Nafas baru lagu C.I.N.T.A.

Siapa sangka lagu C.I.N.T.A. nyanyian asal band D’Bagindas mampu diberikan nafas baru dengan susunan muzik jazz oleh penyanyi baru, Yuka.
Yuka sendiri atau nama sebenarnya,Yuka Tamada yang ditemui di Jakarta tidak pernah menjangkakan reaksi positif daripada peminat, selepas mengangkat lagu itu menjadi single pertamanya.
“Walaupun lagu cover, saya tidak sangka peminat menyukainya. Sebab utama saya memilih C.I.N.T.A. untuk menjadi single pertama kerana kekuatan lagu itu.
“Bukan saja di Indonesia, C.I.N.T.A, bahkan turut mencuri tumpuan peminat di negara jiran seperti Malaysia dan Si­ngapura. Jadi, rasanya satu strategi berkesan untuk saya menggunakan C.I.N.T.A. sebagai lagu pengenalan,” katanya.
Digelar sebagai penyanyi jazz, Yuka menolak kenyataan itu kerana baginya, dia masih perlu belajar lebih mendalam mengenai genre itu.
“Tidak dinafikan, minat saya lebih kepada muzik Jazz. Petikan gitar serta cara nyanyian saya juga lebih ke arah Jazz.
“Namun, untuk menggelarkan saya sebagai penyanyi jazz, mungkin belum layak kerana banyak lagi yang perlu dipelajari,” katanya.
Penyanyi yang sebelum ini muncul menerusi program Indonesian Idol musim kelapan menganggap program itu sebagai platform buatnya untuk mengembangkan bakat.
“Kalau tanpa Indonesian Idol, mungkin nama saya sebagai penyanyi tidak akan dikenali. Salah satu kejayaan buat diri saya apabila terpilih menjadi empat peserta akhir dalam kalangan 250,000 peserta lain yang menjalani uji bakat,” katanya.
Ditanya pendapatnya mengenai imejnya yang berbadan besar, Yuka sendiri mengakui ramai peminat yang bertanya soalan sama.
“Ramai juga yang meminta dan bertanya sama ada saya impikan bentuk badan langsing. Kalau anda ingin tahu, saya sudah cuba lakukan pelbagai cara, namun belum berhasil.
“Lagi pula, kalau tidak kurus pun, saya ingin hidup lebih sihat kerana kedua-dua ibu bapa saya mempunyai sejarah penyakit diabetes. Jadi, memang saya tahu berbadan besar ini tinggi risikonya,”
katanya.
Mengenai imej pula, sebelum menyertai program realiti itu, Yuka memang tidak memberi penekanan kepada penampilannya. Tetapi kini, dia perlu tampil bersedia kerana ba­nyak mata memandang.
“Tidak dinafikan, artis yang kurus dan cantik itu memang akan menarik perhatian ramai. Namun, mungkin saya akan perlahan-lahan mendapatkan bentuk badan ideal.
“Dari aspek penampilan pula, kalau dulu saya memang sangat ringkas dengan berseluar pendek dan berselipar kalau keluar. Kini, saya perlu berpakaian lebih sesuai kerana ingin menjadi contoh kepada peminat,” katanya.
Apapun, penyanyi berdarah Jepun-Bugis ini lebih selesa tampil ringkas dengan gayanya yang tersendiri.
Ditanya sama ada dia ingin melangkah lebih jauh ke luar negara, Yuka sendiri mengakui ingin mengukuhkan kerjayanya di negara sendiri terlebih dulu.
“Selepas sudah kukuh membina nama di negara sendiri, barulah saya akan lebih yakin untuk memperkenalkan diri ke luar negara,” katanya.

‘Saya sudah tidak berminat untuk taja Kedah’

PENGASAS D’Herbs Healthy Sdn Bhd (D’Herbs), Datuk Aliff Syukri Kamarzaman berkata, pihaknya sudah menarik diri daripada menjadi penaja buat pasukan Kedah.

Aliff Syukri Kamarzaman atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Terlajak Laris’ berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau tidak lagi berminat untuk menaja pasukan Helang Merah itu.

“Sudah, saya tidak berminat,” katanya ringkas menerusi WhatsApp kepada Sinar Online hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah pihaknya sudah membuat keputusan untuk menjadi penaja Kedah atau sebaliknya.

