ujar Nana lagi, dia tidak pernah lupa asal usul dan zaman susahnya dulu.
“Apa yang saya peroleh hari ini bukan datang dalam sekelip mata, lantaran itu saya amat menghargai peminat yang menyokong saya sehingga muncul juara GV2 (Gegar Vaganza musim dua) dan sangat mensyukuri rezeki yang Allah beri.
“Justeru tiada sebab untuk saya ‘lupa diri’ kerana bertahun-tahun lamanya saya berjuang seorang diri. Rezeki yang saya dapat ini juga adalah rezeki anak tunggal saya, Rayyan. Dia adalah segalanya untuk saya dan sejak dulu saya bekerja keras membesarkannya,” katanya.
Sebaik saja berakhir GV2, rutin hariannya sangat sibuk, hanya kebelakangan ini dia kembali ada sedikit masa terluang untuk dirinya sendiri, anak dan keluarga.
Sebagai juara Nana menerima hadiah wang tunai RM100,000 dan pakej percutian ke Madrid, Sepanyol tajaan MyCentrio Holidays Sdn Bhd dan akan ke sana pada 12 Mac depan.
Pakej percutian yang dinamakan Hola Espana Featuring Siti Nordiana itu turut dibuka kepada peminat yang mahu bercuti bersamanya.
Selain Madrid, bandar lain turut dilawati, Cordoba, Sevilla, Granada dan Toledo.
Menurut Nana, sebelum ini dia tidak pernah terfikir untuk ke negara itu.
“Negara paling jauh pernah saya lawati ialah Mesir, itu pun mengikuti rombongan Usrah Fitrah bagi melihat umat Islam yang menjadi mangsa peperangan di negara itu. Sebelum berangkat ke Sepanyol, saya akan mencari maklumat negara itu di Internet agar saya dapat menghayati sejarah, keindahan dan keunikannya.
“Apa yang saya tahu negara itu yang juga pernah dikenali dengan nama Andalusia menjadi pusat kerajaan Islam Bani Umaiyyah pada abad ke-8 sehingga negara itu dikuasai kerajaan Kristian selepas abad ke-15,” katanya.
Pada percutian itu Nana juga akan membawa anak–nya, Rayyan.

Mukhriz lebih bertuah dari Ahmad Said, Khalid Ibrahim

Penganalisis politik melihat senario pertukaran menteri besar yang berlaku sebelum ini di Terengganu dan Selangor berbeza dengan kes terbaharu di Kedah melibatkan, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik berkata, kedua-dua bekas menteri besar itu, Datuk Seri Ahmad Said dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus malap dan menjadi ‘low profile’ sejak disingkirkan.

“Hal ini amat berbeza dengan Mukhriz. Beliau mempunyai kelebihan sebagai anak bekas Perdana Menteri dan lebih bertuah ialah anak kepada Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang memberikan kredit lebih kepadanya.

“Mukhriz tidak pernah dikenali sebagai pejuang dalam karier politiknya semenjak zaman Pemuda Umno, namun bayangan Tun M memberikan kredit yang banyak di dalam karier politik beliau.

“Ini tiada pada kedua-dua bekas menteri besar di Selangor dan Terengganu itu,” katanya kepada Sinar Online.

Pada Mei 2014 lalu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Ahmad Said manakala pada September tahun sama, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid.

Semalam, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pula dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu menggantikan Mukhriz setelah krisis yang berlarutan kira-kira dua minggu.

Mengulas lanjut, Dr Maszlee menyatakan keyakinannya bahawa selepas dua contoh pertukaran menteri besar dari Umno itu, tiada lagi mana-mana menteri besar yang berani ‘menegur’ mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap isu-isu yang mengelilingi Presiden Umno itu.

“Persoalan sama ada Ahmad Bashah mampu menyaingi Mukhriz bukan prioriti utama Umno sekarang. Pemecatan Mukhriz merupakan isyarat Najib kepada para pemimpin Umno agar tidak melawannya.

“Najib telah berjaya memperkemaskan cengkaman kuasanya di peringkat para pemimpin negeri-negeri di bawah pentadbiran BN.

“Tapi, apa yang pasti agak mustahil untuk Ahmad Bashah menjadi pengganti lebih baik seperti Azmin di Selangor. Namun, jika kerajaan pusat boleh menyalurkan sejumlah besar projek ke Kedah, maka Ahmad Bashah akan menjadi bintang,” katanya.

Namun katanya, susulan keadaan ekonomi yang sakit mutakhir ini perkara tersebut agak sukar.

“Kecuali jika terdapat Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang besar masuk ataupun Kedah menemui telaga minyak baru,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas),Prof Madya Dr Jeniri Amir melihat, pertukaran ketiga-tiga menteri besar di Terengganu, Selangor dan Kedah susulan pemimpin itu sudah tidak lagi disenangi parti mahupun sebahagian Adun.