Namun ketika ditanya kenapa pihaknya menarik diri, Aliff Syukri enggan mengulas lanjut.

Januari lalu, Aliff Syukri mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir bagi membincangkan mengenai penajaan skuad Helang Merah.

Tetapi, disebabkan oleh krisis politik yang melanda Kedah baru-baru ini yang telah menyebabkan Mukhriz terpaksa mengundurkan diri daripada jawatan  menteri besar dan jawatan lain termasuk presiden KFA, Aliff Syukri terpaksa menarik diri dari menaja Kedah.

Pengantin diserang isteri pertama ketika sanding

KECOH di laman sosial hari ini apabila tersebarnya video pengantin lelaki diserang isteri pertama di majlis persandingannya.

Video berdurasi hampir dua minit itu dimuatnaik oleh sebuah laman Facebook sejak semalam dan telah ditonton oleh hampir satu juta pengguna Facebook setakat ini.

Video tersebut memaparkan sebuah majlis persandingan terpaksa dihentikan ekoran daripada kunjungan mengejut isteri pertamanya yang jelas tidak berpuas hati dengan tindakan suaminya yang masih sah melangsungkan  perkahwinan tanpa pengetahuannya.

Difahamkan isteri pertama dan perakam video tersebut datang ke majlis itu untuk mendapat keadilan dari si pengantin lelaki.

Pasangan pengantin itu yang jelas terkejut dengan kehadiran isteri pertama, lalu bingkas turun daripada pelamin, menyebabkan kebanyakan tetamu tercengang dan majlis terhenti serta-merta.

“Kami ke sini tidak ada niat nak malukan pengantin lelaki, tapi dia ni (isteri pertama) masih isteri dia (pengantin lelaki) lagi, kahwin senyap senyap…tiga bulan tinggalkan (isteri pertama). Mana mak pengantin lelaki, apa cerita ni?” soalnya bertubi-tubi.

Perbincangan antara keluarga pengantin lelaki dan pihak isteri pertama kemudiannya berlangsung di belakang pelamin di mana isteri pertama mengaku masih belum diceraikan oleh suaminya.

Si isteri pertama juga mengaku tidak dimaklumkan oleh suami tentang perkahwinan yang dilangsungka

‘Minat Berlakon Semakin Pudar’ – Sara Ali

Pelakon Sara Ali mengakui minatnya terhadap bidang lakonan semakin lenyap sejak setahun lalu kerana sering diberikan watak yang sama.

Sara atau nama sebenarnya Siti Sarah Hairi Ali, 26, berkata, sebagai seorang pelakon dia ingin mencabar dirinya melakukan sesuatu berbeza namun keterbatasan peranan ditawarkan menyebabkan perasaan bosan itu semakin menebal.

“Jujur saya katakan rasa cinta dan minat terhadap lakonan itu semakin pudar kerana tiada perkembangan dalam karier disebabkan sering diberikan peranan yang sama.

“Jiwa terhadap lakonan sudah hilang dan saya sendiri tidak tahu sampai bila rasa itu akan berlarutan kerana pada satu tahap saya masih berharap akan diberi tawaran berbeza daripada apa pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Sara berkata, dia yakin perasaan tersebut bukan sahaja dialami olehnya malah kebanyakan pelakon lain yang menghadapi dilema sama sepertinya.

Bagaimanapun katanya, itu tidak bererti dia ingin menarik diri daripada bidang lakonan sebaliknya akan lebih selektif terhadap tawaran diberikan kepadanya.

“Bukan saya kata tidak ada langsung tawaran menarik daripada produksi tetapi ia sangat kurang dan dilema ini bukan sahaja dihadapi oleh saya tetapi ramai pelakon lain merasai benda sama,” ujarnya.

Sementara itu, Sara berkata, seperti mana kebanyakkan pelakon wanita bertudung sepertinya, dia juga akan meletakkan beberapa syarat sesuai dengan imejnya.

Tambah Sara, dia tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah kerana banyak wanita bertudung diangkat sebagai teraju utama dalam drama atau filem.

“Syarat yang saya letakkan adalah bersesuaian dengan imej saya dan jika produksi tidak boleh memenuhi permintaan tersebut tidak mengapa.

“Tetapi saya tidak melihat ia sebagai masalah kerana warna pada landskap drama dan filem tempatan hari ini jauh banyak berubah dan tidak meletakkan diskriminasi terhadap pelakon wanita,” jelasnya.

Park Hae Jin Buat Kejutan Hadir Ke Sekolah Peminat

PELAKON Park Hae Jin memberi kejutan istimewa kepada salah seorang peminat apabila muncul di sekolah pelajar perempuan itu baru-baru ini.

Soompi melaporkan pelajar tersebut Cho Rong sebelum ini membuat permintaan untuk menghabiskan sesi persekolahan terakhirnya bersama aktor itu.

Pada pertemuaan itu, Hae Jin meluangkan masa hampir sejam bersama peminat selain membawa makanan iaitu Kimbap untuk Cho Rong dan rakan-rakannya.

Makanan tersebut sebagai simbolik wataknya sebagai Yoo Jung yang sering membawa Kimbap apabila bertemu teman wanitanya, Hong Seol lakonan Kim Go Eun dalam drama bersiri Cheese in the Trap.

Drama bersiri berkenaan kini sedang rancak ditayangkan di Korea Selatan.

‘Doakan segalanya berjalan lancar’

KURANG 24 jam lagi, aktres yang semakin meningkat naik, Syatilla Melvin akan bergelar isteri kepada bintang paling popular, Shaheizy Sam.

Syatilla, 25, dan Sam, 34, akan disatukan dalam satu majlis tertutup di kediaman keluarga Syatilla di Nibong Tebal, Pulau Pinang, selepas Isyak.

Ia disusuli majlis resepsi sebelah pihak perempuan pada 9 Februari di Bukit Jawi Golf Club, Pulau Pinang. Majlis resepsi sebelah pihak Sam pula akan diadakan pada 14 Februari di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur dan majlis meraikan peminat pada 20 Februari.

Berkongsi debaran bakal bergelar isteri, Syatilla berkata, kesibukan menguruskan beberapa perkara berkaitan perkahwinan membuatkan dia belum berasa debaran.

“Saya dah beberapa hari tak sihat sebab penat menguruskan beberapa perkara berkaitan majlis. Sekarang tinggal menguruskan cenderamata untuk tetamu dan yang lain-lain semuanya dah selesai.

“Saya berharap semua dapat mendoakan majlis kami berjalan lancar kelak, Insya-ALLAH,” katanya kepada Zass.

Bakal bergelar isteri kepada seorang aktor yang sudah dua kali dinobatkan Bintang Paling Popular, ujar pelakon yang semakin dikenali dengan watak Sha ini, dia tidak pernah melihat bakal suaminya itu sebagai orang terkenal.

“Bagi saya Sam adalah orang biasa sama seperti saya. Jadi untuk berkahwin dengan orang yang terkenal seperti dia, saya rasa bukan satu cabaran untuk saya.

“Begitulah yang saya rasa ketika saya berkawan dengannya dahulu,” jelasnya.

Di tanya mengenai karier seninya selepas ini, Syatilla berkata, buat masa ini, segalanya terpulang kepada restu Sam sama ada pelakon Adnan Sempit itu membenarkan dia untuk terus aktif atau tidak.

“Kami memang pernah membincangkan perkara ini dulu. Tapi selepas kahwin belum tahu lagi. Kita tunggulah sama ada Sam benarkan atau tidak.

“Kalau dia benarkan, saya teruskan, kalau tak, saya duduk rumah sajalah. Bagaimanapun ia bergantung juga kepada keadaan

kerana difahamkan drama Sha & Shah akan ke layar perak dan akan dibuat satu telefilem istimewa selepas ini.

“Namun, semuanya masih lagi dalam perancangan,” katanya.

“Semua panggil saya Ali’

SEBELUM ini graduan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dalam bidang Ukur Tanah hanya remaja biasa. Namun filem Ola Bola secara tidak langsung mengubah hidup Muhammad Luqman Hafidz Mohd Fauzi, 25.

Menjayakan watak Ali, kata Luqman, semenjak filem ini mendapat sambutan hangat di pawagam, orang mula menegurnya dengan nama Ali.