“Presiden parti yang memilih mereka untuk menjadi menteri besar. Jadi apabila seseorang menteri besar itu sudah tidak lagi disenangi atau tidak lagi mendapat sokongan sebahagian besar Adun seperti yang berlaku di Kedah, maka beliau (menteri besar) tidak mempunyai pilihan kecuali berundur.

“Itu juga sebenarnya jalan terbaik untuk mengelakkan krisis politik berlarutan sehingga boleh menjejaskan pentadbiran negeri. Lebih-lebih lagi bagi Umno di mana kedudukannya di Kedah misalnya tidaklah begitu mantap. Jadi, apa-apa sahaja boleh berlaku,” katanya.

Menyentuh soal suasana di Selangor dan Terengganu yang kian reda sejak krisis pertukaran menteri besarnya, beliau mengingatkan dengan menggunakan perumpamaan bahawa ‘air yang tenang jangan disangka tiada buaya’.

“Jika kem yang sebelum ini menyokong menteri besar terdahulu dapat diredakan, maka itu peluang untuk menteri besar yang baharu. Paling penting untuk beliau menjelaskan kepada rakyat.

“Menjadi tugas menteri besar yang baharu untuk merapatkan barisan dan memastikan segala kelemahan yang didakwa terhadap menteri besar terdahulu dapat diselesaikan serta mengemukakan strategi terbaik untuk pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Akui pengganti di Selangor dan Terengganu berjaya merebut kembali hati penyokong setakat ini namun bukan sepenuhnya.

“Kejayaan itu bergantung pada pendekatan yang digunakan oleh menteri besar yang baharu. Menteri besar di Selangor dan Terengganu ini kelihatan seorang pemimpin yang berhemah, bertindak sesuai dengan aspirasi dan kehendak rakyat di negeri masing-masing.

“Jadi, pendekatan demikian telah memberi keyakinan kepada rakyat dan pengundi di kedua-dua negeri itu untuk memberi sokongan kepada mereka berdua ini. Jadi, personaliti dan pendekatan menteri besar baharu ini banyak menentukan bagaimana reaksi rakyat selepas ini sebagaimana yang terbukti di Selangor dan Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Jeniri berkata, cabaran terbesar yang menanti pengganti itu adalah untuk memastikan pisang tidak berbuah dua kali dalam PRU14 ini.

“Jika di Kedah, Ahmad Bashah perlu memastikan Kedah tidak terlepas ke tangan Pas dalam PRU14. Namun, setelah apa yang berlaku, saya tidak fikir itu tugas dan tanggungjawab yang mudah,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan kenyataan berbaur positif yang dibuat oleh Ahmad Bashah terhadap Mukhriz, beliau melihat potensi buat Adun Bakar Bata itu menstabilkan suasana namun tidak dapat menjangkakan tempoh yang bakal diambil.

Ahmad Bashah tergores viral gambar ‘terlena’

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akui tergores tindakan pihak tertentu viralkan gambarnya ‘terlena’ ketika Istiadat Pelantikan Menteri Besar di Istana Anak Bukit, semalam.

Katanya, tindakan itu lebih kepada bermotifkan serangan peribadi.

“Tutup mata ini semua orang boleh tutup. Tapi masa itu dia tidak perlu ambil. Kalau saya tak disebut-sebut sebagai Menteri Besar, gambar saya pun dia tak ambil.

“Takkan kita nak buka mata saja, pastilah tutup (kelip). Pada saya, ini tindakan satu kumpulan yang nak menghina orang,” katanya, semalam.

Sebelum ini gambar Adun Bakar Bata itu terlena ketika ucapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah semasa Istiadat Pengurniaan Bintang di Istana Anak Bukit turut diviralkan.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir secara sinis menasihatkan Ahmad Bashah supaya  tidak terlena pada majlis itu ketika pengumuman peletakan jawatannya, kelmarin.

Bagaimanapun, Ahmad Bashah kelmarin, menafikan nya terlena sebaliknya hanya memejamkan mata menghayati ucapan tuanku.

“Saya cukup tergores. Sepatutnya tidak perlu hina orang sampai begitu. Kita mesti ingat, suatu hari nanti kita akan menghadap-Nya (ALLAH) sama-sama. Tapi janganlah menghina orang sampai fokus macam itu.

“Apakah dapat upahan dan sebagainya. Kalau tak boleh pejam mata, kenapa orang lain pejam mata dia tak ambil pun,” katanya.

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu juga tidak mahu melayan sekiranya ada pihak yang nak melakukan serangan peribadi terhadapnya.