“Tidaklah sampai serbu, tapi apabila lalu, ada yang panggil nama Ali. Malah ada juga kawan lama masa sekolah yang hubungi saya semula dan saya rasa seronok,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai penglibatannya di dalam filem ini, Luqman berkata, ketika sibuk menyiapkan resumenya, dia mendapat mesej yang mengatakan jurulatih Majlis Sukan Negara (MSN) mencari pemain bola amatur untuk satu projek melibatkan Astro.

“Saya hanya cuba nasib dengan hantar resume dan gambar selfie saya bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin. Gambar itu diambil ketika saya memenangi anugerah pemain terbaik dalam ‘YB Khairy Jamaluddin Cup’ pada 2014 semasa di universiti.

“Enam bulan selepas itu, saya dipanggil menjalani uji bakat dan seterusnya dipilih menjayakan watak Ali,” katanya.

Menyimpan rambut selama enam bulan untuk watak Ali seperti dikehendaki pengarah, Luqman mendedahkan, biar pun sekadar bermain untuk Malaysia di dalam filem, namun dia merasai semangat permainan seolah-olah bermain untuk negara.

“Memang tak dinafikan rasa seperti main betul-betul, seperti cita-cita tercapai.

“Tekanan tetap ada kerana kita nak tunjukkan kehebatan legenda bola sepak,” katanya.

Luqman berkata, antara babak paling sukar dijayakan ketika menentang pasukan Filipina yang memaksa mereka mengulangi babak sama sehingga 55 kali.

“Tapi pengarah beri semangat pada kami dan berkata, dia tak mahu kami menyesal melihat babak itu di pawagam nanti,” katanya.

Khalid Ali teringat kisah lama

FILEM Ola Bola bukan sahaja memberi kesan kepada penonton, tetapi juga legenda bola sepak negara yang menjadi individu sebenar pernah mengharungi suka-duka itu.

Bekas pemain skuad bola sepak kebangsaan, Khalid Ali yang baru menontonnya Jumaat lalu, berkata filem itu secara tidak langsung melepaskan rasa rindu dan mengimbau kenangan yang terlakar sebagai sejarah.

“Ada antara jalan cerita dalam filem itu memang berlaku seperti semangat juang yang tinggi pemain Malaysia ketika itu untuk bergelar juara.

“Semua saling memberi semangat antara satu sama lain dan saya rasa filem ini boleh dijadikan perangsang kepada pemain kebangsaan kini untuk main bersungguh-sungguh seperti kami dahulu,” katanya.

Ditanya antara babak paling terkesan kepadanya, Khalid berkata, babak dalam bilik persalinan sewaktu mereka dapat tahu tidak dapat pergi ke Moscow menjadi babak paling terkesan kepadanya.

“Bagaimana kekecewaan yang mereka gambarkan di dalam bilik persalinan dahulu, begitu jugalah kecewanya kami.

“Walaupun kami tahu tak pergi ke Moscow, kami tetap main bersungguh-sungguh kerana kami memiliki semangat juang yang tinggi,” katanya.

Filem sukan mampu angkat sejarah

“FILEM antara platform terbaharu dalam mengangkat perpaduan kaum di Malaysia,” demikian kata Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Menurutnya, pendekatan tersebut mampu merubah persepsi masyarakat yang sering mengutarakan perbezaan warna kulit di negara ini.

“Apa yang berlaku di dalam filem itu adalah perkara yang bagus. Lebih bagus jika mesej yang disampaikan menerusi filem dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Jadikan sebagai panduan.

“Penonton khususnya mendapat mesej jelas menerusi filem dan perlu menjalani kehidupan seperti itu di luar. Bukan sekadar menonton sahaja,” katanya.

Kay Kim yang juga pengkritik sukan tanah air bagaimanapun berkata, situasi berbeza di antara era 1980-an dan kini dilihat sukar menjadikan apa yang berlaku di dalam filem itu sebagai kenyataan.

“Jika dahulu padang bola bukan hanya ada di kampung-kampung, tetapi juga di bandar-bandar. Ia bukan hanya hiasan tetapi di situlah berkumpulnya anak muda tidak mengira latar belakang untuk bermain bola.

“Tidak kiralah, padang itu kecil atau besar, pasti ada yang memenuhkannya, cuma apa yang saya perhatikan, padang bola hari ini sangat kurang digunakan.

“Kerana itu, waktu dahulu kita boleh pilih beribu-ribu pemain berbakat tidak kira warna kulitnya dibandingkan dengan hari ini,” katanya.